SAN DIEGO: Skirt pendek yang dipakai seorang wanita mengundang padah apabila dia diarahkan keluar dari pesawat Southwest Airlines ke Arizona kerana pakaian itu disifatkan terlalu menjolok mata.
Kyla Ebbert, 23, berkata seorang pekerja syarikat penerbangan berkenaan meminta dia meninggalkan kerusinya ketika pesawat bersedia berlepas bandar raya di selatan California itu pada 3 Julai lalu.
Ebbert, seorang penuntut yang menuju ke Tucson untuk bertemu doktor, kelmarin berkata dalam rancangan Today terbitan NBC bahawa pekerja terbabit memberitahu dia perlu menaiki pesawat lain.
“Pekerja syarikat itu berkata, ‘Anda tidak berpakaian dengan sempurna. Ini adalah syarikat penerbangan keluarga. Anda terlalu provokatif untuk terbang dalam pesawat ini.’
“Saya berkata, ‘Bahagian mana? Baju? Skirt? Bahagian mana?’ Dan dia berkata keseluruhannya,” kata Ebbert.
Dia dibenarkan menaiki semula pesawat selepas bersetuju membetulkan baju sejuk yang dipakai, tetapi berkata dia dihina dan dimalukan.
“Saya berasa seperti semua orang merenung saya. Mereka semua dengar dia berkata demikian kepada saya,” katanya kepada hos rancangan Today, Matt Lauer. – AP