PENDEKATAN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi nafas baru kepada bidang pertanian negara amat tepat sekali. Hasrat Perdana Menteri untuk terus memodenkan sektor pertanian amat dialu-alukan.
Memandangkan negara kita kaya dengan sumber alam semula jadi dan iklim kondusif, sewajarnya usaha memperkasakan bidang pertanian haruslah menjadi pilihan utama. Secara tradisinya Malaysia sudah terkenal pada peringkat antarabangsa sebagai pengeluar utama dunia bagi minyak sawit, getah dan industri berasaskan kayu serta keluaran lain dalam bidang pembuatan.
Graduan pertanian tempatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), terlatih untuk mengendalikan pertanian sebagai perniagaan, yang mencerminkan kepentingannya seperti dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Persatuan Alumni UPM menyokong hasrat itu. Keperluan untuk membuka satu atau dua lagi universiti pertanian adalah bergantung kepada penilaian dalaman yang intensif ke atas universiti dan institusi pertanian sedia ada berkaitan prestasi keseluruhan mereka serta kemampuan bersaing dalam disiplin pertanian yang ditawarkan.
Isu kritikalnya adalah untuk memenuhi keperluan negara memandangkan penubuhan universiti baru memerlukan modal dan perbelanjaan besar di samping memerlukan masa lama bagi penghasilan berkualiti.
Mengimbas kembali, UPM dengan sejarah 76 tahun, sejak ditubuhkan pada 1931 sebagai Sekolah Pertanian, melalui berbagai perubahan. Pertama kepada Kolej Pertanian (1948), diikuti kepada Universiti Pertanian Malaysia (1971) dan sekarang Universiti Putra Malaysia (1997).
Bagaimanapun, universiti ini tetap menjulang bidang pertanian sebagai teras dalam memperjuangkan pembangunan industri pertanian pada peringkat nasional dan antarabangsa. Terkini UPM merangkumi 16 fakulti dan sembilan institusi dengan 30,000 pelajar peringkat ijazah pertama dan pasca-ijazah.
Tidak dapat dinafikan UPM kini bercabang kepada pelbagai disiplin, tetapi terasnya tetap kepada lima fakulti iaitu pertanian, perhutanan, Perubatan vetenari, Ekonomi dan Pengurusan serta kejuruteraan.
Ada 16 fakulti sekarang dan banyak bidang pengkhususan ditambah sejak era 1980-an seperti ekologi manusia, teknologi pendidikan, seni bina dan reka bentuk serta lain-lain lagi. Secara menyeluruh ada 25 program (37 peratus) yang berkaitan pertanian daripada sejumlah 66 program ditawarkan UPM.
UPM juga mengalami pertumbuhan dalam sektor lain selain pertanian yang secara langsung membawa impak positif kepada universiti. Pertanian adalah ibu kepada cabang ilmu sains lain. Justeru, pihak universiti hendaklah memberi penekanan yang lebih dan hala tuju jelas kepada disiplin berasaskan pertanian supaya dapat memenuhi wawasan negara yang memerlukan lebih banyak pakar pertanian pada masa akan datang.
UPM sudah mengeluarkan ribuan graduan pertanian, tetapi hakikatnya, kurang separuh kekal dalam disiplin ini di alam pekerjaan. Masih wujud tanggapan negatif mengenai sektor pertanian. Kebanyakan masih melihat bidang ini sebagai tidak menguntungkan berbanding sektor lain, tidak glamor dan kerja susah.
Jika diimbas permohonan kemasukan ke universiti tempatan setiap tahun di Unit Pusat Universiti (UPU), selalunya pertanian menjadi pilihan terakhir pemohon.
Adalah menjadi satu keperluan untuk mengubah tanggapan ini bagi meletakkan pertanian di tempat sepatutnya. Mungkin kita perlu mereka bentuk satu kaedah temu duga untuk mestikan hanya mereka yang betul-betul berminat dalam bidang ini diberi peluang dalam disiplin berkaitan.
UPM dan lain-lain universiti seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baru ditubuhkan menawarkan pelbagai kursus berasaskan pertanian.
Dengan beberapa penyesuaian strategik, universiti ini mampu menampung keperluan negara. Pertanian pada era ini lebih bertumpu kepada penjenteraan, automasi, teknologi maklumat (IT) dan menambah nilai komoditi.
Inilah fokus utama UPM kerana seperti industri lain, teras kepada peningkatan hasil dan produktiviti adalah teknologi dan dengan ada fakulti kejuruteraan dan IT di UPM, ia menyokong matlamat ini. Sama ada ia Cip Pengesan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) atau teknologi nano, pelbagai aplikasi teknologi tinggi sudah menembusi bidang pertanian dan seperti industri berteknologi tinggi yang lain, keserasian gabungan teknologi dan pertanian perlu diberi penekanan khas.
Sejak 30 tahun lalu, negara kita sudah berjaya mencapai tahap paling tinggi dalam beberapa sektor, tetapi masih ada beberapa bidang yang boleh memberikan hasil lebih baik dengan penggunaan R&D dan teknologi.
Satu alternatif yang baik ialah bersandar kepada kekuatan dari segi kepakaran, pengalaman, program sedia untuk dipasarkan dan kajian dalam UPM, serta meningkatkannya lagi, untuk memenuhi permintaan.
Institusi pertanian di negara ini yang berjumlah 30 atau lebih boleh dinaikkan taraf dan dijadikan cawangan kepada UPM sebagai ‘Pusat Kecemerlangan’ dengan setiap satu memberi penekanan khusus kepada satu bidang pertanian yang selaras dengan pencapaian matlamat negara.
Persatuan Alumni UPM berasakan pihak UPM bersedia untuk bekerjasama dalam pendekatan sebegini. Kos dapat dijimatkan dan secara perbandingannya samalah seperti kita membina sebuah ‘dapur pusat’ untuk rangkaian restoran yang kita miliki.
Adalah lebih bermakna jika semua institusi berkaitan pertanian agensi kerajaan, universiti dan institusi latihan bekerjasama untuk melakar rancangan atau pelan induk untuk industri pertanian yang boleh dijadikan panduan bagi semua institusi pengajian tinggi yang terbabit dengan sektor pertanian.
Di samping mempunyai perancangan, kita boleh juga memantau pencapaian kita berlandaskan keperluan dan cita-cita negara.
Justeru, Persatuan Alumni UPM berharap untuk melihat UPM terus menerajui bidang pertanian dengan menjadi universiti terunggul negara dan melaksanakan peranannya dalam perkembangan sektor pertanian negara.
Jadi masih perlukah kita kepada sebuah lagi universiti pertanian?
Oleh Syed Razlan Jamalullail
Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail adalah Presiden Persatuan Alumni UPM dan Ahli Parlimen Arau
Berita Harian 10 September 2007