LONDON: Masalah kemurungan lebih membahayakan kesihatan seseorang berbanding penyakit fizikal seperti asma, angina dan diabetes, menurut kajian yang disiarkan akhbar Daily Mail.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meneliti data 250,000 pesakit di 60 negara, memberi amaran kemurungan memberi kesan lebih buruk kepada kesihatan berbanding yang disangka sebelum ini.
Ia mendapati bahawa dalam skala kosong hingga 100 - dengan kosong menandakan masalah kesihatan paling teruk dan 100 paling baik - mereka yang mengalami masalah itu mempunyai skala purata 72.9.
Ini dibandingkan dengan mata lebih baik iaitu 80.3 bagi pesakit asma, 79.6 bagi pesakit angina, 79.3 bagi penghidap artritis dan 78.9 bagi pesakit diabetes.
Di United Kingdom, kira-kira seorang setiap empat penduduk dewasa mengalami kemurungan sepanjang hayat tetapi cuma satu pertujuh daripada bajet Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diperuntukkan untuk kesihatan mental.
Pada tahun 2000, saintis menyenaraikan kemurungan berada di tangga keempat dalam memberikan kesan teruk kepada kesihatan tetapi menjelang tahun 2020, mereka meramalkan ia akan menjadi punca kedua bebanan penyakit.
Dr Somnath Chatterji, yang mengetuai kajian WHO, berkata hasil kajian menunjukkan keperluan segera untuk memperbaiki rawatan bagi masalah kemurungan. – Agensi