PUTRAJAYA: Mulai 1 Oktober ini, semua pemandu kenderaan komersial yang hendak memperbaharui atau memohon Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) diwajib menjalani pemeriksaan kesihatan serta ujian air kencing di 611 klinik panel yang diperakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Peraturan baru yang dilaksanakan menerusi aplikasi eKesihatan itu, juga mewajibkan pemandu mendaftar dan menjelaskan bayaran RM80 di Pejabat Pos sebelum membuat pemeriksaan di klinik panel.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Solah Mat Hassan (gambar), berkata sebaik mendaftar dan menjelaskan bayaran, pemohon akan diberikan resit dan kod untuk dikemukakan di klinik panel.
“Kita percaya aplikasi eKesihatan dapat meningkatkan integriti dan kualiti prosedur pemeriksaan kesihatan pemegang atau pemohon baru PSV dan GDL kerana ia dikendalikan di klinik panel serta dihantar terus kepada JPJ tanpa pihak ketiga.
“Ini penting bagi memastikan maklumat mengenai tahap kesihatan pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam tidak dipalsukan,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaksanaan sistem eKesihatan JPJ di sini, semalam.
Aplikasi itu membabitkan sistem pemeriksaan kesihatan dan ujian makmal komprehensif menerusi rangkaian panel klinik dan makmal yang menggunakan aplikasi secara elektronik bagi permohonan dan pembaharuan lesen memandu vokasional.
Solah berkata, JPJ akan memansuhkan sistem manual menggunakan borang JPJL8A/JPJL8 kerana ia memiliki banyak kelemahan termasuk laporan kesihatan kurang tepat dan sering dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Pemeriksaan kesihatan menerusi eKesihatan lebih komprehensif, jelas dan seragam bagi semua pemegang lesen vokasional. Butir pemeriksaan di borang JPJL8A/JPJL8 terlalu umum dan kurang jelas,” katanya.
Beliau berkata, JPJ juga mewujudkan sistem pangkalan data menyeluruh bagi membantu kerajaan mengkaji dan merangka pelbagai program untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya pada masa depan.
Solah berkata, JPJ menyita 45 kenderaan termasuk Proton Perdana dan Mercedes-Benz serta kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dijadikan teksi atau limosin secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak dua bulan lalu.
Kenderaan terbabit disita dalam operasi bersepadu yang dikendalikan JPJ bersama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Kementerian Pelancongan, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kejayaan itu adalah hasil penyamaran beberapa anggota kami sejak Julai lalu bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan, selain pemerhatian yang dibuat kakitangan MAHB,” katanya.
Oleh Haika Khazi
Berita Harian 11 September 2007