Gereja Amerika bayar pampasan kedua terbesar
LOS ANGELES: Pihak Gereja Roman Katolik di San Diego, Amerika Syarikat, bersetuju membayar pampasan kira-kira AS$200 juta (RM680 juta) kepada 144 mangsa pencabulan seks oleh paderi, termasuk kanak-kanak yang turut menjadi pembayaran ganti rugi kedua terbesar dalam sejarah negara itu.
Peguam paderi gereja San Diego, San Bernardino dan mangsa bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah selepas rundingan di bangunan Mahkamah Persekutuan di sini.
Berikutan itu, setiap mangsa akan menerima purata AS$1.3 juta (RM4.42 juta) yang berlaku dua bulan selepas pihak Gereja Los Angeles bersetuju membayar ganti rugi terbesar, AS$660 juta (RM2.24 bilion) kepada mangsa pencabulan paderinya.
Pada Februari lalu, gereja sama memfailkan permohonan perlindungan daripada muflis, dengan alasan ia cara terbaik dapat melegakan hati mangsa.
Gereja itu pada mulanya bersetuju membayar pampasan AS$95 juta (RM323 juta), tetapi akhirnya bersetuju dengan jumlah yang dua kali lebih tinggi.
“Penyelesaian ini membuktikan usaha gigih baik mangsa serta semua pihak terbabit bagi memastikan ia dapat meredakan sedikit penderitaan yang dialami mangsa sejak sekian lamanya,” kata Irwin Zalkin, peguam sekumpulan mangsa itu.
Jumlah sebenar pampasan yang diterima setiap mangsa akan ditentukan mahkamah pada bulan depan, kata satu kenyataan bersama gereja dan kumpulan mangsa itu.
Ketua Paderi San Diego, Robert Brom turut berharap penyelesaian di luar mahkamah itu dapat membantu mangsa.
“Pihak Gereja sentiasa komited menyelesaikan kes ini dengan seadil-adilnya bagi pihak mangsa serta pada masa sama memastikan rasa hormat terhadap paderi yang bertugas dan program keagamaan, terus wujud.
“Kami juga berharap penyelesaian ini sedikit sebanyak memulihkan trauma mangsa sejak bertahun-tahun lamanya akibat pencabulan itu,” katanya.
Kes itu dapat diselesaikan selepas rundingan bertahun-tahun lamanya antara mangsa dan gereja bandar di California itu.
Sementara itu, beberapa mangsa menyuarakan rasa lega kerana kes itu selesai, tetapi marah dengan cara gereja mengamalkan taktik melengah-lengahkan penyelesaian kes berkenaan. – AFP