Isnin, 3 September 2007

Kanak-kanak terbabit 3,000 kes jenayah


LONDON: Statistik polis Britain menunjukkan kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun melakukan kira-kira 3,000 jenayah, termasuk kesalahan seks, sepanjang tahun lalu.

Akhbar The Telegraph melaporkan semalam, antara 2,840 jenayah dilakukan suspek yang terlalu muda untuk didakwa adalah 1,300 kes melakukan kerosakan dan perbuatan khianat, 66 kesalahan seks termasuk ke atas mangsa berusia bawah 13 tahun.

Kes jenayah lain turut membabitkan perbuatan menggugat, menyerang, merompak dan menyebabkan kecederaan.

Maklumat itu membabitkan data di 32 daripada 43 pasukan di England dan Wales. Ia diperoleh Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menerusi Akta Kebebasan Maklumat.

Kanak-kanak di bawah 9 tahun tidak boleh didakwa di England dan Wales. Bagaimanapun, kesalahan itu tetap direkodkan polis dan pesalah juga boleh diletakkan di bawah pengawasan pekerja sosial atau ibu bapa mereka dikenakan perintah pemantauan.

“Setiap butiran bukti baru menunjukkan usia pesalah jenayah ini semakin lama semakin muda,” kata David Davis, Pengerusi portfolio Kementerian Dalam Negeri Parti Konservatif.

“Ini menunjukkan yang ada di antara persoalan dan punca perpecahan masyarakat Britain bermula di rumah dan sekolah.”

Selain itu, timbul gesaan agar usia pesalah jenayah direndahkan bagi membolehkan mereka dihadapkan ke muka pengadilan.

Lawrence Lee, peguam Jon Venables, salah seorang daripada budak 10 tahun yang membunuh James Bulger yang cuma 2 tahun pada 1993, berkata tindakan menurunkan had usia pesalah jenayah itu dapat memberi mesej penting dan jelas kepada golongan muda berkenaan.

“Sebagai peguam bela, saya boleh katakan tidak, ini bukan cadangan yang baik. Tetapi, sebagai rakyat biasa, saya melihat cadangan itu penting sebagai pengajaran kepada golongan itu secara keseluruhannya.”

Di Scotland, pesalah berusia semuda 8 tahun boleh didakwa kerana kesalahan jenayah serius biarpun majoriti kes ditentukan panel kanak-kanak sehinggalah mereka berusia 16 tahun.

Di Kanada dan Belanda, had umur pesalah adalah 12 tahun; 13 tahun di Perancis; 14 tahun di Jerman, Austria, Jepun dan Russia; 15 tahun di Itali, 16 tahun di negara Scandinavia dan 16 tahun di Sepanyol. – Agensi