
WASHINGTON: Presiden pergerakan Yahudi terbesar Amerika Syarikat menuduh media dan ahli politik negara itu menghina Islam dan menggambarkan umat Islam sebagai ‘tokoh berperangai syaitan,’ lapor akhbar Haaretz kelmarin.
“Memang wujud di negara ini di kalangan rakyat Amerika, sama ada Yahudi, Kristian atau yang tidak mempercayai Tuhan, yang meminggirkan Islam.
“Bukan sedikit yang menyuarakan bahawa segala unsur fanatik dan tiada sifat tolak ansur amat berkaitan dengan Islam, dan keganasan malah pengeboman bunuh adalah akar umbi al-Quran,” kata Eric Yoffie, ketua Kesatuan bagi Pembaharuan Judaism (URJ) kepada sesi pembukaan konvensyen tahunan Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA).
Ramai pengkritik menyalahkan media Barat kerana mempromosikan prejudis dan stereotype terhadap umat Islam dan Arab di Barat.
Pakar akademi terkenal Amerika, Stephen Schwartz, mengkritik media Barat kerana gagal memenuhi cabaran melaporkan mengenai isu Islam dan Arab selepas serangan 11 September 2001.
Satu kajian baru Britain menuduh media dan industri filem menyemarakkan Islamofobia dan prejudis dengan menyifatkan umat Islam dan orang Arab sebagai ganas, bahaya serta mengancam keselamatan orang ramai. – Agensi