Khamis, 13 September 2007

Ketandusan jiwa agama


LAPORAN mendakwa kakitangan kerajaan menipu dalam pembelian barang keperluan pejabat dengan tuntutan yang bercanggah dengan harga asal boleh menyebabkan negara menghadapi kerugian yang besar.

Sikap begini jika tidak ditangani secara serius boleh mengakibatkan kehancuran kepada negara. Penyelewengan seumpama ini bukan hanya wujud di kalangan kakitangan kerajaan malah turut menjadi amalan segelintir pemimpin rakyat yang tidak memahami tanggungjawab terhadap bangsa dan negara.

Tuntutan yang dibuat oleh setiap pemimpin rakyat untuk mendapatkan peruntukan kewangan bagi setiap kegiatan atau program yang dijalankan oleh mereka mesti dipantau secara tegas dan terperinci.

Ini penting supaya wang rakyat tidak disalah gunakan oleh individu yang bertopengkan jiwa rakyat tetapi hakikatnya berjuang untuk mendapat pangkat dan kedudukan untuk memperkayakan diri secara mudah dan cepat.

Kemajuan sesebuah negara adalah bergantung kepada sikap amanah dan tanggungjawab para pentadbir dan pemimpin negara. Para pentadbir dan pemimpin perlu mempunyai sikap mencintai rakyat dan negara berdasarkan kepada prinsip yang digariskan oleh Islam.

Ilmu pengetahuan agama yang tinggi jika tidak digabungkan dengan sifat cintakan bangsa dan negara tidak mungkin dapat mendorong individu tersebut menjadi insan yang berjiwa patriotik dan boleh menggerakkan semangat mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Penipuan, tidak amanah dalam perkhidmatan dan kepimpinan serta pengkhianatan terhadap negara adalah akibat daripada kekosongan jiwa yang diruntun oleh kegilaan pangkat, kuasa dan kekayaan secara mudah dan pantas.

Sikap begini adalah dilema yang wujud dalam negara Islam masa kini. Jika negara memperuntukkan kewangan yang banyak kepada rakyat tetapi para pentadbir dan pemimpin tidak amanah dalam melaksanakan tugas maka segala yang direncanakan untuk rakyat menjadi sia- sia. Peruntukan yang disediakan tidak akan dapat dikecapi oleh rakyat kerana sikap tamak dan kekosongan jiwa yang dialami oleh orang yang diberikan amanah. Mereka mengambil kesempatan untuk menjadi jutawan secara mudah dengan memutar-belitkan kewangan kerajaan bagi menghalalkan kegiatan haram mereka.

Jika hati nurani telah diwarnai oleh kemewahan dan kemudahan hidup secara memutarbelit dan penipuan ketika melaksanakan tugas negara maka jiwa umat Islam sudah berubah menjadi hati batu yang sukar untuk dibentuk menjadi insan yang bertanggungjawab dan amanah. Nilai halal dan haram yang merupakan garis panduan hidup sudah luput dalam sanubari. Apabila jiwa dan pemikiran lebih tertumpu kepada tipu muslihat akibat terlalu ghairah untuk memperkayakan diri maka perasaan takut terhadap pembalasan Tuhan tidak wujud dalam jiwa.

Sebuah kerajaan akan runtuh jika para pentadbir dan pemimpin terlalu ghairah mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri secara penipuan dan putar belit melalui projek dan perancangan negara. Sikap begini kian jelas dilihat oleh rakyat dan masyarakat. Jika kegiatan begini sering berlaku dalam sistem pentadbiran dan kepimpinan maka negara akan menjadi muflis. Oleh itu kerajaan perlu menunjukkan sikap yang tegas terhadap individu-individu yang mengalami ketandusan jiwa agama dan patriotisme dalam mengendalikan urusan pentadbiran dan kenegaraan.


Menghancurkan

Individu-individu tersebut perlu disingkir daripada jabatan kerajaan dan kepimpinan negara kerana kewujudan mereka boleh menyukarkan urusan kerajaan untuk memajukan negara dan mengendalikan urusan rakyat. Mereka boleh diibaratkan sebagai virus yang boleh menghancurkan negara secara halus.

Apabila jiwa sudah dirasuk oleh kekayaan dan kebendaan tanpa mengira batas halal dan haram maka sensitiviti terhadap keberkatan dalam hidup tidak mungkin wujud dalam hati nurani.

Mereka yang terlibat dalam kegiatan begini sudah dikuasai oleh nafs al-ammarah iaitu nafsu yang sering mendorong jiwa manusia bertindak mengikut bisikan hawa nafsu tanpa menggunakan pertimbangan akal dan hukum hakam Ilahi. Mereka tidak akan akur kepada peraturan dan perundangan negara kerana hati nurani mereka telah diracuni dengan khayalan kemewahan dan kemegahan. Mereka tidak pernah menyedari bahawa setiap wang yang dimiliki secara menipu merupakan api yang boleh membakar setiap ahli keluarga termasuk bayi yang tidak berdosa di hari akhirat.

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa menjawat jawatan kerajaan adalah amanah rakyat dan negara. Tindak tanduk dan cara mereka memimpin dan mentadbir negara jika tersilap langkah atau menyalahgunakan kuasa dan kewangan negara boleh mengakibatkan kehancuran negara.

Islam amat prihatin dalam hal ehwal pentadbiran dan kepimpinan negara.

Jika peristiwa begini berlaku di zaman pemerintahan Umar al-Khattab maka setiap pemimpin dan pentadbir yang terlibat dalam kegiatan tipu muslihat dan penyalahgunaan kuasa akan mendapat hukuman yang paling berat.

Umar secara tegas memberi amaran kepada para pemimpin dan pentadbir bahawa jika mereka ingkar mengikuti peraturan dan perundangan berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran yang digariskan oleh negara maka mereka akan diseksa di dalam penjara sehingga mati.

Umar begitu tegas dalam hal ehwal pentadbiran kerana kegiatan menipu dan menyalahgunakan kuasa boleh mengundang berjuta rakyat kelaparan.

Apabila umat Islam menjadi miskin dan lapar maka akidah Islam mereka juga akan tercabar. Penyalahgunaan kuasa dan memutar-belitkan fakta dalam pentadbiran dengan tujuan mengaut kekayaan secara haram tidak akan diampun oleh Allah kerana ini merupakan dosa yang berkaitan dengan rakyat. Oleh itu para pemimpin dan pentadbir beragama Islam perlu akur bahawa kehidupan di dunia hanya sementara. Ia merupakan tempat untuk mencari bekalan hidup di hari akhirat.

Kehidupan yang begitu ghairah dengan kekayaan yang dimiliki secara menipu rakyat dan kerajaan akan menjadi api yang ditelan oleh setiap ahli keluarga yang menikmati kekayaan tersebut.

Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna kerana setiap kegiatan di dunia akan dibalas di akhirat. Apabila jiwa umat Islam disemat dengan roh mencintai kehidupan di hari akhirat maka umat Islam akan menjadi satu umat yang amanah dan jujur dalam pentadbiran dan kepimpinan.

Oleh SAODAH ABD. RAHMAN

DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Utusan Malaysia 14 September 2007