SETIAP tahun, ketika bajet negara dibentangkan di Parlimen, ramai yang mendengarnya dengan berhati-hati sama ada di dalam dewan persidangan, menerusi televisyen, radio atau internet. Yang tidak peduli juga ramai kerana tidak berminat, tidak faham atau terima apa saja yang diberikan kepada mereka.
Bagi Bajet 2008 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan, Jumaat lalu, ramai dikatakan kecewa kerana kerajaan tidak mengumumkan bonus kepada kakitangan perkhidmatan awam. Media turut menjadikan ketiadaan bonus ini sebagai berita sensasi hingga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa memberi penjelasan bahawa bonus tidak semestinya diumumkan dalam bajet.
Oleh itu, bagi Bajet 2008 ini, kejayaan pertama kerajaan ialah cuba mengubah minda rakyat supaya mengiktiraf bahawa bajet bukan bererti ‘bonus’ untuk sekumpulan rakyat saja, walaupun perkhidmatan awam meliputi kira-kira 1.2 juta kakitangan. Bonus boleh dibayar pada bila-bila masa dan tidak semestinya dimasukkan dalam bajet.
Bajet tidak boleh menganaktirikan mana-mana kumpulan masyarakat. Itulah sebabnya kita setuju jika Bajet 2008 ini adalah habuan untuk semua rakyat. Bagi kita semua golongan berhak menerima habuan atau galakan dalam bajet yang diberikan kerajaan setiap tahun. Bajet hendaklah dilihat dari perspektif yang luas, bukan terlalu fokus kepada faedah langsung saja. Bajet juga perlu dilihat dari sudut yang tersirat.
Tindakan kerajaan yang tidak menyempitkan pengertian Bajet 2008 ini sangat dipuji. Pembentangan bajet berjumlah RM176.9 bilion dan bertujuan mengawal perbelanjaan adalah untuk semua 26 juta rakyat Malaysia. Berikutan jumlah peruntukan yang begitu besar ini iaitu 10.9 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2007, tidak hairanlah jika ada pihak menganggapnya sebagai bajet pilihan raya.
Bagaimana pun, bajet yang diumumkan setiap tahun tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Jika bajet tahun lalu ada pihak sudah mendapat habuannya, tahun ini kumpulan lain pula yang merasa dan mungkin tidak mendapat apa-apa tahun depan. Semuanya bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.
Namun, jika diperincikan setiap bajet negara, ia mengambil kira kepentingan majoriti rakyat meskipun ada beberapa keputusan yang tidak dianggap menepati kehendak sesetengah pihak, tetapi dianggap wajar oleh kumpulan lain pula. Laporan ekonomi meramalkan pendapatan negara bagi 2008 berjumlah RM168,799 juta yang mana 42.5 peratus datangnya daripada cukai pendapatan, 28.6 peratus (hasil bukan cukai dan cukai-cukai lain), 13.1 peratus (cukai tidak langsung), 12.9 peratus (pinjaman dan penggunaan aset kerajaan), 1.6 peratus (duti eksport) dan 1.3 peratus (duti import).
Berasaskan pendapatan daripada hasil itu, 21.4 peratus akan dibelanjakan untuk pembayaran emolumen, 18.4 peratus (perbelanjaan lain), 15.1 peratus (bekalan dan perkhidmatan), 10.6 peratus (perkhidmatan ekonomi), 8 peratus (perkhidmatan sosial), 7.8 peratus (bayaran khidmat hutang), 6.1 peratus (subsidi), 5 peratus (pencen dan ganjaran), 3.7 peratus (keselamatan), 2.6 peratus (pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri) dan 1.5 peratus (pentadbiran am).
Memandangkan peruntukan Bajet 2008 melebihi daripada pendapatan, kita percaya kerajaan mempunyai sumber kewangan lain yang akan diwujudkan.
Bagi golongan peniaga, bajet adalah ibarat pisau dua mata – dihiris pun kena, menghiris pun kena. Apa juga bentuk bajet, mereka biasanya mendapat faedah tidak langsung daripadanya. Tetapi, bagi masyarakat peniaga, Bajet 2008 memberi kelegaan kepada mereka. Ini berikutan penurunan cukai korporat daripada 27 peratus pada 2007 kepada 26 peratus pada 2008 dan seterusnya 25 peratus pada 2009.
Walaupun satu peratus campur satu peratus bagi tempoh dua tahun, tetapi bagi syarikat yang membuat untung berbilion atau beratus juta ringgit setahun, ia adalah satu jumlah yang begitu besar. Malangnya, tidak ada pihak yang dapat menterjemah atau mengaitkan penurunan cukai korporat ini kepada penurunan harga barang – berbeza dengan kenaikan gaji yang sedikit tetapi diikuti dengan kenaikan harga barang.
Sebagai contoh, bagi sebuah syarikat telekomunikasi yang membuat untung berbilion ringgit setahun, apakah penurunan cukai ini tidak boleh mengurangkan harga bil telefon atau syarikat gergasi pemaju perumahan tidak boleh mengurangkan sedikit harga rumah atau penurunan harga kenderaan dan yang lebih penting ialah penurunan harga makanan bagi syarikat yang mengeluarkan produk makanan.
Kita akui memang ada syarikat terpaksa bertungkus-lumus dan mengharapkan penurunan cukai korporat akibat tekanan pasaran, tetapi bagi syarikat yang sentiasa untung, mereka akan mendapat untung lebih besar jika tidak diterjemahkan kepada penurunan harga produk yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.
Banyak lagi galakan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat peniaga, malah bagi mereka Bajet 2008 boleh dianggap sebagai mesra perniagaan. Antara lain ia turut menawarkan:
> Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd mewujudkan dana RM400 juta bagi meningkatkan pelaburan hartanah Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
> Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberikan kelonggaran dua tahun untuk membayar cukai pada akhir tahun kewangan berbanding ansuran bulanan.
> Pengecualian duti setem diberikan kepada vendor sektor minyak dan gas yang dilesenkan Petronas bagi menggalakkan mereka bergabung dan bersaing pada peringkat global. Kerajaan juga akan melaksanakan sistem cukai satu peringkat dari 2008 yang keuntungan dicukai pada peringkat syarikat sementara dividen dikecualikan cukai.
> Syarikat pengurusan dana Islam boleh memiliki sehingga 100 peratus pegangan asing.
> Pengecualian cukai setem ke atas instrumen berkaitan penggabungan dan pengambilalihan syarikat senarai awam (PLC) akan dilanjutkan hingga 31 Disember, 2010.
> Pemilikan syarikat pengurusan dana dan syarikat pengurusan syarikat pengurusan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dibenarkan sehingga 70 peratus dengan baki pemilikan minimum 30 peratus di kalangan Bumiputera kekal, dan;
> Beberapa cukai lain akan ditingkatkan, termasuk pemotongan cukai atas pembahagian keuntungan yang diagihkan bagi mempromosi industri takaful.
> Dalam menempatkan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa, syarikat pengurusan dana Islam dibenarkan dimiliki sepenuhnya oleh pelabur asing dan dana RM7 bilion akan disalurkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diuruskan syarikat pengurusan dana Islam.
> Syarikat pengurusan dana akan diberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas semua yuran yang diterima berkaitan pengurusan dana Islam sehingga 2016.
Pengumuman mengenai langkah membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan caruman baki akaun 2 setiap bulan untuk membantu pembayaran ansuran pinjaman pengeluaran, boleh juga ditakrif sebagai menguntungkan masyarakat peniaga.
Benar, langkah itu boleh meringankan beban bulanan pencarum di samping membolehkan mereka memiliki harta bagi mereka yang belum memiliki rumah. Bagi pemaju perumahan, inilah masa yang mereka tunggu-tunggu kerana dengan kebenaran ini mereka dapat melariskan rumah mereka dan pada masa sama membuka peluang untuk melaksanakan projek perumahan baru berikutan permintaan yang dijangka meningkat.
Dijangkakan lima juta pencarum akan menggunakan kemudahan itu dengan pengeluaran dana sebanyak RM9.6 bilion. Ini adalah satu potensi perniagaan yang perlu direbut Bumiputera.
Yang jelas ramai rakyat menonton pembentangan Bajet 2008 di televisyen di kedai kopi dan setiap kali Perdana Menteri mengumumkan langkah yang berfaedah untuk rakyat mereka bertepuk gembira.
Oleh Radzi Latif
Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)
Berita Harian 12 September 2007