Ahad, 9 September 2007

Taufan Fitow landa Tokyo


TOKYO: Sekurang-kurangnya seorang maut dan lebih 40 lain cedera dalam hujan lebat serta ribut yang melanda Jepun berikutan kehadiran taufan Fitow.

Tiga orang masih hilang. Ramai penduduk turut terputus hubungan darat dan pengangkutan air akibat Fitow yang bermaksud bunga dalam bahasa Mikronesia, kini lemah dan menjadi ribut tropika.

Pihak berkuasa menggantung beberapa perkhidmatan kereta api di Tokyo dan memberi amaran kemungkinan berlakunya tanah runtuh dan banjir di beberapa kawasan berhampiran, dan menasihati penduduk berpindah.

Menjelang tengah hari, kebanyakan sistem pengangkutan dapat dipulihkan di kawasan metropolitan.

Setakat tengah hari, ia berada kira-kira 300 kilometer ke timur laut Tokyo dengan kelajuan angin kira-kira 108 kilometer sejam, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Hujan lebat turun di sebahagian besar kepulauan utama, Honshu dan mencecah 600 milimeter di beberapa tempat.

Seorang lelaki berusia 76 tahun mati dihempap pokok di Karuizawa, bandar tumpuan pelancong di tengah Jepun.

Seorang lelaki 52 tahun pula dilaporkan hilang di pinggir Tokyo selepas ke sungai berhampiran, kata polis. – AP