
KOLKATA: Lembu di negeri Benggala Barat diwajibkan mempunyai kad pengenalan bergambar untuk menyekat masalah penyeludupan haiwan itu ke negara jiran.
Jurucakap Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF), GK Sharma, berkata beribu-ribu lembu diseludup setiap hari dari negeri di timur India itu ke Bangladesh dan Pakistan dan semakin meningkat menjelang musim perayaan umat Islam.
Sah selama dua tahun, setiap kad pengenalan itu memaparkan gambar haiwan dan nama, alamat pemiliknya serta maklumat penting lain mengenai lembu itu seperti warna, ketinggian, jantina dan panjang tanduk.
Maklumat lain mengenai haiwan itu seperti ‘kehilangan tanduk’ atau ‘separuh ekor hilang’ turut dimasukkan. – Agensi