Rabu, 12 September 2007

Sambut Ramadan secara cemerlang


RAMADAN menjelang lagi. Setiap mereka yang beriman pasti menanti bulan Ramadan ini dengan penuh rasa keikhlasan, kegembiraan dan keimanan. Bulan Ramadan ialah bulan pendidikan diri, kecergasan mental dan fizikal, bulan merapatkan silaturahim dan berbaik sangka sesama insan.

Ramadan adalah peluang keemasan meningkatkan nilai peribadi ke peringkat yang lebih tinggi. Ia adalah bulan kemurahan, berpendirian baik, dan bukan bulan kemalasan, tidak berdaya, lemah, memberontak, penuh dengan perasaan marah dan jemu terhadap pengabdian diri kepada Allah s.w.t.

Justeru, jadikanlah Ramadan tahun ini bulan yang dirancang pembangunan dan pengabdian diri kepada Allah dengan mengubah rutin tahunan yang tidak strategik kepada rencana yang berdaya maju. Laksanakan Ramadan tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri bagi melayakkan diri kita menempah rahmat dan inayat Ilahi di dunia dan akhirat.

Kita boleh mengubah gaya sambutan Ramadan sedia ada kepada pembangunan rohani dan jasmani yang diharapkan dapat mencalonkan setiap peribadi orang Islam menjadi mereka yang bertakwa kepada Allah s.w.t. Antara langkah yang boleh dilakukan seperti berikut:

Perjumpaan kekeluargaan dalam semangat kemesraan dan silaturahim untuk menerangkan tentang bulan Ramadan serta kelebihan yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Menghantar kad ucapan kepada keluarga terdekat dan sahabat handai sempena kedatangan bulan yang mulia ini sama ada menerusi pos, e-mel dan seumpamanya.

Menghadiahkan buku atau karangan berkenaan Ramadan kepada rakan taulan dan adik-beradik bagi merebut kelebihan yang disediakan pada bulan mulia ini.

Letak atau gantungkan potongan ayat al-Quran dan hadis mengenai fadilat Ramadan seperti, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap keredaan Allah akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.”

Ia juga dapat dibuat sendiri melalui lakaran komputer yang menyerlahkan bakat terpendam dan kreativiti.

Meminta khidmat ulama, ustaz atau imam memberi ceramah ringkas berkenaan ibadah puasa kepada keluarga, adik-beradik dan jiran tetangga di rumah kita sendiri. Kegiatan sebegini dapat mendidik generasi muda dalam memuliakan ilmu dan pendukungnya serta mempertingkatkan konsep zikrullah dalam rumah tangga.

Pembacaan al-Quran secara tadarus (seorang membaca didengari oleh yang lain mengikut pusingan) beberapa minit sama ada di rumah, masjid atau tempat kerja (semasa rehat).

Hadiahkan kurma untuk berbuka puasa kepada keluarga, majikan, tetangga, sahabat, kakitangan dan lain-lain mengikut kemampuan.

Adakan solat tarawih sekali-sekala di rumah dengan mengajak keluarga menyertainya dan mengimarahkannya.

Mendengar ceramah agama yang ringan dan menarik di rumah atau di dalam kenderaan melalui radio kaset, cakera padat atau cakera padat video bagi menambahkan ilmu pengetahuan.

Memperbanyakkan sedekah sama ada menerusi pemberian wang, pakaian, makanan, mengadakan majlis berbuka puasa dan sebagainya.

Bersama keluarga dalam menyediakan makanan dan hidangan berbuka puasa serta menghadiahkan sebahagian daripadanya kepada keluarga dan jiran terdekat.

Kurangkan menonton atau mendengar program yang kurang berfaedah dan memenuhkan masa dengan aktiviti yang mendatangkan natijah yang baik dan berkesan kepada peribadi dan masyarakat.

Menziarahi mereka yang kurang berkemampuan dan menyediakan hadiah atau buah tangan termasuk kewangan untuk mereka supaya sama-sama menghayati bulan Ramadan sepertimana orang lain.

Sebenarnya banyak lagi panduan dan saranan untuk memenuhi kehidupan bulan Ramadan pada tahun ini dengan penuh rasa keinsafan diri dan meningkatkan tahap ibadah yang boleh diperoleh menerusi pembacaan kitab, buku, Internet dan media massa.

Oleh: NAZMI AIDARUS

NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Utusan Malaysia 13 September 2007