Ahad, 9 September 2007

Bush rujuk sidang Apec sebagai Opec


SYDNEY: Presiden Amerika George W Bush diketahui beberapa kali tersasul ketika menyampaikan beberapa ucapannya sebelum ini dan beliau sekali lagi keliru antara Apec (Kerjasama Eko-nomi Asia Pasifik) dengan Opec (Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak) selain menyebut askar Australia sebagai ‘tentera Austria’.

Bush mula tersasul sebaik memulakan ucapan pada forum Apec di Sydney.

“Yang saya hormati Perdana Menteri (Australia), terima kasih di atas ucapan anda, terima kasih kerana menjadi penganjur yang baik bagi sidang puncak Opec,” katanya kepada John Howard .

Ketika ratusan tetamu mula ketawa, Bush membetulkan kata-katanya dengan berjenaka:

“Beliau mempelawa saya untuk hadir ke sidang puncak Opec tahun depan.”

Bagaimanapun, Australia sebenarnya tidak pernah menjadi anggota pertubuhan negara pengeksport minyak itu.

Dalam ucapannya Bush menyebut mengenai bagaimana Howard mengunjungi ‘tentera Austria’ tahun lalu di Iraq, walaupun sebenarnya tiada askar Austria di Iraq, sebaliknya Australia mempunyai 1,500 anggota pasukan keselamatan di Iraq.

Sejurus selesai menyampaikan ucapan, Bush menuju ke laluan salah untuk turun dari pentas dan kelihatan bingung selepas Howard menunjukkan laluan yang betul di tengah pentas.

Bagaimanapun, sebelum itu seorang wartawan Rumah Putih bertanya kepada Bush sama ada beliau menyampaikan mesej baru dalam ucapannya.

Bush mungkin keliru dengan soalan itu apabila menyuarakan nada marah dan sebelum berlalu, bertanya kepada wartawan itu: “Adakah kamu tidak mendengar ucapan saya?”

Selain kerap tersasul, Bush turut terkenal sebagai seorang bermulut celupar dan sering kali berjenaka mengenai kegemarannya mencampur aduk bahasa Inggeris.

Satu insiden yang diingati ramai berlaku pada sidang puncak G8 di St Petersburg pada 2006, apabila Bush yang tidak sedar dia dirakam kamera menyambut Perdana Menteri Britain, Tony Blair dengan kata-kata: “Yo Blair”.

Ketika berucap pada majlis meraikan Ratu Elizabeth Mei lalu, Bush nyaris merujuk pemimpin diraja itu sebagai ratu kurun ke-18.

Bush diakui mengalami kesukaran menyebut sesetengah perkataan seperti nuklear yang disebutnya ‘nukular’ dan ia sering menjadi bahan lucu dalam program lawak di televisyen pada waktu tengah malam.

Bagaimanapun, pembantunya berkata, gaya Bush menjadikan dia popular dikalangan rakyat kelas pertengahan Amerika. – Reuters