Pertumbuhan kukuh bukti pencapaian cemerlang kepimpinan Abdullah
BEBERAPA petunjuk ekonomi makro seperti nilai ringgit, pelaburan, jumlah dan imbangan dagangan serta indeks bursa saham menunjukkan kedudukan ekonomi semasa negara terus kukuh. Namun, ada pihak meragui fakta ini dan menyifatkannya sebagai manipulasi semata-mata.
Jika satu atau dua angkubah saja yang digunakan untuk menunjukkan kekukuhan berkenaan, maka data itu boleh dimanipulasi. Manipulasi atau pembohongan tidak mungkin boleh dilakukan ke atas 10 angkubah ini secara serentak kerana ia di luar kawalan atau kemampuan orang yang memanipulasi fakta berkenaan.
Keyakinan penulis mengenai hakikat ini adalah bersandarkan sifat asal data itu yang digunakan secara kolektif. Sesungguhnya semua data ini adalah blok bercantum dan oleh itu, ia tidak boleh sewenang-wenangnya dimanipulasi.
Justeru, perkembangan positif asas ekonomi terbabit bukanlah sebagai suatu ‘propaganda’, sebaliknya kedudukan ekonomi negara yang mantap pada masa ini adalah suatu realiti.
Penulis membuat analisis ini berdasarkan kepada 10 angkubah ekonomi yang semuanya menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan dalam satu tempoh masa sama.
Ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 2006 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.9 peratus, melepasi unjuran sebelum ini sebanyak 5.8 peratus serta lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pada 2005 sebanyak 5.2 peratus.
Pertumbuhan dicapai adalah menyeluruh, dengan sektor pembuatan (7 peratus) dan perkhidmatan (6.5 peratus) menjadi peneraju. Sektor pembinaan kembali pulih pada suku keempat 2006 selepas 10 suku tahun sebelum ini mengalami pertumbuhan negatif. Pada 2007, KDNK dianggarkan berkembang sebanyak 6 peratus.
Kedudukan ekonomi negara yang semakin baik ketika ini adalah berikutan pendekatan berhemah kerajaan sejak beberapa tahun lalu, termasuk langkah pengapungan ringgit pada September 2000. Sejak ringgit diapungkan, nilai mata wang itu mula menunjukkan pengukuhan daripada RM3.80 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM3.70 dan sehingga kini ringgit melonjak ke paras sekitar RM3.43 berbanding dolar AS, paras tertinggi baru untuk tempoh hampir 10 tahun, dirangsang permintaan begitu cergas dengan dana asing terus mengumpul saham di Bursa Malaysia.
Bagi Indeks Komposit pula, bermula dengan kenaikan nilai ringgit sejak awal tahun ini, negara menyaksikan pula bursa saham melepasi paras tertinggi 1,200 mata dalam tempoh 10 tahun sejak 1997.
Kejatuhan saham yang berlaku baru-baru ini disebabkan faktor luaran sementara asas ekonomi masih tidak berubah. Pasaran saham tempatan kekal kukuh, walaupun Indeks Komposit (IK) Bursa Malaysia jatuh mendadak dua hari berturut-turut pada 28 Februari 2007.
Kejatuhan saham di Bursa Malaysia sama seperti dialami bursa saham serantau dan antarabangsa yang bertindak balas terhadap kemungkinan China mengenakan kawalan modal serta kebimbangan pertumbuhan ekonomi Amerika dan China yang dijangka lebih lemah.
Kini Indeks Komposit kembali kukuh dengan mencatatkan 1,278.27 mata pada 27 Ogos 2007. Kelmarin, ia ditutup pada paras 1,290.70 mata.
Mengenai nilai dagangan, kejayaan negara mencatatkan jumlah dagangan melepasi paras RM1 trilion iaitu sebanyak RM1.085 trilion pada 2006 adalah yang tertinggi dalam sejarah negara.
Peningkatan eksport sebanyak 10.3 peratus menyumbang kepada lebihan dagangan yang kukuh dan mencatat lebihan selama 110 bulan berturut-turut. Sektor perkilangan yang kukuh menghasilkan permintaan bagi barang perantara/barang modal dan ia melonjakkan perkembangan import sebanyak 10.7 peratus kepada RM480.5 bilion pada 2006.
Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini disokong oleh rizab antarabangsa yang besar iaitu hampir mencecah RM300 bilion pada 2006 berbanding RM128.1 bilion pada 2002 iaitu lonjakan sebanyak 126.7 peratus. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.8 bulan import tertangguh.
Asas ekonomi yang kukuh ini turut memantapkan keuntungan syarikat, sekali gus ia meningkatkan perolehan kerajaan menerusi hasil cukai yang lebih tinggi. Hasil Kerajaan Persekutuan mengukuh 13.5 peratus kepada RM120.6 bilion pada 2006 berbanding RM106.3 bilion pada 2005.
Jika dibandingkan pada 2002, hasil kerajaan melonjak 44.4 peratus. Kedudukan kewangan kerajaan bertambah kukuh berikutan peningkatan hasil, terutama hasil berkaitan petroleum, termasuk dividen Petronas yang lebih tinggi. Ia membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan bagi terus menggalak dan menyokong aktiviti pertumbuhan ekonomi negara.
Peningkatan hasil ini juga membolehkan defisit belanjawan kerajaan terus berkurangan daripada 5.6 peratus pada 2002 kepada 3.5 peratus pada 2006 berbanding dengan nilai KDNK negara. Ia membuktikan kerajaan berjaya menguruskan kewangan awam dengan berhemah, walaupun berbelanja lebih banyak untuk rakyat.
Pelaburan asing dan domestik turut melambung 48.1 peratus kepada RM46.0 bilion tahun lalu berbanding RM31.1 bilion pada 2005. Peningkatan ini menunjukkan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) sudah kembali ke negara ini.
Pencapaian ekonomi yang kukuh itu meyakinkan pelabur daripada dalam dan luar negara. Keyakinan ini kayu pengukur dalam menguruskan ekonomi yang berhemah. Ramai pelabur tempatan yang sebelum ini melabur di China, kini kembali melabur di negara sendiri, manakala sebahagian pelabur asing yang bertapak di China dilaporkan mahu melupuskan pelaburan mereka di republik berkenaan dan menanam FDI di Malaysia.
Kadar pengangguran di negara kita pula terus rendah dan terkawal hasil usaha kerajaan menjana pertumbuhan ekonomi yang membuka banyak peluang pekerjaan. Kadar pengangguran di bawah empat peratus yang dicatatkan oleh Malaysia bermakna negara sudah mencapai tahap guna tenaga penuh, mengikut takrif Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Kejayaan ini membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat melaksanakan tugas sosioekonominya dengan berkesan.
Kedudukan Malaysia dalam daya saing dunia bertambah baik daripada kedudukan ke-28 kepada 23 berdasarkan ‘IMD World Competitiveness Yearbook 2006’. Sistem penyampaian kerajaan juga sudah bertambah cekap apabila kedudukannya berubah daripada tangga ke-26 ke tangga 20.
Usaha kerajaan untuk merealisasikan Teras Kelima Misi Nasional nampaknya sudah membuahkan hasil positif.
Angka ini menunjukkan Malaysia mampu meningkatkan daya saing dan daya tahannya, terus berjaya mengukuhkan kehadirannya dalam perdagangan global dan terus bergerak di atas rantaian nilai ekonomi yang tinggi.
Berdasarkan fakta positif yang banyak itu, maka wajarlah rakyat berasa positif dan yakin terhadap keadaan ekonomi negara. Perasaan ‘feel good’ ini dijangka terus menular.
Oleh Akbar Ali
Penulis adalah Pengarah Eksekutif Direktorat Pelaksanaan Negeri (DPN), Jabatan Ketua Menteri Melaka
Berita Harian 12 September 2007