Ahad, 9 September 2007

Kerajaan makin tegas ambil tindakan disiplin


DAKWAAN masyarakat yang menganggap penguatkuasaan peraturan tatatertib di sektor awam sangat longgar dan beranggapan bahawa kakitangan kerajaan sukar dikenakan tindakan ‘buang kerja’ adalah satu persepsi silap kerana pada hakikatnya kerajaan sudah semakin tegas dalam mengambil tindakan terhadap apa saja masalah membabitkan disiplin kakitangannya.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata mungkin sebelum ini kurang tindakan dikenakan terhadap kakitangan bermasalah tetapi kini penguatkuasaan sudah diperketatkan dan sesiapa saja kakitangan yang terbukti bersalah tidak akan terlepas daripada hukuman termasuk buang kerja.


Namun, katanya, apa yang menyebabkan sesuatu tindakan itu lambat diambil ialah kerana ia perlu melalui proses yang adil supaya mana-mana kakitangan yang didapati bersalah diberi peluang membela diri sebelum tindakan sewajarnya dikenakan terhadap mereka.


“Ini bukan bermakna kerenah birokrasi menghalang sesuatu tindakan diambil atau menyebabkan ada kakitangan bermasalah terlepas daripada hukuman. Cuma, kerajaan perlu memastikan tindakan yang dikenakan tidak bersifat melulu sehingga memberi implikasi lain kepada kedua-dua pihak (kakitangan dan kerajaan).


“Ada kesalahan yang berlaku mungkin disebabkan kakitangan terbabit mempunyai masalah lain yang boleh diselesaikan apabila diberi sesi kaunseling. Namun, bagi kakitangan bermasalah yang dikategorikan sebagai tegar, tindakan tetap dikenakan sehingga ke peringkat buang kerja,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.


Beliau berkata, sektor swasta juga tidak akan membuang pekerjanya secara melulu. Hukuman hanya akan dijatuhkan apabila benar-benar terbukti bersalah, malah kerajaan akan memberi tempoh 21 hari untuk membela diri.


Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji mekanisma terbaik menangani kakitangan yang sentiasa merosot prestasinya serta kerap mempunyai masalah kesihatan supaya golongan itu boleh dipisahkan daripada perkhidmatan awam dengan menggunakan kaedah terbaik.


Katanya, kerajaan bukan menolak sepenuhnya cadangan pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) untuk dilaksanakan ke atas kakitangan bermasalah seperti yang pernah dicadangkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan tetapi perlu mewujudkan satu kaedah sesuai digunakan dalam sektor awam.


“VSS sudah begitu sinonim dengan sektor swasta. Kerajaan bukan menolak cadangan itu tetapi akan mengkaji kaedah lebih sesuai untuk kakitangan awam. Bagaimanapun, kerajaan bersetuju bahawa kakitangan bermasalah perlu dipisahkan daripada terus berkhidmat dalam sektor awam.


“Namun, sebenarnya peraturan sedia ada dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 mencukupi dan lengkap. Cuma, majikan kadangkala tidak memahami apa yang sepatutnya dilakukan untuk menangani kakitangan terbabit. Nasihat saya, rujuklah dengan JPA untuk memahami kaedah atau proses mengambil tindakan,” katanya.


Beliau berkata, jika diteliti peraturan sedia ada, kakitangan yang tidak hadir bertugas selama tujuh hari berturut-turut tanpa alasan munasabah boleh dikenakan tindakan buang kerja, malah apa saja kesalahan jenayah yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah juga boleh dibuang kerja.


Namun, katanya, ia perlu menjalani beberapa proses termasuk memberi surat tunjuk sebab, amaran, malah ada yang boleh diturunkan pangkat sebelum diwartakan untuk tindakan buang kerja.


Ismail berkata, kerajaan perlu mencari jalan terbaik memisahkan kakitangan bermasalah kerana jika dikekalkan dalam sektor awam akan memberi pelbagai masalah kepada perkhidmatan awam.


Sementara itu, Bahagian Perkhidmatan JPA memberitahu, menurut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4/1998 - Garis Panduan Menguruskan Pegawai Berprestasi Rendah dan Pegawai Bermasalah sudah menyatakan dengan jelas kaedah dan tindakan yang boleh diambil majikan untuk menangani kelompok bermasalah di jabatan masing-masing.


Menurut pekeliling itu, pegawai berprestasi rendah didefinisikan sebagai pegawai yang tidak dapat menyumbang ke arah pencapaian objektif jabatan dan khususnya mereka yang gagal mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT).


Pegawai seperti itu dikatakan sebagai pegawai tidak produktif, tidak mempunyai sikap bersungguh-sungguh, kurang berusaha dan kadangkala mempunyai pengetahuan serta kemahiran rendah selain mempunyai masalah peribadi dengan pihak pengurusan, rakan sejawat atau kakitangan bawahan.


Selain itu, pegawai bermasalah pula termasuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental atau fizikal, lemah dalam aspek kepemimpinan, gagal memberi tumpuan kepada tugas hakiki, tidak menghormati ketua, gagal bekerja dalam satu pasukan serta tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perkembangan semasa.


Justeru, dua kelompok yang dimaksudkan perlu melalui proses tindakan bermula dengan tindakan pembaikan, amaran lisan, amaran bertulis secara pentadbiran, dirujuk kepada Lembaga Perubatan (sekiranya membabitkan masalah kesihatan), kaunseling atau pakar psikiatrik, dan sekiranya semua tindakan itu tidak berkesan, tindakan dalam bentuk hukuman perlu dijalankan.


Proses tindakan tatatertib yang boleh dikenakan terhadap mana-mana kakitangan awam bermasalah ialah amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.
Berita Harian 10 September 2007