Musim kenaikan harga barang keperluan harian datang semula ‘menyerang’ kocek para pengguna ketika umat Islam hendak menyambut kedatangan Ramadan.
Ketika para suami mengeluh dan meminta golongan isteri yang bertugas sepenuh masa di rumah supaya berjimat cermat, terlepas kenyataan sinis. Apa yang orang lelaki tahu tentang perbelanjaan dapur selama ini.
Sebenarnya, sejak Ogos lalu harga barang keperluan sudah naik. Periksa semula bil barangan pasar raya besar termasuk harga beras kegemaran anda.
Hakikatnya, harga barangan keperluan terutama yang tiba-tiba banyak digunakan dalam bulan puasa ini telah naik dengan mendadak.
Bukan sahaja barang-barang keperluan basah, malah barangan kering turut naik.
Lumrah di Malaysia, jika tidak kerana kenaikan harga bahan api, kekurangan bekalan dan permintaan yang didakwa tinggi oleh pemborong dan peniaga, apa sahaja alasan boleh diguna untuk menaikkan harga barangan.
Jika amalan para peniaga negara ini sentiasa mahu ambil kesempatan dengan memberi seribu satu alasan, budaya niaga yang terus membebankan pengguna tidak akan selesai.
Golongan peniaga harus sedar, mereka juga adalah pengguna.
Kini semua pihak mengeluh terpaksa menanggung kenaikan harga yang sengaja dicipta sendiri oleh kita semua.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mengumumkan harga maksimum borong dan runcit bagi 17 jenis barangan keperluan sempena Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di seluruh negara.
Tetapi sebenarnya kita perlu maklum bahawa banyak harga barangan sudah pun naik terutama barangan bukan kawalan sebelum Bajet 2008 dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu.
Budaya peniaga negara ini perlu dinilai semula. Mereka tidak sedikit pun mengendahkan amaran pihak berkuasa supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati.
Senario sekarang, seolah-olah peniaga negara ini tidak mempunyai etika dan semangat untuk membantu kerajaan ataupun mereka mahu membiarkan kerajaan mencari jalan sendiri bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan.
Adakah kuasa pengguna patut digunakan? Teori membiarkan kuasa pasaran atau kuasa pengguna menentukan harga barangan sebenarnya ada kesan sampingan lain.
Memang ada pengguna yang tetap membeli barangan walaupun harganya naik mendadak. Tetapi sikap begitu sebenarnya mendorong para peniaga berasa yakin bahawa pengaruh mereka lebih berkuasa daripada pengguna.
Sama ada pengguna mahu membeli atau tidak, peniaga tidak lagi peduli kerana mereka tahu akan ada pembeli lain yang sanggup membeli - jadi mereka tidak akan rugi.
Setiap kali tiba bulan Ramadan, harga barangan dinaikkan. Jadi KPDNHEP perlu memainkan peranan penting bagi menjaga kebajikan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.
Harga barang di pasaran bukan hanya boleh ditentukan oleh peniaga semata-mata. Banyak faktor yang mendorong kepada harga sesuatu barangan, seperti permintaan yang tinggi, persaingan, reputasi, kehendak pasaran dan sebagainya.
Sebenarnya ramai rakyat yang sedar mereka mempunyai kuasa sebagai pengguna. Mereka ada hak dan tunjukkan kuasa jika mereka mahu. Mereka boleh bertindak dalam kumpulan yang besar untuk mempengaruhi pasaran selain mendisiplinkan peniaga.
Dalam konteks sekarang, masyarakat boleh memboikot makan ayam. Langkah memboikot peniaga yang menaikkan harga barang boleh dilakukan jika tindakan itu dapat memaksa golongan tersebut menurunkan harga barangan mereka mengikut kadar yang ditetapkan.
Sikap peniaga yang tidak beretika perlu diberi pengajaran. Kita sebagai pembeli boleh memberontak secara halus. Biar peniaga degil menerima kesan akibat perbuatan mereka. Peniaga yang tidak bertimbang rasa menaik harga, akan hilang pelanggan tetap.
Sekiranya semua rakyat Malaysia bijak berbelanja dengan tidak lagi mengunjungi restoran-restoran mewah, restoran makanan segera, mungkin mereka dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan tetapi dalam masa yang sama akan menyebabkan semua pengusaha hotel dan restoran akan gulung tikar.
Perkara begini pun seboleh-bolehnya kita tidak mahu ia berlaku. Kerana langkah ini juga boleh merosakkan kitaran ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Kalangan pembekal atau peniaga pula wajar memupuk budaya atau amalan menghormati kepentingan dan hak pengguna supaya semua usaha diasaskan kepada etika dan persaingan yang sihat.
Pihak swasta seperti pembekal, pengusaha dan peniaga perlu sentiasa mengamalkan dasar perdagangan adil, menghormati hak pengguna.
Cabaran ekonomi negara dan dunia kini menuntut para usahawan dan peniaga lebih berdaya saing, proaktif dan dinamis. Meskipun begitu, mereka tidak harus rakus mengejar keuntungan tanpa mempedulikan nilai etika, prinsip keadilan serta tanggungjawab sosial terhadap golongan pengguna.
Para peniaga seharusnya tidak menyempitkan fikiran kononnya mereka akan rugi jika tidak mengenakan harga tinggi misalnya.
Ini tidak betul. Sebaliknya, percayalah kalau mereka mengenakan harga berpatutan, lebih ramai lagi orang datang membeli dalam jangka panjang dan ini tentunya menguntungkan mereka.
Pun begitu, dalam konteks harga barangan keperluan, pendirian kerajaan perlu sentiasa tegas dalam memastikan ia berada dalam lingkungan kemampuan pengguna.
Kita juga perlu memikirkan bagaimana pula usaha yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengekang kenaikan harga yang berlaku di pasar raya besar, pasar malam, warung makan dan restoran.
Ini tugas penguat kuasa kerajaan untuk mengawasi tindak-tanduk peniaga-peniaga begini.
Kita perlu ingat banyak kesan negatif jika kenaikan harga barangan di pasaran tidak terkawal. Paling teruk, jika inflasi meningkat dan kuasa wang di tangan pengguna semakin mengejut maka ekonomi negara mungkin boleh menjunam jatuh. Inilah perkara yang perlu disedari oleh para peniaga.
Namun, masyarakat pengguna juga harus bijak berbelanja. Kaum wanita, khususnya, perlu menentukan setiap sen yang dikeluarkan dibelanjakan mengikut keperluan bagi mengelak pembaziran.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus mempergiatkan kempen ‘Pengguna Bijak’. Kempen yang mendidik orang ramai supaya hanya membeli barangan berkualiti dengan harga murah harus diperluaskan.
Pengguna bijak perlu memberi mesej kepada peniaga yang tamak dan tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang tanpa asas bahawa pengguna mempunyai pilihan di tempat lain untuk membeli barang keperluan harian mereka.
Oleh: AZMAN ANUAR
Utusan Malaysia 13 September 2007