SETIAP kali menjelang musim perayaan pasti timbul isu gertak-menggertak oleh para peniaga untuk menaikkan harga barangan keperluan dan kali ini pembukaannya ialah ayam.
Bagi memulakan ‘permainan’, para peniaga telah bertindak menaikkan harga ayam sehingga RM7 sekilogram melepasi paras siling di ambang Ramadan.
Untuk `mengawal’ keadaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan harga runcit siling ayam RM6 sekilogram berkuatkuasa hari ini.
Timbul persoalan siapa yang berkuasa sebenarnya? Adakah pihak kementerian atau pemain-pemain pasaran sehingga kuasa yang ada pada pihak berkuasa langsung tidak diendahkan jauh sekali digeruni.
Yang menjadi mangsanya ialah para pengguna - terpaksa menanggung kenaikan harga yang telah dirancang sejak berakhirnya musim perayaan lalu. Hakikatnya rentetan isu kenaikan harga telah menjadi agenda tahunan para pengilang, pengeluar, penternak dan peniaga yang menjadikan musim perayaan sebagai lubuk emas.
Senarai barangan yang menjadi sasaran pula tidak pernah berubah - tepung, gula, ayam dan beberapa lagi yang kesemuanya dikategorikan sebagai barang kawalan.
Namun nampaknya semua pihak tidak pernah belajar dari pengalaman lalu - lantas isu-isu seumpama itu boleh saja dibenarkan untuk tercetus semula.
Di mana hilangnya segala perancangan untuk memastikan tiada kenaikan harga berlaku menjelang musim perayaan?
Ramadan bukan muncul secara mendadak sehingga menyukarkan pihak yang berkenaan merencanakan unjuran perniagaan mereka. Para penternak boleh sahaja merancang pengeluaran ternakan mereka, para pengilang boleh sahaja mengunjurkan jumlah pengeluaran tepung atau gula untuk musim perayaan.
Tidak timbul soal perlunya dua set harga untuk barangan yang sama semata-mata kerana musim perayaan?
Hakikatnya Malaysia kaya dengan perayaan, oleh itu bukanlah sesuatu yang wajar jika ia dijadikan alasan untuk pihak yang berkenaan mengugut untuk menaikkan harga.
Mereka sebenarnya membuat duit sepanjang tahun dengan menaikkan harga barangan secara senyap, cuma ia dibesar-besarkan menjelang Ramadan kononnya dalam setahun hanya sekali mereka membayar bonus kepada diri sendiri.
Kenaikan harga ayam tidak sepatutnya berlaku jauh sekali dibenarkan oleh kerajaan walaupun ia tidak melepasi paras siling. Ini kerana setiap kenaikan sedikit sebanyak pasti akan membebankan pengguna. Kita boleh membayangkan keperitan yang terpaksa dibayar oleh pengguna semata-mata untuk menikmati hidangan berasaskan ayam.
Kepada pihak kementerian, serlahkanlah kuasa dan jangan tunduk kepada tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah itu.
Utusan Malaysia 13 September 2007