MENGUJAKAN lagi lunak – itulah lagu tema kemerdekaan negara ke-50: Malaysiaku Gemilang (MG). Segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan darjat kemaruk menyanyikannya di mana dan bila-bila masa.
Situasi ini begitu ketara semasa rakyat menyambut kemerdekaan negara. Mereka menyanyikannya dengan kuat dan penuh bersemangat di majlis keraian, perhimpunan dan persembahan patriotik bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara ini.
Di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu, lagu itu berkumandang sekuat nyanyian rakyat. Mereka keasyik-asyikan melagukannya. Tersemat di hati rakyat untuk terus menggemilangkan negara tercinta ini.
Jelas sekali, seni kata dan semangat patriotik lagu itu telah menjiwai pelagu dan pendengarnya. Dipendekkan kata patriotisme menyelinap ke sanubari mereka.
Menghayati barisan lirik MG, setiap baris hanya terdiri daripada dua hingga empat patah perkataan. Menariknya, ia tetap mampu memelodikan patriotisme dengan penuh bersemangat.
Bagi saya, ia memiliki suatu keistimewaan yang luar biasa. Ia mampu membawa pelagu dan pendengar menghayati erti kemerdekaan negara secara bersahaja. Dan ia seterusnya mencorongkan kepada masyarakat antarabangsa, Malaysiaku Gemilang!
Kini, MG ialah lagu kebanggaan rakyat negara tercinta ini. Alunan muziknya senada suara rakyat.
Marilah kita sama-sama menghargai kemerdekaan negara yang dikecapi hari ini. Rakyat negara ini perlu bersatu-padu agar negara ini adalah cemerlang, gemilang dan terbilang.
Harapan saya ialah, rakyat negara ini menjadikan MG sebagai pembakar semangat. Ia adalah sumber motivasi terbaik.
Atlet yang bertanding dalam pelbagai bidang sukan misalnya boleh mendengar lagu ini sebelum bersaing. Rentak dan lirik lagu ini pasti dapat meniup semangat mereka untuk melakarkan kejayaan demi negara.
Kita perlu tahu, Malaysiaku Gemilang!
Oleh Au Yeong How
mSTAR Online