Warga China cuba bunuh cucu kerana dilahirkan perempuan
BEIJING: Sekumpulan doktor China akan cuba mengeluarkan 26 jarum yang memenuhi hampir keseluruhan badan seorang wanita yang dipercayai ditusuk dengan benda tajam itu sewaktu bayi lagi dalam cubaan membunuhnya kerana dilahirkan sebagai perempuan, bukan bayi lelaki yang sememangnya diutamakan di negara itu.
“Pada masa itu, kami fikir yang kedua-dua datuk dan nenek berbuat demikian kerana mahukan anak lelaki. Tetapi, mereka pun sudah meninggal dunia dan kami tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya,” kata mangsa, Luo Cuifen yang dipetik Beijing Morning Post, semalam.
Luo, petani berusia 29 tahun dari wilayah Yunnan, berkata sekurang-kurangnya dua jarum dapat dikeluarkan daripada perutnya sewaktu kanak-kanak.
“Ada kira-kira 26 jarum lagi dalam badan ini dan ia berkemungkinan dimasukkan tiga hari selepas saya dilahirkan,” katanya tanpa menjelaskan bagaimana dia mendapat maklumat itu.
Luo berkata, dia tidak merasai jarum itu dan ia ditemui berada dalam badannya menerusi pemeriksaan x-ray yang dijalani selepas mengadu mengalami masalah kencing berdarah.
Jarum itu berada di dalam hati, buah pinggang dan ususnya.
Bahagian lain yang ada jarum termasuk di kepala, leher dan bahu. Malah, jarum di bahagian otak patah tiga ketika ini, kata akhbar itu.
Pasukan perubatan itu akan membedah Luo minggu depan. Pembedahan itu dilakukan secara percuma kerana latar belakang Luo sebagai petani miskin.
Mereka juga bimbangkan keselamatan nyawa Luo jika tidak dibedah segera.
Sebagai persediaan, hospital yang akan melakukan pembedahan sudah memilih 16 doktor termasuk dari Kanada, untuk berbincang prosedur bedah sebelum ia dilakukan minggu depan.
Di sebalik kempen kerajaan mewujudkan kesaksamaan jantina di China sejak berdekad-dekad lamanya, ramai rakyat China yang lebih suka mempunyai anak lelaki dan memilih untuk menggugurkan janin perempuan sehingga mencetuskan masalah ketidakseimbangan janin yang serius di negara itu. – Reuters/AFP