Jumaat, 7 September 2007

Kemenangan AKP beri dorongan


KEMENANGAN Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) dalam pilihan raya umum Turki dan juga kemenangan calon Presiden mereka, Abdullah Gul telah memulakan trend baru berhubung penglibatan gerakan Islam dalam politik.

Keupayaan mereka mendapatkan 46.6 peratus undi pada pilihan raya 22 Julai lepas menjadikan mereka satu-satunya parti yang berkuasa penuh di Turki pada ketika ini.

Jika gerakan Islam pada 1980 dan 1990-an begitu lantang dengan pembentukan negara Islam dan perlaksanaan syariah, ini berlainan dengan AKP. Ia lebih dikenali sebagai parti rakyat dan kebajikan. Hal ini telah ditegaskan oleh pengasasnya, Recip Tayeb Erdogan pada hari pertama ia ditubuhkan lagi, pada 14 Ogos 2001.

Begitu juga Parti Keadilan dan Kemakmuran (PKS) di Indonesia. Ia antara pemain politik berlatar-belakangkan Islam yang menyerupai AKP.

Setelah gagal menyinar dalam pilihan raya umum 1999, PKS bangkit dengan imej baru pada pemilihan seterusnya, 2004.

Sehingga kini, strategi PKS adalah lebih kepada mendekati rakyat dan lebih mirip kepada sebuah pergerakan sosial yang memperjuangkan nasib rakyat bawahan. Hasilnya, pada 2004, mereka telah berjaya mendapatkan 7.3 peratus undi popular sekali gus memperoleh 45 daripada keseluruhan 550 kerusi di Parlimen.

Pencapaian PKS dilihat oleh ramai penganalisis politik Indonesia sebagai mencermin masa depan Indonesia. Sepertimana AKP, PKS juga menegaskan bahawa menegakkan negara Islam mahupun syariah bukanlah matlamat politik mereka.
Hamas di Palestin juga telah menyedari hal ini dan mencontohi AKP.

Walaupun Hamas lebih dimomokkan sebagai gerakan subversif, namun manifesto pilihan raya mereka adalah lebih kepada sebuah parti kebajikan.

Tidak menghairankan mereka telah memenangi pilihan raya 2006, malah sama sekali di luar jangkaan semua pihak sama ada di Palestin dan antarabangsa. Kesimpulannya, sama ada AKP, PKS dan Hamas, kesemuanya sedar bahawa rakyat tidak mahukan retorik dan slogan-slogan kosong semata-mata.

Dalam pada itu, persamaan ketara ketiga-tiga parti berkenaan ialah mereka muncul dengan imej bersih dan profesional. Ketiga-tiga parti memunculkan golongan profesional selain kumpulan terpelajar sebagai wakil dan tokoh mereka.

Kini, di Maghribi, sebuah parti berakar umbi gerakan Islam, Parti Keadilan dan Pembangunan Maghribi (PJD) muncul. Parti pimpinan Saed el-Din al-Uthmani itu mahu mengulangi rekod cemerlang AKP, PKS dan Hamas.

Imej profesional, bersih dan beraliran sederhana menjadi modal politik mereka. Berbanding dengan gerakan Islam tertua di Maghribi, PJD bersikap demokratik dan lebih mesra dengan istana. Sebelum insiden pengeboman 2003 di Casablanca, PJD seperti gerakan-gerakan Islam yang lain, bersikap agresif dan lantang dalam pendekatannya.

Selepas insiden tersebut, mereka mula berubah, bersederhana dan berhati-hati membuat kenyataan selain lebih menumpukan perjuangan untuk kebebasan politik.

Oleh MASZLEE MALIK

Utusan Malaysia 7 September 2007