ANTARA yang menarik dalam pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin ialah menggalakkan wanita menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan bayi di rumah. Langkah ini antara lain bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada suri rumah, di samping membolehkan lebih ramai wanita menyertai pasaran kerja.
Berikutan itu, kerajaan menyediakan peruntukan permulaan RM10 juta bagi membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi latihan kepada suri rumah mengenai kaedah penjagaan bayi dan kanak-kanak. Walaupun peruntukan itu mungkin tidak berapa besar, sebagai permulaan tentulah dihargai, terutama ibu bapa bekerja yang selama ini bergantung kepada pembantu rumah atau nurseri.
Ramai juga wanita yang berhenti kerja untuk menjaga anak kerana tidak percaya dengan pembantu rumah dan nurseri, walaupun mereka mempunyai pendidikan dan kemahiran tinggi.
Memang kini pun ada ibu bapa bekerja menghantar anak mereka ke rumah jiran atau sahabat handai untuk dijaga. Bukan sebab upah, malah kepercayaan untuk meninggalkan anak dalam keadaan selamat. Dari segi upah selalunya di rumah jiran paling mahal, biasanya RM200 bagi seorang anak dan lebih murah jika anak sudah besar berbanding jika mengambil pembantu rumah asing. Urusan pengambilan pembantu rumah asing kini mencecah ribuan ringgit dan bagi yang berpendapatan rendah tidak mampu berbuat demikian.
Berikutan itu, ibu bapa berasa lebih selamat meninggalkan anak dijaga orang yang dikenali. Jadi langkah kerajaan ini tentu menggembirakan ibu bapa bekerja kerana dengan latihan yang diberi, mereka berasa lebih selamat dan tidak risau ketika bertugas dan seterusnya meningkatkan produktiviti masing-masing.
Walaupun cara atau mekanisme yang akan digunakan untuk melaksanakan program ini belum diperincikan, sekurang-kurangnya langkah ke arah itu sudah ada. Kita berharap dengan langkah ini, kebergantungan terhadap pembantu rumah asing untuk menjaga rumah dan anak dapat dikurangkan.
Pendidikan awal kanak-kanak diperakui amat penting. Tidak hairan kini ada anak yang lebih fasih berbahasa seberang daripada bahasa sendiri kerana sejak kecil diasuh pembantu asing. Bukan itu saja, cara menjaga anak juga berbeza. Mungkinkah ini juga antara sebab keruntuhan moral anak zaman ini.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna semua pembantu rumah itu tidak bagus kerana ada sesetengah anak yang lebih terdidik kerana pembantu rumah. Tetapi selepas mendengar pelbagai masalah timbul akibat pembantu rumah, terutama mengenai penderaan kanak-kanak, langkah kerajaan ini diharap membantu mengurangkan keresahan meninggalkan anak dengan pembantu rumah atau nurseri.
Namun, dalam melaksanakan cadangan ini, pelbagai perkara perlu diperhalusi supaya hanya mereka yang benar-benar berkelayakan dibenarkan menjaga anak ini. Mungkin ada prosedur dan syarat perlu ditetapkan, umpamanya dengan mengehadkan jumlah anak yang hendak dijaga. Walaupun pernah menjaga enam atau tujuh anak sendiri tidak bermakna mereka mampu menjaga tujuh anak sekali gus. Begitu juga dengan NGO yang mendapat peruntukan untuk memberikan kemahiran kepada wanita ini, jangan hanya melaksanakannya untuk melepaskan batuk di tangga.
Rancangan kerajaan ini diharap bukan saja untuk menambah pendapatan, terutama kepada ibu tunggal yang mungkin tiada kemahiran lain, tetapi dengan latihan yang diberi diharap mereka mampu mendidik anak ini dengan lebih sempurna. Lebih penting langkah ini juga mengelakkan tenaga mahir wanita terbuang kerana terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak.
Oleh Norhayati Md Said
Berita Minggu 9 September 2007