JAKARTA: Pihak berkuasa Jakarta meluluskan satu undang-undang yang melarang penduduk memberikan wang kepada peminta sedekah, seniman jalanan dan penjaja sebagai usaha membersihkan bandaraya terbabit yang memiliki sekitar 10 juta penduduk.
Undang-undang baru diluluskan kelmarin memperbaharui undang-undang sedia ada sejak 1988.
Pengkritik berkata, ia dilaksanakan dengan baik berikutan bandaraya terbabit menjadi tarikan kepada kebanyakan penduduk luar bandar untuk mencari rezeki.
Undang-undang terbabit mengambil kira pelbagai aspek ketenteraman awam daripada meninggalkan gula-gula getah di bangku taman hingga kepada pendaftaran binatang peliharaan.
Ia turut melarang seniman jalanan, peminta sedekah dan penjaja jalanan yang sebelum ini termasuk dalam undang-undang kecil tetapi tidak dikuatkuasakan di bandaraya yang menjadi tumpuan remaja bermain gitar, kanak-kanak jalanan dan penjaja.
Undang-undang terbabit juga melarang penduduk tinggal berhampiran tebing sungai dan setinggan di bawah jalan raya.
Di bawah undang-undang terbabit, mereka bersalah boleh berhadapan dengan tahanan 180 hari dan denda sehingga 50 juta rupiah (RM18,704). – Reuters
Ia akan dikuatkuasakan hujung minggu ini, kata Ari Budiman Sudarto, jurucakap pihak berkuasa tempatan.
Gabenor Jakarta, Sutiyoso menggesa penduduk awam supaya mematuhi peraturan baru terbabit.
“Benar kita masih lemah dalam menguatkuasakan udang-undang tetapi kita perlu sedar bahawa undang-undang tidak akan berjaya jika penduduk tidak berdisiplin,” kata Sutiyoso. – Reuters