SEBUT sahaja pengakap, ramai kalangan kita akan terbayang zaman kanak-kanak. Bagi kita pengakap hanya sebuah persatuan kecil yang selayaknya untuk murid-murid sekolah rendah.
Mungkin agak janggal jika kita melihat orang dewasa terutama yang berusia lebih 50 tahun menyarung pakaian seragam pengakap.
Namun sesuai dengan sejarah pengakap yang menjangkau usia 100 tahun, peranan pasukan beruniform itu hakikatnya amat luas merentasi sempadan. Malah fungsinya tidak terbatas sekadar belajar cara memasang khemah, memasak atau mengelilingi unggun api.
Pergerakan pengakap yang tersebar luas di serata dunia amat pelbagai peranannya - melakukan kerja-kerja kebajikan, meningkatkan ekonomi penduduk setempat malah menggerakkan penyebaran dakwah.
Di peringkat serantau, pengakap turut berperanan sebagai pengikat hubungan antara negara malah tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan hubungan dua hala pengakap di negara-negara ASEAN terjalin erat.
Sehingga kini terdapat kira-kira lima juta pengakap berdaftar di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Kemboja. Malah usaha menghidupkan kembali pergerakan pengakap di negara seperti Myanmar sedang rancak dilakukan sejajar dengan kesedaran di pihak pemimpin tentang pentingnya peranan pergerakan itu.
Justeru sumbangan serta peranan pengakap sebagai salah satu cara untuk memperkasa dan memperkukuhkan hubungan serantau sama sekali tidak boleh diperkecilkan.
Di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan gelaran Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia oleh Persekutuan Pengakap Malaysia dan bertindak sebagai penaung. Gelaran tertinggi Ketua Majelis Pembimbing Nasional Gerakan Pramuka, Indonesia dianugerahkan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Ketika berlangsungnya majlis anugerah bintang tertinggi itu tahun lalu, kedua-dua pemimpin melahirkan hasrat untuk mewujudkan solidariti menerusi kepengakapan di kalangan negara ASEAN.
Oleh itu pengakap mesti dilihat sebagai satu aktiviti yang relevan dengan dunia semasa dan mempunyai daya tarikan tersendiri di kalangan remaja. Solidariti melalui kepengakapan menggalakkan dan meningkatkan kefahaman dan kerjasama selain memelihara persahabatan serta ukhuwah di kalangan ahli di negara-negara yang berbeza berasaskan kepada peraturan serta aku janji.
Menganjurkan
Menyedari hakikat itu Malaysia mengorak inisiatif menganjurkan Persidangan Pengakap ASEAN iaitu yang pertama seumpamanya baru-baru ini.
Ketua Pengakap Malaysia, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh berkata, solidariti menerusi kepengakapan di rantau ASEAN telah bermula sejak lama dulu iaitu semenjak Mesyuarat Timur Jauh berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1964. Katanya, sejak itu pengakap ASEAN telah bekerjasama dalam banyak aktiviti termasuk jambori, seminar, persidangan, bengkel, forum remaja, program pembangunan masyarakat, pembangunan modal insan dan kerjasama latihan.
‘‘Kesemuanya ini berjalan lancar menerusi kerjasama erat di antara persekutuan pengakap di negara-negara yang terlibat terutama di peringkat serantau,’’ katanya ketika berucap merasmikan persidangan tersebut baru-baru ini.
Menurut Shafie, kempen Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti menggambarkan usaha tanpa mengenal sempadan dalam memerangi isu-isu utama ekonomi dan sosial serta menggalakkan nilai-nilai sejagat dan meningkatkan usaha sedaya mungkin.
Beliau menarik perhatian mengenai ukuran kejayaan sesebuah negara yang amat bergantung kepada peranan remaja dan ia boleh direalisasikan menerusi penglibatan pengakap dalam program pembangunan negara.
‘‘Proses penyuburan remaja secara berterusan semestinya akan membantu golongan tersebut menjadi kumpulan berguna dalam masyarakat, membangunkan modal insan serta mencorakkan mentaliti kelas pertama,’’ katanya.
Di akhir persidangan tiga hari yang dihadiri oleh ketua-ketua pengakap Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand itu satu deklarasi dikeluarkan bagi membuktikan komitmen pergerakan pengakap serantau.
Deklarasi enam perkara itu antara lain meningkatkan semangat kerjasama, perpaduan, ukhuwah dan solidariti dalam kepengakapan ASEAN. Ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama erat di peringkat negara terutama dalam menyelaraskan usaha serta program untuk faedah bersama.
Deklarasi berkenaan turut menyatakan sokongan serta galakan pelbagai hala yang diusahakan oleh negara-negara anggota ASEAN dan melaksanakannya sebagai projek ASEAN apabila berpeluang berbuat demikian.
Selain itu, pergerakan pengakap menggesa sokongan padu kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti serantau dalam konteks ASEAN dan menjamin penyertaan aktif sekretariat ASEAN untuk mencapai objektif pergerakan itu.
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK
Utusan Malaysia 7 September 2007