Petani perlu yakin hasil tanaman boleh dijual, mampu bersaing
KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani sedang melancarkan kempen besar-besaran ‘Pertanian Sebagai Perniagaan.’ Tumpuan baru ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa kementerian berkenaan mahu rakyat melihat pertanian dari pendekatan yang berbeza. Mungkin juga itu satu penafsiran kementerian mengenai fokus baru yang dimahukan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan tahun lalu: Sektor pertanian perlu dilihat dengan kanta baru dan keyakinan baru. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebutkan juga perlunya sektor itu dibangunkan dengan semangat baru dan agenda baru.
Malah, harapan beliau ialah untuk melihat sektor itu berada pada kejayaan yang tinggi bagi membantu imej sebuah negara maju pada 2020 kelak.
Kempen baru ini mempunyai implikasi yang besar pada sektor itu. Petani yang bermodal kecil dan bergantung hidup pada kegiatan pertanian kecil-kecilan akan diajak untuk melihat potensi baru yang ada pada sektor itu. Selama ini tafsiran ‘perniagaan’ bagi mereka hanyalah menjual kelapa sawit, getah atau hasil tanaman kontan dari tanah mereka.
Tidak mudah sebenarnya untuk mengubah minda petani daripada sekadar ‘berjual’ atau ‘berniaga’ seperti yang mereka lakukan selama ini. Asalkan cukup menampung keperluan hidup, memadailah, begitulah rata-rata sikap mereka. Tanaman kelapa sawit seluas dua hektar boleh menampung kos hidup yang rendah di kampung bagi sebuah keluarga. Tanaman kontan pula akan meringankan lagi beban. Semuanya dilakukan ala kadar tanpa satu perancangan yang jelas dan teratur.
Pemahaman mengenai potensi perniagaan ini juga selalunya dibataskan pada usaha kecil-kecilan membuat makanan daripada barang pertanian, membela ikan atau berniaga di pasar malam. Dimensi yang lebih besar tidak pernah diberikan perhatian serius. Maka itu pertanian berada pada tahap lama dan sebarang usaha mengubah sistem yang sudah sebati ini akan berdepan dengan prasangka, sinisme dan keraguan.
Sektor pertanian dianggap tidak ekonomikal, ditangani oleh orang tua atau muda yang tidak ada pilihan lain. Persepsinya ialah sektor ini tidak didukung oleh usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malah, sektor pertanian di mana-manapun di dunia menghadapi masalah pengecilan dari segi jumlah pengusahanya. Dan sektor itu di mana-manapun di dunia tidak mampu bertahan tanpa sokongan kerajaan dan subsidi yang besar.
Sekiranya kita mahu mengorak langkah baru, maka semacam revolusi fikir harus digerakkan dari kementerian hinggalah petani. Sektor pertanian menyumbang pada dispariti pendapatan bandar dan luar bandar. Maka itu kejadian peningkatan jumlah isi rumah miskin di kalangan petani tidak dapat dielakkan. Tambahan pula kebijaksanaan lalu mengatakan bahawa sektor ini tidak relevan lagi. ‘Kos melepas’ yakni sumber yang sama sekiranya dimanfaatkan untuk sektor lain akan lebih menguntungkan. Sektor pembuatan dan perkhidmatan sebenarnya memberikan pulangan yang jauh lebih baik.
Maka itu sektor pertanian hanya menyumbang pada peratusan yang kecil dalam pembangunan ekonomi negara. Mungkin benar bahawa ini ‘laluan biasa’ dalam proses perubahan sesebuah negara. Negara yang ingin maju perlu memberikan tumpuan kepada sektor pembuatan, pembinaan dan perniagaan. Orientasi eksport membabitkan sektor pembuatan dan penjana pertumbuhan dalaman bergantung kepada sektor pembinaan dan perkhidmatan. Malah, dalam kempen ketika merayakan kemerdekaan tanah air yang ke-50, kita mengisytiharkan kepada umum bahawa kita berjaya mencapai kecemerlangan selama ini hasil perubahan dasar kita dari sebuah negara pertanian kepada negara industri dan dagang.
Kita semacam menyalahkan ‘kegagalan’ lampau pada sektor pertanian. Negara mundur senama dengan pertanian. Hakikatnya banyak negara mundur di dunia merupakan negara yang memberikan tumpuan pertanian. Sedangkan kita tahu di mana-manapun dunia sektor pertanian, termasuk perladangan dan pemakanan boleh melonjakkan kedudukan mana-mana syarikat besar. Senarai Fortune 500 bagi 2007 menyenaraikan sekurang-kurang 100 syarikat raksasa dunia yang ada kaitannya dengan kedua-dua kegiatan itu.
“Sektor pertanian punya potensi yang besar.” Kita sudah mendengar kenyataan itu diulang ribuan kali. Bagi petani, mereka perlukan paduan di mana letaknya potensi itu. Sekiranya mereka diminta menanam pisang sedangkan peluang untuk menjualnya terbatas, usaha itu akan sia-sia. Sekiranya petani masih menjalankan kerja pertanian yang tidak disokong oleh R&D yang kuat, sampai bila pun hasilnya tidak ke mana. Sekiranya semua orang menganggap bahawa menghasilkan keropok sebagai pencapaian tertinggi dalam sektor hiliran, maka keropok yang dipakejkan dengan cara lama itu akan melambak di pasaran.
Sektor ini memerlukan agenda baru. Sasarannya ialah untuk memperkasa petani dengan cara memberikan peluang baru pada mereka. Dari satu segi, Malaysia menjadi pengeluar bahan mentah pertanian yang besar – kelapa sawit dan getah misalnya. Inilah yang menjadi sumber pendapatan ratusan syarikat perladangan dan ratusan ribu petani kecil negara ini. Tetapi kita tidak berjaya mendapat keuntungan lebih tinggi kerana tidak wujud nilai tambah dan kegiatan hiliran daripada bahan-bahan ini. Kegiatan hiliran menjadi kekuatan negara lebih maju yang tidak mempunyai bahan berkenaan.
Sektor pemakanan misalnya mempunyai potensi yang besar. Dan petani kita menanam padi, sayur, jagung dan lain-lain sejak sekian lama. Tetapi mereka tidak didukung oleh teknologi semasa dan R&D yang secukupnya. Maka, kita tidak dapat menyaingi Thailand, Indonesia atau Vietnam dalam sektor ini. Itu belum lagi kos buruh yang lebih murah di negara berkenaan. Malah, lebih banyak bahan makanan kita import dari luar kerana pertimbangan kita ialah mengimport lebih murah daripada menanam sendiri.
Realitinya ialah pertanian sudah berubah daripada bentuk pertanian tradisional pada pertanian yang digerakkan oleh teknologi. Di sinilah pentingnya pertanian disokong oleh disiplin sains dan teknologi. Pertanian harus memanfaatkan aplikasi teknologi baru termasuk ICT, biologi, kejuruteraan dan amalan perniagaan. Semua ini perlu disampaikan ke bawah. Petani moden tidak lahir dalam sehari. Petani moden memerlukan latihan dan sektor itu memerlukan buruh terlatih, modal dan dinamika keusahawanan baru.
Tidak usahlah kita bercakap mengenai peluang seperti bioteknologi buat masa ini. Pembangunan industri bioteknologi di luar kemampuan petani kita. Tumpukan dulu pada hal-hal yang termampu mereka lakukan.
Dalam konteks hari ini, saiz amat penting. Tanah sekangkang kera tidak akan memberikan pulangan ekonomikal tanpa sokongan teknologi baru. Kita tahu kaedah pertanian di Taiwan dan Jepun yang petaninya memanfaatkan tanah yang kecil, tetapi pulangannya cukup besar. Di sinilah peranan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia, Mardi dan lain-lain. Sektor ini memerlukan nilai tambah yang baru selain modal insan terlatih. Sektor ini memerlukan juga ‘pemain besar’ – syarikat raksasa yang dapat menjamin kestabilan modal dan ketahanan.
Bagi petani kecil, soalan mereka tentulah, “apa yang dapat saya manfaatkan daripada semua ini?” Di sinilah perlunya mereka diberi pemahaman dan latihan semula mengenai orientasi baru ini. Mereka bukan saja harus dapat menghasilkan produk yang lebih baik dan menguntungkan, tetapi dapat menjualnya secara mudah. Barang pertanian tidak punya umur panjang. Maka, rangkaian jualan harus dipermudah agar barang ini dapat sampai pada pengguna dengan cepat dan efisien.
Di sinilah letaknya peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang seharusnya menyediakan rangkaian bekalan yang sistematik seperti ruang dilakukan syarikat raksasa seperti Tesco pada masa ini. Tesco misalnya memastikan bekalan barang makanannya berterusan dengan membeli terus daripada petani dan kemudian mengedarkannya pada pasar raya mereka melalui sistem pengedaran canggih. Fama harus juga memikirkan cara sama bagi memastikan produk pertanian sampai pada destinasi dengan cara yang segar, bersih dan selamat.
Mungkin harapan baru petani ialah melalui sistem moden penjualan bahan makanan dan eksport, bukan lagi melalui pasar basah yang kotor dan gerai tepi jalan semata-mata. Masa depan petani bergantung pada cara kita memperagakan produk pertanian agar diyakini oleh pelanggan. Mahu tidak mahu pasar raya seperti Tesco akan menentukan corak dan pola perniagaan pertanian masa depan. Maka itu kita harus memulakan rangkaian perniagaan yang moden dan terkini.
Oleh Johan Jaaffar
Berita Minggu 9 September 2007