APA tujuan pekerja makan gaji membenarkan gaji mereka dipotong untuk dicarumkan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Semestinya ia bagi membolehkan kita menikmati tempoh persaraan dengan tenang walaupun tidak bermewah-mewahan seperti masa bekerja.
Sememangnya itu pun tujuan KWSP ditubuhkan, motto yang dipilih pun adalah ‘Menjamin Simpanan Hari Tua Anda’.
Namun perkembangan mutakhir ini menyebabkan kita perlu berfikir sama ada caruman KWSP kita cukup untuk menampung keperluan hari tua. Atau kita mesti mencari sumber kewangan lain untuk memastikan usia selepas 56 tahun tidak dilalui dengan menggigit jari.
Caruman KWSP kini semakin pelbagai fungsinya. Untuk membeli rumah, mengurangkan pembiayaan pinjaman perumahan, menyambung pengajian dan mengubati penyakit kronik. Ia bukan sekadar untuk kegunaan selepas bersara.
Hatta ia pernah digunakan untuk membeli komputer. Itu belum lagi ditambah dengan suara-suara yang mencadangkan supaya caruman digunakan untuk menunaikan fardu haji. Tidak mustahil kelak ada cadangan mengeluarkan caruman untuk hantaran perkahwinan yang kini mencecah puluhan ribu ringgit.
Kesemuanya itu menyebabkan caruman pekerja yang sepatutnya diterima seratus peratus semakin menyusut sehingga menimbulkan kebimbangan tentang jaminan hari tua kita.
Kebimbangan ini didorong juga oleh jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang serta kos sara hidup yang amat melonjak.
Semestinya para pencarum KWSP berhadapan dengan dilema misalnya sama ada untuk memiliki rumah atau mencari sumber kewangan lain bagi mendapatkan tempat berlindung.
Oleh kerana kemudahan mengeluarkan caruman ada di depan mata, mengapa perlu bersusah payah mencari sumber lain untuk membayar 10 peratus wang pendahuluan membeli rumah. Perkiraan itu menyebabkan hampir kesemua pembeli rumah mengeluarkan caruman akaun dua KWSP untuk memiliki rumah idaman masing-masing.
Ramai juga yang mengeluarkan lagi caruman selepas tempoh tiga tahun untuk mengurangkan pembiayaan. Tetapi adakah ia benar-benar meringankan beban para pencarum atau sekadar menceriakan institusi perbankan kerana untuk tempoh tersebut kebiasaannya pembeli hanya melangsaikan faedah yang dikenakan.
Timbul tanda tanya adakah caruman itu untuk masa tua kita atau manfaatnya dikongsi juga oleh institusi perbankan?
Justeru adalah penting untuk setiap pencarum memikirkan apa sebenarnya perancangan mereka selepas bersara kelak. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana keasyikan mengeluarkan caruman boleh menyebabkan kita ternganga apabila menerima penyata sebelum bersara kelak.
Setiap kemudahan yang disediakan oleh KWSP mesti dikaji kesannya sama ada ia menyenangkan kita di hari tua atau sebaliknya.
Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK
Utusan Malaysia 13 September 2007