Selasa, 11 September 2007

Disiplin geografi wadah jana modal insan berdaya saing


USAHA Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Seminar Kebangsaan Geografi 2007 bertemakan ‘dunia tanpa sempadan’ amat releven dan selaras matlamat kerajaan yang menyaran pembentukan modal insan seimbang ke arah mewujudkan negara industri berdaya saing menjelang 2020.

Seminar dua hari itu bermula kelmarin disertai cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan Indonesia itu pada dasarnya berjaya mengenengahkan dan menyorot pelbagai isu serta program pembangunan mapan berkisar daripada mentaliti masyarakat terhadap usaha kitar semula kepada potensi pelancongan dan pembolotan kekayaan syarikat asing menerusi rangkaian perniagaan runcit hypermarket.

Pada seminar itu, 42 kertas kerja dibentang dan dibincang bagi menemukan natijah terbaik bagi menghadapi globalisasi menjelang 2020. Perbincangan itu tentunya mendasari program in-situ pembangunan, isu kelestarian fizikal dan landskap budaya, di samping pendedahan terhadap perkembangan teknologi baru dalam kebergantungan ICT badan kerajaan dan swasta dalam era masa kini demi kesejahteraan penduduk dan kelestarian generasi masa depan.

Ketika berucap merasmikan seminar itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Aminah Ayob, berkata ketika beliau bersekolah, disiplin geografi terbatas kepada pembelajaran mengenai pembentukan fizikal, iklim dunia, tumbuhan semula jadi, kedudukan negara dan ibu negara dunia dipelajari secara menghafal.

”Kini dalam era globalisasi tanpa sempadan, disiplin geografi sudah merentasi seluruh kehidupan sejagat membolehkan cendekiawan mengupas dan berdebat mengenai isu pentadbiran kerajaan membabitkan negara jiran, perluasan ekonomi, penghijrahan global, proses perbandaran dan sistem pemantauan satelit.

”Begitu pun, sayang sekali, dalam kurikulum sekolah menengah, geografi bukan mata pelajaran wajib seperti dulu, sebaliknya diambil segelintir pelajar sehingga ramai di kalangan pelajar kita tak tahu kedudukan sesebuah negara atau tempat kerana buta geografi,” katanya.

Sementara itu, dalam ucaptama, Prof Dr Katiman Rustam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menyentuh mengenai globalisasi ekonomi dan ketidaksamaan: Implikasi kepada pendidikan geografi, berkata akibat pembangunan ekonomi tertumpu kepada bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang wujud pembangunan tidak seimbang antara kawasan.

Sejajar kemajuan negara dalam pelbagai sektor pembangunan, katanya, geografi yang mempunyai kaitan secara langsung dengan bumi, harus diberi anjakan paradigma bagi membolehkan cendekiawan menyumbang ke arah pembangunan negara. ”Negara maju menjadikan pendidikan, termasuk geografi sebagai alat membentuk dan menjana modal insan berdaya saing bagi membangunkan ekonomi mereka,” katanya.

Ringkasnya, seminar berkenaan berjaya mengupas inti pati interaksi penting dalam epestemologi geografi itu sendiri iaitu yang mencari penyelesaian terhadap permasalahan: apa yang berlaku, di mana dan mengapa ia berlaku menerusi sudut pandangan hasil daripada interaksi manusia dengan alam, manusia dengan manusia dan jaringan pelaksanaan program pembangunan menerusi sistem pentadbiran ‘global player’ yang efisien.

Walaupun dua lagi aspek hubungan holistik iaitu hubungan manusia dengan Khaliq dan hubungan antara alam dengan isi alam tidak ditekankan secara ekplisit, namun dalam banyak hujahan sidang panel, wujud pelbagai gagasan menerusi polemik intrinsik wahana yang disifatkan sebagai kurikulum tersembunyi agenda persidangan, iaitu hubungan antara manusia dan Tuhan serta manusia dengan pembudayaan hasil proses globalisasi dan sistem pelaksanaan program pembangunan lestari itu sendiri.

Antara implikasi sosial terhadap proses perbandaran yang dikupas Prof Madya Dr Wan Rozali Wan Hassin, menyangkut kemerosotan kualiti hidup warga kota yang menghadapi pelbagai dilema dan krisis sosial dan ekonomi, termasuk ketidakcekapan kemudahan asas, penghijrahan penduduk dari desa ke bandar, pendatang asing, kemiskinan, perebutan peluang pekerjaan, pencemaran, di samping gejala sosial, termasuk rogol, penculikan, peras ugut, pembunuhan, sumbang mahram, penyalahgunaan dadah dan masalah mat rempit.

Mohamad Zaki Ahmad dalam kajiannya mengenai kelestarian pelancongan berasaskan pengurusan sumber jaya semula jadi turut mendapat perhatian. Beliau mengambil contoh Pulau Langkawi, menegaskan alam sekitar adalah teras tarikan utama pelancong, sekali gus membangunkan ekonomi penduduk tempatan.

Kajian pencemaran air di bandar raya Ipoh dilakukan Mohd Hairi Ibrahim, Mohmadisa Hashim, Nasir Nayan, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah dan Nrulhuda Roslan, menggesa pihak berwajib memantau kelestarian sungai di situ kerana beberapa sungai utama mengalami kadar pencemaran melepasi Piawaian Interim Kualiti Air Nasional dan boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Oleh Abdul Jalil Ishak

Berita Harian 12 September 2007