LONDON: Penyelidik Barat mendakwa kanak-kanak seawal usia 4 tahun kini mengalami masalah tekanan darah tinggi pada usia muda itu kerana memakan terlalu banyak makanan diproses yang kaya dengan garam.
Akhbar Daily Mail memetik edisi terbaru Journal of Human Hypertension melaporkan semalam, ini menjadikan golongan kecil itu sebagai amat berisiko tinggi menghidap penyakit darah tinggi pada usia lewat yang boleh disusuli ancaman sakit jantung, angin ahmar dan kematian awal.
Kajian Hospital Universiti St George di London itu disiarkan turut mengaitkan secara langsung paras garam dalam diet atau pemakanan kanak-kanak berusia 4 tahun serta remaja 18 tahun dan tekanan darah tinggi yang dialami mereka.
“Kita semua sedia maklum yang garam bertindak sebagai toksin atau racun jangka panjang yang mendedahkan kepada masalah tekanan darah tinggi apabila berusia,” tegas salah seorang penyelidik terbabit, Professor Graham MacGregor.
“Peningkatan masalah tekanan darah tinggi itu adalah punca kematian dan kecacatan di Britain.”
Hasil kajian itu penting bagi memaksa pengeluar makanan ringan dan makanan siap dimasak, supaya mengurangkan kandungan garam dalam makanan itu.
Sebagai contoh, satu paket mi segera mengandungi lebih daripada sukatan maksimum garam yang disyorkan sehari bagi kanak-kanak berusia 4 - 6 tahun.
Satu paket kerepek kentang pula mengandungi paras garam dan cuka yang melebihi satu perempat kuota ditetapkan bagi pemakanan sehari kanak-kanak.
Kajian terbaru itu melihat kadar pengambilan garam bagi lebih 1,600 kanak-kanak dan remaja dalam masa 7 hari sebelum sukatan tahap tekanan darah mereka dicatatkan.
Apa didapati, bagi setiap tambahan satu gram garam dimakan responden, peningkatan tekanan darah sebanyak 0.4 mmHg dicatatkan.
Biarpun ia cuma peningkatan kecil, tetapi ketara, kata aktivis pemakanan sihat.
Malah, pemakanan kanak-kanak yang banyak mengandungi garam turut mencetuskan kebimbangan kerana ia mempengaruhi corak pemakanan mereka apabila dewasa. – Agensi