Selasa, 11 September 2007

Masyarakat perlu prihatin usaha cegah salah laku ummah


ESOK umat Islam akan menyambut Ramadan 1428 Hijrah. Dalam bulan ini kita digalakkan mengawal diri, melaksanakan amalan puasa dan ibadat lain sebaik mungkin. Rasulullah SAW juga menganjurkan kita memperbanyakkan sembahyang sunat terutama sembahyang tarawih pada waktu malam sepanjang bulan itu.

Berkenaan ibadat tarawih, kita selalu berdepan dengan perbezaan pendapat antara melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat. Kadang kala perbincangan berlanjutan hingga kita banyak menghabiskan masa berhujah mengenai isu ini.

Bahkan boleh menyebabkan kita bermasam muka dan tidak puas hati sedangkan masih banyak isu lain patut difikirkan seperti masalah ajaran sesat, isu murtad, orang Islam tidak berpuasa, khalwat, zina dan lain-lain.

Adalah wajar kita tidak berdebat atas bilangan solat tarawih ini sebaliknya mengajak umat secara berhikmah supaya memilih bilangan terbanyak jika mempunyai kemampuan, kesihatan baik dan masa mencukupi. Apa yang penting menghidupkan bulan itu sebaik mungkin dengan kapasiti masing-masing.

Sepanjang Ramadan setiap tahun juga, kita kerap didedahkan dengan penangkapan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Begitu juga wujudnya kedai makanan yang membuka premis dan menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa secara terang-terangan. Ini adalah suatu perlakuan yang sangat dikesali.

Berhubung kesalahan itu, Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2003 (EJSS 2003) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan, menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu. Dan mana-mana orang yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya adalah dianggap melakukan kesalahan.”

Jika disabitkan, pelakunya boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama. Jika disabitkan kali kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Dalam hal ini, Pegawai Penguat Kuasa Agama (PKA) di tempat berkenaan atau mana-mana pegawai diberi tauliah dan mempunyai kad kuasa boleh mengambil tindakan ke atas pelaku berkenaan.

Tetapi bagaimana pihak PKA boleh bertindak jika tiada sesiapa memaklumkan kepada mereka. Jumlah PKA sangat terhad dan sudah tentu tidak mampu membuat pemeriksaan dan rondaan ke semua premis.

Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 (ETJS 2003) memperuntukkan bahawa: “Tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta-merta memberikan maklumat kepada PKA atau pegawai polis yang terdekat mengenai perlakuan atau niat itu.”

Ini menunjukkan bantuan orang awam diperlukan apabila wujud perlakuan salah dalam masyarakat. Salah laku boleh dilaporkan termasuk aduan terdapat orang Islam tidak berpuasa, ada pasangan disyaki berkhalwat, ada ajaran sesat di amalkan dan sebagainya. Bantuan dalam bentuk maklumat sangat diperlukan agar PKA dapat mengambil tindakan sewajarnya.

ETJS 2003 menggariskan bagaimana sesuatu maklumat boleh diberikan dengan mengisi Borang 5. Di dalamnya terkandung nama, alamat, telefon, nombor kad pengenalan, maklumat ingin disampaikan serta tanda tangan pemberi maklumat. Ia bertujuan memastikan kebenaran sesuatu laporan dan pertanggungjawaban pemberi maklumat demi mengelakkan maklumat palsu disampaikan.

Seksyen 54 enakmen sama membenarkan maklumat secara lisan, tetapi PKA yang menerima maklumat perlu memindahkan aduan itu ke dalam tulisan menggunakan borang sama, dibacakan kepada pemberi maklumat dan ditandatangani pemberi maklumat kemudiannya.

Berdasarkan peruntukan keperluan borang ditandatangani oleh pemberi maklumat, seorang pemberi maklumat menerusi telefon perlu hadir ke pejabat selepas waktu itu untuk memastikan peraturan berkenaan aduan dipenuhi.

Arahan Tetap Pengarah JAIS Bil 1/2002, Seksyen 13 menggariskan tahap perlu dilalui oleh pemberi maklumat supaya tindakan diambil dengan wajar. Dengan kehadiran pemberi maklumat di hadapan PKA, akan lebih mudah bagi PKA mendapatkan gambaran lokasi perlakuan salah dan masa kebiasaan berlakunya perlakuan itu supaya tindakan diambil dengan tepat.

Mengikut Seksyen 20 ETJS, pegawai masjid juga boleh mengambil tindakan dan membuat tangkapan tanpa waran. Jika ini berlaku, orang yang ditangkap hendaklah dengan seberapa segera dibawa kepada PKA atau pegawai polis. PKA atau polis hendaklah menangkap semula pelaku itu.

Pegawai masjid dimaksudkan adalah nazir, imam, bilal dan siak atau gelaran tertentu diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor berhubung pengurusan sesuatu masjid seperti dinyatakan dalam seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Dalam usaha mencegah kesalahan memakan dan menjual secara terbuka Ramadan atau kesalahan lain dalam peruntukan undang-undang, adalah dicadangkan supaya:

> Orang awam lebih prihatin, mengambil tahu dan berani memberi maklumat kepada PKA atas apa-apa perlakuan salah di tempat mereka.

> Nombor aduan dan tempat aduan PKA perlu diwar-warkan supaya masyarakat tahu di mana dan siapa perlu dihubungi apabila keadaan memerlukan.

> PKA perlu bersikap baik dalam pertuturan dan menerima serta memudahkan urusan penerimaan aduan dan maklumat oleh pihak orang awam serta mengambil tindakan sewajarnya.

> PKA perlu mempergiatkan rondaan di tempat bermasalah untuk mencegah perlakuan salah daripada berleluasa.

> PKA perlu diberi latihan sewajarnya, terutama berkaitan penguatkuasaan, prosedur siasatan dan tangkapan supaya tindakan dibuat menepati peruntukan undang-undang. Ia boleh mengelakkan mana-mana pihak menuduh dan memburukkan PKA dengan dakwaan tidak benar.

Adalah disarankan juga pihak berwajib menambah bilangan PKA supaya selari dengan tugasan berat ini serta membenarkan setiap kariah, kawasan atau kampung mempunyai ramai pegawai yang mempunyai kad kuasa. Ia penting demi memastikan persekitaran setempat adalah sejahtera dan pihak yang perlu dicari berada dalam jarak munasabah untuk dihubungi.

Sempena Ramadan 1428 ini juga, PGSM mengucapkan selamat menyambut dan menghayati bulan Ramadan kepada seluruh Muslimin di Malaysia. Semoga keharmonian hidup sempena 50 tahun merdeka akan terus dihayati bersama.

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhd Hashim

Penulis ialah Presiden dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com

Berita Harian 12 September 2007