Ramadan ialah satu proses membentuk peribadi mukmin mulia di sisi Allah
ALHAMDULILLAH kita bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan keizinan dan rahmat kasih sayang-Nya memberi ruang kepada kita untuk bertemu bulan Ramadan al-Mubarak. Pada bulan ini, kita diwajibkan melaksanakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 183)
Ada beberapa peringkat orang berpuasa yang seharusnya kita beri perhatian supaya termasuk dalam golongan tingkatan puasa yang terbaik. Ini sudah diingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa balasan melainkan lapar dan dahaga saja.”
Peringatan ini jelas menunjukkan perlunya kita berpuasa seperti dikehendaki dalam Islam supaya mendapat balasan daripada Allah seterusnya menjadikan kita orang yang bertakwa.
Puasa peringkat pertama, puasa orang awam yang hanya sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan persetubuhan pada siang hari. Tetapi anggota pancaindera lain seperti mata, telinga, tangan, kaki, mulut, pemikiran dan yang lebih penting hati tidak dipelihara malah berlipat ganda melakukan perkara negatif yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Puasa peringkat kedua ialah puasa Ahlul Khusus iaitu mereka menahan diri daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga anggota zahir yang lain daripada perbuatan yang keji. Tetapi mereka ini lalai daripada mengingati Allah. Jasad mereka saja yang berpuasa tetapi unsur terpenting iaitu hati mereka abaikan hingga tahap terus alpa dengan Allah.
Puasa peringkat ketiga dan yang terbaik ialah puasa Ahli Khusus al-Khusus/Ahlul Ma’rifah iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati supaya tidak lalai daripada mengingati Allah. Segala amalan dilakukan semata-mata mendapatkan keredaan Allah. Inilah martabat ibadat puasa nabi dan siddiqin dan sudah semestinya akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Konsep asas Allah mewajibkan kita berpuasa ialah supaya kita dapat menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Menerusi amalan puasa, beberapa panduan serta larangan ketika melaksanakan ibadat puasa, akan timbul rasa syukur kepada Allah, sifat kasih sayang sesama insan, perasaan yang mendorong kita membantu sesama umat Islam lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan perhatian serta keprihatinan kita.
Puasa sempurna akan dapat melahirkan insan muttaqi. Insan muttaqi ialah modal insan yang amat bernilai dan mampu berkhidmat untuk agama Allah dengan penuh penghayatan dan mereka adalah nukleus bagi pembangunan mapan sesebuah ummah.
Inilah golongan yang berjaya dilahirkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu para sahabat. Jika dilihat senario hari ini, sifat serta kriteria sahabat dulu sudah semakin terhakis kerana kehidupan hari ini berhadapan pelbagai cabaran. Ada yang gugur dengan percubaan dan ada pula berusaha gigih menghadapinya.
Ketibaan Ramadan al-Mubarak kali ini adalah kesempatan terbaik untuk sama-sama berusaha menggilap kembali semangat serta kesungguhan yang sudah tertanam kukuh dan jitu dalam jiwa sanubari golongan sahabat.
Kadang kala sikap menjadi faktor penghalang daripada dapat menjiwai tujuan puasa sebenar. Sikap sebahagian umat Islam pada Ramadan, ada yang bersungguh dalam beramal dan ada yang lalai serta alpa. Masih ada yang berpuasa hanya sebagai adat bukannya ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredaan Allah tidak menjadi pendorong utama kepada ibadat puasa.
Ada yang berpuasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menghalang daripada melakukan perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu, berkata lucah dan sebagainya. Mengambil ringan urusan bersahur hingga ada yang meninggalkannya sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan sahur. Malah, ada yang bangun lewat sehingga tertinggal solat Subuh.
Ibadat solat fardu dan sunat hanya dilakukan pada Ramadan saja serta bersungguh-sungguh mengerjakan solat sunat tarawih dan witir tetapi meninggalkan solat fardu yang lain. Bersungguh dalam pelaksanaan ibadat pada Ramadan termasuk membaca al-Quran untuk diri sendiri, tetapi mengabaikan pembabitan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah.
Terlalu membandingkan antara imam solat tarawih sehingga sampai pada peringkat mengumpat dan menghina. Bersungguh menghidupkan ibadat hanya pada awal sehingga pertengahan Ramadan sedangkan banyak hadis menyatakan mengenai kelebihan 10 hari terakhir antaranya adanya malam lailatul qadar.
Tilawah al-Quran hanya pada Ramadan saja dan akan berakhir dengan berakhirnya Ramadan. Rajin membaca al-Quran tetapi tidak berusaha untuk memahami dan menghayati isi kandungannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Bersungguh dalam melaksanakan ibadat puasa, namun masih mengabaikan kewajipan lain seperti solat, menunaikan haji, menutup aurat, menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan lain-lain lagi.
Tidak bersimpati dan mengambil berat terhadap saudara Islam yang mengalami penderitaan, kesusahan, kelaparan serta terus dengan sifat bakhil dan kedekut.
Mensia-siakan fadilat atau kelebihan iktikaf di masjid terutama pada 10 akhir Ramadan. Masa dihabiskan dengan membuat persiapan 1 Syawal. Tidak salah untuk membuat persiapan tetapi kita akan terlepas satu masa dan ketika yang afdal melakukan ibadat.
Tidak mengambil berat mengenai zakat harta sedangkan zakat adalah ibadat yang mesti disertakan dengan solat dan melewatkan pengeluaran zakat fitrah sedangkan Rasulullah SAW menggalakkan supaya dikeluarkan lebih awal sebelum tiba hari raya untuk diagihkan kepada mereka yang berhak.
Meninggalkan sunat takbir hari raya kerana disibukkan dengan rancangan dan agenda lain atau sibuk melayan kerenah isteri dan anak. Amalan membazir wang ketika menyambut Aidilfitri dengan membakar mercun sedangkan itu adalah kerja tidak berfaedah boleh membawa bencana kepada diri, keluarga dan harta benda di samping membazir itu adalah suku sakat syaitan.
Ramadan ialah satu proses untuk membentuk peribadi mukmin muttaqi. Mukmin muttaqi adalah insan yang paling mulia di sisi Allah. Kemuliaan ini tidak akan diperoleh melainkan usaha dan mujahadah yang tinggi.
INTI PATI
Tiga peringkat orang berpuasa
> Puasa peringkat pertama, puasa orang awam yang hanya sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan persetubuhan di siang hari. Tetapi anggota pancaindera lain melakukan perkara negatif yang boleh mengurangkan pahala puasa.
> Puasa peringkat kedua ialah puasa Ahlul Khusus iaitu mereka menahan diri daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga anggota zahir yang lain daripada perbuatan yang keji. Tetapi mereka ini lalai daripada mengingati Allah.
> Puasa peringkat ketiga dan yang terbaik ialah puasa Ahli Khusus al-Khusus/ Ahlul Ma’rifah iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati supaya tidak lalai daripada mengingati Allah.
Oleh Mohamad Zamri Zakaria
Penulis ialah Pengurus Kanan Jabatan Amal Jariah YaPEIM
Berita Harian 12 September 2007