ISU kebocoran soalan peperiksaan bukan baru di negara ini. Sejak awal 1980-an dakwaan kebocoran menyusul setiap kali ada peperiksaan awam. Lazimnya, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Kementerian Pelajaran akan menafikan berlaku kebocoran, tetapi selepas siasatan didapati ada kebenaran dalam dakwaan itu.
Baru-baru ini, timbul lagi isu kebocoran, kali ini membabitkan kertas Bahasa Melayu Penulisan Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Inggeris Kertas 2 SK, Matematik Kertas 2 dan Sains Bahagian B Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Seperti biasa, LPM terus menafikan ada kebocoran. Hanya selepas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, minta siasatan rapi dilakukan dan dakwaan ibu bapa yang mengaku menerima soalan sebelum peperiksaan, LPM memutuskan untuk menyiasat dan ada kemungkinan murid di sekurang-kurangnya lima negeri akan menduduki peperiksaan itu semula.
Saya diberitahu seorang bapa, beliau menerima soalan Bahasa Melayu Penulisan sehari sebelum peperiksaan itu, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana yakin anaknya sudah membuat persiapan rapi dan boleh menduduki UPSR tanpa ‘bantuan’. Bagaimanapun, soalan yang keluar dalam peperiksaan keesokan hari hampir sama dengan SMS yang beliau terima.
Pada 1983, saya sendiri melalui pengalaman pahit terpaksa menduduki semula enam kertas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bocor. Malah, pada ketika itupun, LPM menafikan berlaku kebocoran sehinggalah beberapa akhbar tempatan menyiarkan soalan bocor Ekonomi pada pagi sama kami menduduki kertas itu. Selepas terperangkap, LPM akhirnya mengaku berlaku kebocoran, tetapi mengugut akan mengambil tindakan terhadap akhbar mengikut Akta Rahsia Rasmi.
Kita juga masih ingat bagaimana LPM menafikan dakwaan kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Petaling dan Klang pada 1997, tetapi selepas polis melakukan siasatan ternyata dakwaan itu benar. Antara kertas bocor ialah Sejarah Kertas 1, Matematik Kertas 1 dan Sains Kertas 2. Dalam kes itu, ada pelajar mengaku di mahkamah membayar RM1,500 hingga RM5,000 untuk satu kertas. Berikutan kebocoran itu, tiga orang ditahan dan didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi, termasuk seorang ketua pengawas peperiksaan.
Pada 1989, seorang pembantu am rendah Unit Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Selangor, dituduh memiliki dokumen rahsia rasmi, iaitu kertas soalan peperiksaan Bahasa Malaysia 1 dan 2 bagi SPM tahun sama. Pada 1992, kebocoran kertas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) juga berlaku.
Pada 2004, kertas Biologi STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul di Seremban, Negeri Sembilan, bocor dan Jabatan Pendidikan Negeri mengarahkan semua pelajarnya mengambil semula peperiksaan itu. Pada tahun sama, kertas Bahasa Melayu (BM) Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diambil calon peperiksaan di Sarawak didapati ada persamaan dengan soalan yang diedarkan sebuah pusat tuisyen di negeri itu. Pada 2005, soalan percubaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pula bocor di Lembah Klang.
Kebocoran bukan saja membabitkan peperiksaan awam sekolah. Pada 2001, Kertas Keterangan Peperiksaan Lembaga Kelayakan Sijil Amalan Guaman (CLP) juga dibatalkan selepas didapati berlaku kebocoran.
Kita mengakui tugas LPM mengendalikan 15 juta naskhah soalan peperiksaan membabitkan UPSR, PMR, SPM, SPM (Agama), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), STPM setiap tahun bukan mudah. Bagaimanapun, jika mereka tidak menutup semua ‘lubang’ yang memungkinkan berlaku kebocoran seperti pada peringkat panel pemberi soalan, pegawai memilih soalan, jurutaip, bahagian percetakan, kerani, pihak yang menjaga pergerakan kertas soalan, mereka yang menjaga bilik kebal, pengawas peperiksaan dan kakitangannya sendiri, maruah, reputasi dan kredibiliti LPM akan terus tercemar. Walaupun, setiap kali bocor, kita diperdengarkan kenyataan LPM akan memperketatkan prosedur dan kawalan, hakikatnya hampir setiap tahun kebocoran berlaku.
Kita berharap ibu bapa tidak perlu melalui pengalaman sama yang kita lalui. Kita harap daya usaha ibu bapa dan anak mereka membuat persediaan bertahun-tahun, berbelanja beribu ringgit dalam bentuk tuisyen dan pembelajaran tidak akan sia-sia, gara-gara soalan bocor yang boleh dibeli di pasaran gelap. Jika semua kelemahan itu tidak diatasi, ibu bapa akan hilang keyakinan terhadap sistem peperiksaan kita.
Oleh M Thillinadan
Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian
Berita Harian 12 September 2007