Jumaat, 7 September 2007

Kerakusan mengejar terbaik UPSR


BAHANG peperiksaan sudah terasa di mana-mana. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru berlalu, Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan menyusuli diikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Namun, seperti biasa kedengaran lagi, soalan bocor. Mengapa senario ini sentiasa berulang, dan di manakah akauntabiliti sistem peperiksaan awam di negara kita?

Dalam usaha negara kita memartabatkan institusi pendidikan melalui pelbagai pelan dan perancangan yang strategik, gejala kebocoran soalan adalah ancaman yang perlu ditangani dengan segera.

Kita perlu mendasari permasalahan ini hingga ke akar umbi agar gejala ini tidak berulang dan hasrat Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau tidak akan dipertikaikan kredibilitinya.

Secara teknikal, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mempunyai tanggungjawab mutlak dalam proses penyelenggaraan peperiksaan awam negara, namun kecuaian kita dalam bersama-sama melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan merupakan antara faktor penting dalam masalah ini.

Kita tidak seharus menuding jari kepada LPM sebaliknya perlu bersama-sama bermuhasabah merenung, mengenal pasti punca yang mendorong kepada berlakunya gejala kebocoran soalan.

Situasi 1: Para guru sibuk mengagihkan soalan-soalan yang didapati, iaitu dijangka akan keluar pada keesokan harinya kepada murid.

Komitmen yang jitu para guru untuk melihat muridnya berjaya atau paling tidak lulus dalam subjek yang diajar amat mengharukan.

Mereka bertungkus-lumus untuk meningkatkan prestasi pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam. Satu tingkah laku yang positif tetapi ironinya adakah tujuan penilaian dan pengujian tercapai?

Situasi 2: Seorang ibu atau bapa sibuk mencari jawapan bagi soalan-soalan yang telah diperoleh, merujuk kepada mereka yang arif dalam disiplin ilmu berkenaan sebelum diberikan kepada anak-anak mereka dengan hasrat yang satu, mendapat kejayaan yang dihasratkan. Kasih sayang yang tidak berbelah bagi, namun tidakkah mereka telah mengongkong minda anak-anak?

Situasi 3: Pusat tuisyen ABCDEF menjual soalan, mengadakan bengkel menjawab soalan pada saat-saat akhir dengan kadar bayaran tertentu bagi membantu murid. Apakah agenda yang tersembunyi, membantu atau mengaut keuntungan sebagaimana lanun-lanun cetak rompak?

Hal yang demikian adalah antara realiti daripada bahang peperiksaan sama ada di kampung atau di bandar. Kerakusan bersaing untuk mengejar kejayaan menyebabkan kita lupa akan tanggungjawab mendidik serta memelihara amanah yang dipikul.

Semuanya bertitik tolak daripada sikap. Ini kerana tahap kepuasan individu adalah berbeza, namun kita perlu ingat bahawa matlamat tidak boleh menghalalkan cara.

Membocorkan soalan adalah perbuatan yang salah, mengedar soalan bocor juga adalah salah, justeru mengongkong minda anak-anak didik kita juga adalah salah.

Dalam kealpaan kita, sama ada sedar atau tidak gejala ini tidak terhenti begitu sahaja malah akan menjadi duri dalam daging.

Natijahnya, anak-anak seawal usia 11 dan 12 tahun telah kita sajikan dengan budaya belajar yang negatif akan meninggalkan impak pada persekolahan peringkat menengah.

Jadi tidak hairanlah sekiranya sekolah-sekolah menengah yang menerima input yang baik tidak dapat menzahirkan kualiti yang diharapkan kerana keresahan input tersebut boleh dipertikaikan.

Adakah mereka murid-murid yang benar-benar pintar atau sekadar burung kakak tua? Permasalahan ini tiada noktahnya selagi sikap tidak diubah.

Oleh itu, mereka yang bertanggungjawab membocorkan atau mengedarkannya perlu ditangani segera dan dikenakan hukuman yang setimpal agar integriti institusi pendidikan negara tidak dipersoalkan.

Justeru, tidak adil bagi kita menghukum semua pelajar untuk menduduki semula peperiksaan apabila berlakunya kebocoran soalan kerana tidak semua murid terlibat dalam permasalahan ini.

RAFISAH OSMAN,
Kuala Lumpur.

Utusan Malaysia 7 September 2007