Kerajaan perlu serius pastikan kakitangan awam sentiasa berkualiti, berdisiplin
MASALAH disiplin di kalangan kakitangan sektor awam sering menjadi isu utama yang terus dibincangkan dari semasa ke semasa, tambahan pula selepas kerajaan mengumumkan pelbagai insentif meskipun tanpa pemberian bonus dalam Bajet 2008 yang dibentangkan Jumaat lalu.
Begitu pun, kenaikan gaji antara 7.5 peratus dan 35 peratus bagi kakitangan awam serta kenaikan gaji antara 9 hingga 42 peratus Julai lalu bagi anggota polis dan tentera, adalah sebagai tanda betapa kerajaan begitu mengharapkan kakitangannya terus memberi sumbangan terbaik bagi kepentingan negara.
Malah, seluruh masyarakat sentiasa mengharapkan 1.2 juta kakitangan awam memberikan perkhidmatan terbaik sebagai nadi penggerak utama sektor awam di samping meneruskan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.
Namun, dalam perdebatan isu itu, kerajaan masih terus mencari-cari kaedah sesuai untuk meningkatkan kualiti kerja di kalangan kakitangannya supaya tidak timbul soal pekerja lembik dan tidak produktif terus menumpang teduh di bawah simpati kerajaan.'
Maka, muncullah pelbagai cadangan termasuk yang terbaru daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, dengan saranan diperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada kakitangan awam bermasalah untuk membolehkan kakitangan dalam kelompok itu dapat dibersarakan sebelum sampai masanya.
Namun, cadangan itu mungkin dirasakan tidak sesuai dilaksanakan dalam sektor awam kerana pelbagai alasan, antaranya peraturan sedia ada sudah cukup untuk digunakan bagi menangani masalah pekerja bermasalah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, menjelaskan peraturan dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sudah relevan digunakan, cuma perlu sedikit kajian bagi memastikan prosedur melaksanakan tindakan lebih difahami semua ketua jabatan.
Melihat kepada setiap helaian dalam peraturan yang dimaksudkan serta membelek pula garis panduan menguruskan pegawai berprestasi rendah dan pegawai bermasalah, ternyata apa yang dijelaskan Ismail ada kebenarannya.
Jelas sekali bukan setakat pegawai bermasalah, tetapi pegawai berprestasi rendah dan sering mengalami masalah kesihatan juga boleh dibersarakan atas alasan kepentingan perkhidmatan awam.
Namun, apa yang peliknya, mengapa selama ini masih timbul dakwaan kerajaan terlalu berlembut dalam menangani masalah disiplin sedangkan garis panduan sedia ada cukup lengkap dan ketat, malah lebih terperinci berbanding sektor swasta.
Pastinya jawapan yang paling tepat ialah kegagalan ketua jabatan atau majikan memahami semua aspek dalam garis panduan yang disediakan serta tidak peka terhadap pekeliling yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa.
Mungkin juga sifat kemanusiaan yang terlalu menebal dalam diri ketua jabatan serta rasa kasihan mereka menghalang tindakan sewajarnya diambil terhadap kakitangan awam bermasalah.
Satu lagi kemungkinan yang diakui pegawai di JPA adalah kegagalan pihak pentadbir sesuatu jabatan dalam mengemas kini rekod disiplin kakitangan sehinggakan banyak kes tertangguh, malah lambat dikemukakan kepada Lembaga Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.
Justeru, jika kerajaan serius dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan menjadikan sektor awam sebagai agensi terbaik di mata dunia, langkah utama ialah memastikan kakitangannya benar-benar berkualiti, berdisiplin dan komited menjalankan tugas yang diamanahkan.
Kakitangan ‘lembik’ perlu dipulihkan dan jika tegar, gantikan saja dengan generasi baru yang lebih bersemangat. Ramai lagi lepasan universiti yang masih segar dan bersemangat untuk mendokong wawasan negara. Kain yang lusuh wajar diganti dengan yang baru supaya sedap mata memandang, bangga badan memakai.
Oleh Azrul Affandi Sobry
Berita Harian 10 September 2007