Khamis, 13 September 2007

Tujuan sebenar berpuasa kurang dihayati


HARI ini masuk hari kedua umat Islam Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Seperti tahun-tahun yang lalu, kita menyambut Ramadan ini dengan semangat yang berkobar-kobar beserta azam bahawa kita akan menggunakan masa sepanjang bulan ini dengan sebaik-baiknya untuk merebut segala kebaikan dan keberkatan yang ada di dalamnya.

Ramadan banyak mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian. Satu perkara yang amat terkesan akibat ibadah puasa ini ialah corak pemakanan. Bukan sahaja kita akan makan pada awal pagi ketika bersahur, masa makan kita juga menjadi terhad akibat berpuasa dari Subuh hingga Maghrib. Masa makan yang terhad ini pula secara langsung mengurangkan jumlah makanan yang kita ambil. Itu yang sepatutnya berlaku.

Secara jasmaninya, ibadah puasa ini bukanlah sukar untuk kita laksanakan. Ramai daripada kita telah pun melaksanakannya berpuluh tahun lamanya. Malah, kanak-kanak seawal enam tahun pun dapat menahan diri daripada makan dan minum selama lebih kurang 14 jam. Di negara lain yang bermusim, umat Islamnya mungkin perlu melaksanakan ibadah ini untuk tempoh yang lebih lama.

Namun, kemampuan jasmani tubuh kita untuk melaksanakan ibadah ini seringkali dipandang rendah oleh cara kita berfikir.

Hakikat bahawa masa makan menjadi terhad serta jangkaan bahawa kita tidak makan dan minum selama lebih kurang 14 jam itu, seringkali menyebabkan ramai dari kita tidak dapat menghayati semangat sebenar ibadah puasa iaitu untuk merasakan kelaparan dan kehausan yang dirasai oleh mereka yang tidak cukup makan dan minum, khususnya golongan fakir miskin.


Membetulkan

Maka, waktu sahur dan berbuka menjadi medan untuk kita makan apa sahaja yang ada di depan mata. Dengan alasan, “Oh, lepas ini aku tak boleh makan sehingga berbuka”, atau “Aku hanya ada masa dari Maghrib sehingga masuk tidur untuk makan”, maka segala makanan itu dimasukkan ke dalam perut.

Kita lupa pada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai).

Satu lagi cabaran yang sering dihadapi oleh umat Islam khususnya di negara ini, dalam mengawal pemakanan di bulan Ramadan ialah kewujudan bazar Ramadan. Tujuan pasar ini adalah untuk memudahkan umat masyarakat Islam untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Namun, persoalannya ialah bagaimana untuk membeli juadah berbuka dengan secukupnya sahaja tanpa membazir?

Umum maklum bahawa masa perut tengah kosong bukanlah satu masa yang baik untuk membeli makanan. Perut yang kosong akan mendorong kita membeli barang-barang yang tidak diperlukan. Dalam keadaan itu, kunjungan ke pasar Ramadan oleh seorang yang sedang haus dan lapar, akan mendorongnya membeli apa sahaja yang enak pada hidung dan menarik pada matanya.

Oleh demikian, untuk mengelakkan pembaziran, kunjungan ke Pasar Ramadan perlulah dihadkan, khususnya bagi mereka yang tidak dapat melawan segala godaan daripada bau dan rupa bentuk juadah yang ada di situ.

Menurut pakar pemakanan, kita hanya memerlukan jumlah kalori yang sedikit sahaja setiap hari bagi membolehkan kita menjalani kehidupan seharian. Dalam sehari, wanita hanya memerlukan 1,900 kalori manakala lelaki memerlukan 2,100 kalori sahaja.

Jika sebiji kurma mengandungi 20 kalori, maka sebenarnya, jumlah keseluruhan kalori yang perlu diambil dalam sehari bukanlah begitu sukar untuk dipenuhi ketika sahur dan berbuka.

Dalam perkataan lain, kita tidak perlu makan begitu banyak makanan ketika sahur dan berbuka kalau sekadar untuk memenuhi keperluan ini.

Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kita tidak perlu makan lebih banyak daripada biasa untuk membolehkan kita menjalani ibadah puasa ini dengan baik.

Malah, Ramadan itu sendiri bertujuan untuk merasai kelaparan dan kehausan seperti yang dialami oleh mereka yang miskin dan papa. Maka, apalah ertinya ibadah puasa kita jika kita tidak merasakan kelaparan dan kehausan itu sepanjang Ramadan ini?

Oleh itu, ada baiknya jika kita merancangkan senarai makanan kita sepanjang hari supaya ketika menyediakan makanan tersebut kita adalah dalam keadaan yang lebih waras dan tidak bergantung kepada deria penglihatan, deria bau dan perut kosong kita semata-mata.

Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman

Siti Fatimah Abdul Rahman ialah Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Utusan Malaysia 14 September 2007