BAJET 2008 mempunyai tiga strategi teras iaitu mempertingkatkan daya saing negara, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Menerusi strategi mempertingkatkan daya saing negara, Bajet 2008 antara lain mencadangkan agar dipercepatkan tempoh kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dari tiga bulan ke lima minggu. Ini bagi menggalak dan meningkatkan daya saing iklim pelaburan. Inisiatif itu wajar dialu-alukan, biarpun ada kebimbangan di kalangan pencinta dan pakar alam sekitar kerana prosedur kajian EIA memakan masa untuk dilaksanakan sebaik-baiknya.
Hal ini lebih ketara bagi projek memerlukan penilaian EIA terperinci (DEIA) dengan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk menilai sejauh mana impak sesuatu projek terhadap alam sekitar. Masa lebih panjang diperlukan bagi kawasan yang komponen alam sekitarnya tidak dipantau secara terperinci dan berterusan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, Bajet 2008 juga memberi insentif untuk pembangunan sektor bioteknologi yang turut membabitkan aspek pelestarian alam sekitar. Sebanyak RM236 juta disediakan dalam bidang perolehan teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan kompaun antikanser. Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi dan institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat berstatus bionexus dibenar menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di universiti tempatan.
Menerusi strategi kedua untuk memperkasa pembangunan modal insan, Bajet 2008 dijangka turut meningkatkan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuklah pelestarian alam sekitar. IPT dijangka terus menjalankan pelbagai program pengajian pada pelbagai peringkat dan menghasilkan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pelestarian alam sekitar.
Saya berharap kerajaan mengklasifikasikan disiplin pengurusan, sains dan kejuruteraan alam sekitar sebagai bidang pengajian strategik yang diberi keutamaan dari segi pemberian biasiswa. Realitinya disiplin berkenaan berkembang pesat bukan saja dari segi skop dan kepentingan, malah dari segi permintaan pasaran kerja, sama ada di dalam atau luar negara.
Bajet 2008 turut memberi tumpuan Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan menerusi Dana Sains dengan peruntukan RM230 juta dan RM300 juta Dana Tekno. Selain itu, RM546 juta disediakan bagi program R&D institusi penyelidikan. Dana keseluruhan lebih RM1 bilion itu diharap dapat dimanfaatkan penyelidik dalam pelbagai disiplin ilmu, termasuk pengurusan, sains dan kejuruteraan alam sekitar.
Strategi ketiga Bajet 2008 ialah kesejahteraan rakyat dengan sekurang-kurangnya empat komponen berkaitan pelestarian alam sekitar. Komponen pertama ialah inisiatif mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam. Menerusi sistem cekap dan selesa maka semua pihak, terutama golongan berpendapatan rendah menjadikan pengangkutan awam pilihan perjalanan, mengurangkan kesesakan jalan raya, mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sekali gus meningkatkan produktiviti.
Dalam hal ini, beberapa inisiatif akan diteruskan untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif, termasuk rel dan bas. Dalam tempoh empat tahun mendatang, RM12 bilion diperuntukkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Bajet 2008 turut memberi fokus kepada pembangunan seimbang memastikan pembangunan tersebar luas ke seluruh negara. Dalam hal ini, pembangunan koridor ekonomi dipergiatkan menerusi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Dalam tempoh terdekat, Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta Koridor Sabah dan Koridor Sarawak pula akan dilancarkan. Pembangunan ini turut menekankan keseimbangan ekosistem, di samping memastikan kemudahan dan prasarana berkaitan pelestarian alam sekitar disediakan dengan lebih terancang dan sempurna, seperti sistem pembetungan, pengairan, perparitan dan pengindahan persekitaran.
Pada 2008, penstrukturan semula industri perkhidmatan air dirancang akan dilaksanakan sepenuhnya. Ini membabitkan, antara lain, pengambilalihan hutang kerajaan negeri berjumlah RM7.6 bilion oleh Pengurusan Aset Air Berhad, iaitu syarikat milik Kerajaan Persekutuan. Selain itu, aspek pembetungan juga akan disepadukan dengan aspek bekalan air menerusi mekanisme yang dikawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang sinonim dengan komitmen memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pelestarian alam sekitar. Buat pertama kali dalam sejarah bajet tahunan, isu fenomena perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar diberi sorotan khusus dalam Bajet 2008.
Selain peruntukan RM1.1 bilion disediakan bagi projek tebatan banjir dan RM120 juta bagi program pemuliharaan serta pengindahan sungai, inisiatif dimulakan untuk menggalak penggunaan tenaga secara cekap dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Sebagai dorongan, beberapa penambahbaikan ketara dari segi insentif cukai disediakan, seperti Elaun Cukai Pelaburan ke atas perbelanjaan untuk penjimatan tenaga dan penjanaan sendiri tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, Kerajaan mensasarkan menarik pelaburan dalam projek pengurangan pelepasan gas rumah kaca, penyumbang kepada pemanasan global. Menerusi Protokol Kyoto, syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca akan diberi sijil Certified Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalak syarikat menyertai projek ini, pendapatan diterima menerusi perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai.
Sesungguhnya, Bajet 2008 bersifat mesra alam dan rakyat, sarat dengan insentif pelestarian alam sekitar dan rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi, keselesaan serta kualiti hidup rakyat, walaupun tanpa pemberian bonus kakitangan awam.
Oleh Prof Dr Zaini Ujang
Prof Datuk Dr Zaini Ujang adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia
Berita Harian 12 September 2007