Jumaat, 7 September 2007

Fitnah mengongkong jiwa merdeka


DALAM menempuh kemerdekaan ke-50 negara, satu bentuk penyakit yang masih dijajah adalah sifat suka memfitnah. Ia ibarat duri di dalam daging kepada semua jenis institusi kemasyarakatan tidak kira mewakili individu atau kumpulan.

Sikap memfitnah ini adalah sikap penjajah, kerana membawa banyak persepsi serong khususnya terhadap sejarah tanah air dan kemerdekaan.

Bangsa Malaysia mempunyai jiwa merdeka, tidak akan terpengaruh dengan fitnah penjajah yang menyatakan sedemikian.

Namun harus diingat, berkata satu perkara fitnah yang tidak benar terhadap orang lain juga telah menjadi lumrah di dalam masyarakat. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat keseluruhannya.

Ia adalah satu jenayah dalaman yang dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak akibat kes-kes yang dahulu. Berikut disenaraikan akibat dan kesan amalan fitnah dalam konteks yang pelbagai.

Pertama, fitnah terhadap ahli keluarga sendiri. Amat jarang kita mendengar seorang ibu atau ayah memfitnah anak sendiri, atau sesama adik-beradik tetapi fitnah terhadap ahli keluarga sendiri biasanya berlaku sesama saudara-mara. Sebagai contoh, ibu saudara memfitnah anak saudara, mertua memfitnah besan, sepupu dan biras.

Sikap fitnah ini boleh mengundang kepada keruntuhan rumah tangga dan kerenggangan hubungan kekeluargaan. Lebih parah, isu fitnah ini disebarkan kepada orang yang tidak sepatutnya seperti kawan-kawan rapat kerana ingin meraih simpati, atau sengaja ingin menjatuhkan maruah ahli keluarga sendiri.

Realitinya ia memang berlaku. Perbezaan kedudukan kekeluargaan biasanya membawa kepada berlakunya perkara ini. Kadang-kadang hubungan dengan rakan sekerja atau sebaya terbawa-bawa dalam keluarga.

Sikap bongkak dan menunjuk-nunjuk mengundang kepada sifat meluat orang lain, sehingga berlaku tuduh-menuduh dan akhirnya fitnah-memfitnah sesama sendiri. Kesannya sangat pedih, kerana ia membawa kepada pihak yang menang dan kalah.

Pihak yang menang pastinya akan mempertahankan kemenangan itu dengan menghasut orang lain untuk lebih membenci, manakala pihak yang kalah akan merendah diri, terhina dan tergadai maruah dek kerana tidak mampu menangkis fitnah tersebut. Malah, meminta maaf jauh sekali.

Kesan yang lebih buruk akan membawa kepada sikap tidak percaya, ungkit-mengungkit yang seterusnya membawa khabar dan cerita yang tidak berkesudahan. Ia akan menghancurkan institusi kekeluargaan itu secara langsung.

Kedua, fitnah terhadap masyarakat. Ia boleh berlaku di dalam konteks bangsa dan agama. Perselisihan faham dan salah tanggapan boleh meruntuhkan institusi sosial. Sebagai contoh, apabila Islam dilabel sebagai agama keganasan, ia adalah satu fitnah kerana hakikatnya Islam bukanlah sedemikian.

Tuduhan kepada Islam tidak boleh didasarkan kepada umat, sebaliknya ia perlu dilihat kepada sistem itu sendiri. Kewujudan fenomena Islamofobia adalah kesan fitnah kepada masyarakat Islam. Kesannya, Islam telah dipandang serong oleh orang ramai sehingga berlaku kekecohan dan peperangan.

Ini adalah sikap salah faham yang perlu dibendung dan tidak menjadi barah di dalam masyarakat. Begitu juga kepercayaan lain, penghormatan tetap perlu diberikan tanpa ada rasa prejudis atas asas kemanusiaan.

Dalam konteks bangsa, pertelingkahan yang berlaku kadang-kala wujud disebabkan unsur-unsur fitnah dan tuduh-menuduh tanpa usul periksa. Kesannya, sentimen perkauman boleh timbul dan menyebabkan huru-hara serta kadangkala boleh berlaku peperangan.

Keadaan ini boleh membantutkan sebarang usaha positif ke arah perdamaian. Sentimen ragu-meragui antara satu sama lain juga boleh timbul walaupun setelah berlaku perdamaian. Fitnah membawa kesan negatif sehingga boleh menumpahkan darah.

Ketiga, fitnah terhadap pemimpin. Rata-rata fitnah kepada pemimpin berpunca dari sumber maklumat yang diperoleh. Biasanya fitnah kepada pemimpin ini timbul kerana perbezaan fahaman sehingga kita melabel seseorang dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Namun begitu tidak dinafikan juga segelintir pemimpin dalam mana-mana organisasi sengaja membiarkan atau mendedahkan diri daripada fitnah oleh pekerja sendiri atau orang ramai.

Hakikatnya, tindakan seorang pemimpin mestilah mencapai tahap hikmah agar persepsi terhadap tindakan yang dilakukan sentiasa positif.

Fitnah kepada pemimpin ini lazimnya akan berkait dengan soal amanah terhadap tanggungjawab ataupun masalah-masalah peribadi yang terbawa-bawa ke dalam organisasi.

Kesannya, nama organisasi akan dipandang serong oleh pesaing, sehingga boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat. Masing-masing cuba menjatuhkan lawan di samping tuduh-menuduh ke tahap sangat mendukacitakan.

Secara makro, ia akan membantutkan perkembangan organisasi sehingga visi dan misi organisasi berubah ke arah perkara yang negatif.

Inilah realitinya, fitnah memberi kesan negatif yang sangat besar kepada semua pihak. Ia boleh menjadi warisan sesebuah keturunan dan kekal selama-lamanya sekalipun kes itu berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu.

Benarlah fitnah itu lebih jahat dari membunuh. Pembunuhan hanya melibatkan seorang atau sekelompok sahaja, tetapi fitnah boleh dilibatkan semua orang sehingga berkurun-kurun lamanya!

AZRUL AZLAN ISKANDAR MIRZA,
Fakulti Ekonomi & Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Utusan Malaysia 7 September 2007