Perancangan pragmatik, keazaman tinggi kerajaan bolehkan rakyat nikmati hasil kemajuan
LEBIH seminggu lalu, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 dengan gilang-gemilang.
Apabila mengingati Hari Kebangsaan, sudah pasti yang tergambar pada fikiran kita ialah wajah anggota pasukan berpakaian seragam dengan kasut mereka yang berkilat sambil berbaris dan berarak dengan segak dan tampan, keindahan pertunjukan bunga api dan kibaran Jalur Gemilang tidak terkira banyaknya.
Sambutan tahun ini agak luar biasa hebatnya kerana ia menandakan usia Malaysia sudah mencapai separuh abad.
Jika direnung kembali kejayaan yang dicapai negara selama ini, sudah tentulah ia jauh lebih hebat daripada perbarisan dan perarakan yang bersemangat itu, pertunjukan bunga api gilang-gemilang atau lagu patriotik membakar semangat kita.
Sudah jauh kita berjalan sejak 1957. Sejak laungan keramat “Merdeka" oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Malaysia mencapai pembangunan pesat dan kemakmuran berkat usaha pemimpin dan pentadbir masa kini dan masa lampau.
Daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) hanya RM5.1 bilion pada 1957, ia melonjak kepada lebih 100 kali ganda dalam tempoh 50 tahun kepada RM572.5 bilion pada 2006.
Dari segi pertumbuhan, Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan purata 6.3 peratus sejak 50 tahun, satu pencapaian yang amat membanggakan jika seseorang itu mengambil kira beberapa kali kelembapan ekonomi dan krisis berlaku dalam tempoh itu, termasuk kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Keluaran negara kasar perkapita juga meningkat daripada hanya RM787 pada 1957 kepada RM20,416 pada 2006, satu peningkatan sebanyak 26 kali ganda.
Komposisi ekonominya juga berubah. Daripada struktur ekonomi yang berasaskan komoditi, yang bergantung kepada dua produk, bijih timah dan getah, Malaysia sudah berubah menjadi sebuah ekonomi yang lebih progresif berasaskan pengeluaran, kini memperluaskannya lagi kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan dan perkhidmatan.
Perubahan besar daripada segi struktur ekonomi itu menghasilkan ekonomi yang lebih pelbagai dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing. Kita juga sudah meneroka beberapa sektor perkhidmatan baru seperti minyak, gas, pelancongan serta teknologi komunikasi dan maklumat dengan mencapai kejayaan besar.
Kedudukan perdagangan kita juga meningkat dengan banyaknya: Nilai eksport meningkat daripada RM2.2 bilion pada 1957 kepada RM588.9 bilion pada 2006. Dan dalam tempoh sama, nilai perdagangan Malaysia turut meningkat daripada RM3.9 bilion kepada RM1.07 trilion, satu peningkatan kira-kira 300 kali ganda.
Apa yang lebih luar biasa ialah Malaysia dapat mencapai pertumbuhan itu dalam keadaan persekitaran yang relatif stabil. Namun, pada waktu susah pun, iaitu ketika dunia dilanda krisis minyak pada 1980-an dan krisis kewangan Asia pada 1998, Malaysia malah bangkit semula dengan lebih teguh, kerana memiliki asas ekonomi yang kukuh, yang memberikan rangka kerja untuk negara pulih dengan cepat dan terus maju.
Bagaimana kita dapat melakukan semua ini? Jawapannya mudah saja. Ia disebabkan dasar kita yang teguh, keazaman politik yang tinggi dan perancangan pembangunan pragmatik yang dilakukan kerajaan.
Malah, ketika merancang bajet negara, kerajaan memberi tumpuan kepada matlamat lebih besar. Inilah yang membolehkan kerajaan, selain sektor swasta, membina asas yang kukuh untuk negara mencapai kemakmuran.
Pertumbuhan ekonomi yang kukuh membolehkan kerajaan melabur semula dan memperbaiki perkhidmatan asas dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur dan kemudahan. Perbelanjaan untuk perkhidmatan sosial secara konsisten tinggi dan semakin meningkat.
Kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha memperbaiki asas pembinaan pertumbuhan ekonomi: pembangunan modal insan menerusi pendidikan dan membina infrastruktur utama seperti jalan raya, landasan kereta api, jalan perhubungan laut dan udara; telefon dan sambungan internet jalur lebar.
Pendidikan sering dikatakan kunci utama kepada kemajuan kerana ia memberikan rakyat alat dan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk mengambil bahagian dalam kemajuan dunia masa kini.
Selain memberi kesan besar kepada masyarakat, pendidikan juga pemangkin bagi pembangunan insan kerana ia membantu meningkatkan kualiti kehidupan seseorang menerusi pertumbuhan ekonomi. Perkara itu tidak pernah diabaikan kerajaan kerana dalam bajet tahunan, sebahagian besar daripada perbelanjaan pembangunan diperuntukkan untuk bidang pendidikan.
Sebagai contoh, peruntukan kerajaan untuk pendidikan dalam rancangan lima tahunnya meningkat daripada 7.8 peratus atau kira-kira RM330 juta daripada RM4.2 bilion yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) kepada 20.6 peratus atau kira-kira RM41 bilion (daripada RM200 bilion) dalam rancangan terbaru, Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010).
Pelaburan seumpama itu bagi bidang pendidikan memberi banyak manfaat kepada ekonomi negara. Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan memperluaskan peluang pendidikan.
Daripada hanya beberapa sekolah pada 1957, kini ada kira-kira 10,000 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara. Nisbah guru dengan murid berkurangan secara beransur-ansur. Sebagai contoh, di sekolah rendah, nisbahnya berkurangan daripada 1:20.4 pada 1990 kepada 1:16.5 pada 2005.
Sejak pertengahan 1990-an, peluang pendidikan semakin meluas di kalangan kanak-kanak di Malaysia. Dari 1970 hingga sekarang, kadar celik huruf di kalangan orang dewasa meningkat 60 peratus kepada 94 peratus. Ketika Malaysia semakin maju menuju ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, lebih banyak pelaburan dicurahkan kepada pengajian tinggi bagi mencapai Matlamat Pembangunan Milenium.
Daripada hanya sebuah universiti awam (Universiti Malaya pada 1961), kini ada kira-kira 80 institusi pengajian tinggi awam – universiti, politeknik dan kolej komuniti. Bersama-sama dengan kira-kira 550 institusi pengajian tinggi swasta, jumlah kemasukan pelajar pengajian tinggi di Malaysia ialah kira-kira 750,000 orang pada masa ini.
Dengan pelancaran Pelan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, sistem pengajian tinggi di Malaysia akan mengalami transformasi bagi melahirkan siswazah yang lebih berkaliber untuk menambah kualiti kepada modal insannya.
Kemakmuran ekonomi Malaysia juga boleh diterjemahkan kepada prospek pekerjaan yang lebih baik. Pada 1970, kadar pengangguran ialah 7.8 peratus tetapi kadar itu menurun secara drastik kepada serendah 3.5 peratus pada 2006. Lebih banyak pekerjaan telah diwujudkan sejak Merdeka. Daripada hanya 3.96 juta pekerjaan pada 1970, naik secara mendadak kepada 11.4 juta pada 2006.
Pendidikan juga membolehkan rakyat Malaysia mendapat pekerjaan yang baik bukan di dalam negara tetapi juga di luar negara. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada akauntan dan jurutera mendapat permintaan tinggi dan ramai yang berkhidmat dengan syarikat multinasional di luar negara.
Malaysia juga cemerlang dalam program pembasmian kemiskinannya. Ahli ekonomi terkemuka dunia, Prof Jeffrey Sachs baru-baru ini memuji kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan dan berkata skim rancangan tanah Felda boleh diguna pakai di negara membangun lain.
Dari segi kemiskinan, Malaysia berjaya mengurangkannya daripada lebih 50 peratus pada akhir 1950-an kepada 49.3 peratus pada 1970 dan kepada hanya 5.7 peratus pada 2004. Menjelang 2010, insiden kemiskinan akan dikurangkan separuh kepada kira-kira 2.8 peratus manakala kemiskinan tegar akan dikurangkan menjadi sifar pada tahun sama.
Mengenai penjagaan kesihatan, rakyat Malaysia secara umumnya menikmati kemudahan yang baik. Kita kini mempunyai lebih 3,000 hospital kerajaan, klinik kesihatan dan klinik bergerak di seluruh negara berbanding hanya kira-kira 100 pada 1957.
Nisbah doktor dengan penduduk kini ialah seorang doktor bagi setiap 1,214 penduduk berbanding seorang doktor bagi setiap 8,229 penduduk pada 1957. Kadar kematian bayi menurun daripada 75.5 bagi setiap 1000 penduduk pada 1957 kepada 6.6 pada 2006.
Penjagaan kesihatan, bekalan air bersih dan sanitasi yang lebih baik juga memanjangkan lagi jangka hayat rakyat Malaysia: Bagi lelaki, meningkat daripada 63.1 tahun pada 1966 kepada 71.8 tahun pada 2006. Bagi wanita, meningkat daripada 66 tahun pada 1966 kepada 76.3 tahun pada 2006.
Dari segi kesamaan gender, kerajaan juga melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk memperkasakan wanita. Sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995), pembangunan wanita tidak pernah diabaikan. Wanita di Malaysia diberi peluang sama rata dalam bidang pendidikan supaya mereka boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Malah, lebih banyak wanita menuntut di institusi pengajian tinggi berbanding lelaki di Malaysia. Pada 2006, 62 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar adalah wanita.
Walaupun jumlah tenaga wanita tetap sama dan tidak berubah secara relatifnya antara 1975 dan 2002, ada perubahan ketara dari segi corak pekerjaan dilakukan mereka. Perkadaran wanita yang bekerja dalam bidang pertanian menurun daripada 40.5 peratus kepada 27 peratus antara kedua-dua tempoh itu.
Peningkatan wanita dalam bidang kewangan, insurans, sektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan selain perdagangan borong dan runcit, sektor perhotelan dan restoran juga ketara dan ramai yang memegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta. Mereka termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Zarinah Anwar, Yvonne Chia, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Bank dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Banking Group, Datuk Bridget Lai.
Pada 1990, kadar kematian ibu adalah di bawah 20 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup berbanding 280 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1957. Kakitangan awam wanita kini dibenarkan mengambil cuti bersalin tanpa gaji sehingga lima tahun selepas melahirkan anak.
Rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai akses kepada kemudahan sosial yang baik. Kehidupan yang selesa kini kadang-kadang membuatkan ramai orang lupa bahawa keadaannya tidak seperti itu 50 tahun dulu.
Pujian harus diberikan kepada mereka yang berhak dipuji. Kita tidak harus lupa bahawa sesetengah negara lain, yang lebih baik keadaannya semasa kita baru Merdeka dulu, kini jauh ketinggalan disebabkan pemerintahan yang buruk dan keadaan negara yang tidak stabil.
Mungkin, apa yang dicapai Malaysia setakat ini dapat disimpulkan dengan baik oleh peribahasa Jepun yang berikut: Jika ada mempunyai sebuah kerajaan yang baik, maka segala masalah akan dapat diselesaikan. – Bernama