Selasa, 11 September 2007

Panduan untuk pesakit diabetes jalani ibadah puasa


DIABETES Mellitus (DM) adalah penyakit kronik di mana terdapat kadar gula berlebihan di dalam darah yang disebabkan oleh gangguan hormon insulin iaitu hormon yang berperanan mengawal paras gula dalam darah, baik secara kuantiti (insulin berkurangan) atau kualiti (insulin tidak berkesan).

Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua pada 1996, lebih 1.5 juta penduduk negara ini menghidap diabetes. Daripada jumlah itu, kira-kira satu juta terdiri daripada mereka yang beragama Islam yang secara amnya bertanggungjawab untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Persoalannya, bolehkah pesakit diabetes berpuasa sedangkan mereka terpaksa begantung kepada ubat-ubatan atau suntikan insulin setiap hari untuk mengawal penyakit?

Pesakit diabetes yang beragama Islam bolehlah mengikuti panduan berikut, yang dipetik daripada persidangan yang menggabungkan pemikiran para ulama Islam dan doktor perubatan moden.


Siapa yang boleh dan tidak boleh berpuasa?

Secara umumnya, pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan diabetesnya terkawal serta tidak memerlukan insulin memanglah digalakkan berpuasa.

Walau bagaimanapun, pesakit diabetes yang tidak terkawal paras gulanya dan tidak mengambil ubat-ubatan atau suntikan insulin seperti yang disyorkan oleh doktor mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk berdepan dengan komplikasi jika berpuasa.

Antara pesakit diabetes yang tidak digalakkan berpuasa termasuklah;

> Penyakit diabetesnya tidak stabil. Dibimbangi ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.

> Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.

> Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis (lebih cenderung bagi pengidap Diabetes Jenis I dan pesakit yang menggunakan suntikan insulin).

> Kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).

> Sedang mengalami jangkitan kuman.

> Warga tua dan tinggal bersendirian.

> Hamil yang memerlukan suntikan insulin.

> Berusia di bawah 12 tahun.


Pesakit diabetes yang ingin berpuasa mestilah bersahur, menyegerakan berbuka puasa, makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor, mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya dan peka dengan tanda-tanda hipoglesemia, hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

Mereka harus segera berbuka apabila mengalami samada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Adalah haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan. Jangan sekali-kali mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan/disuntik tanpa rujukan doktor.

Mengenal pasti keadaan hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi

Hipoglisemia

> Menggigil
> Terlalu lemah
> Amat lapar
> Berpeluh
> Pucat
> Berdebar-debar
> Gelisah
> Koma (tidak sedarkan diri)


Hiperglisemia

> Kerap buang air kecil
> Terlalu dahaga
> Sangat letih

Dehidrasi

> Amat dahaga
> Kulit dan lidah yang terlalu kering
> Fikiran terganggu


Panduan kepada pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

Diet - Elakkan makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.


Sahur

Sekurang-kurangnya semangkuk oat/bijirin ATAU3-4 keping roti ATAUNasi dan lauk (lebihkan sayur-sayuran)


Berbuka

Hadkan pengambilan air bergula, kuih-muih manis. Jika memakan kurma, hadkan kepada dua hingga tiga biji sahaja.Kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan sayur-sayuran.

Senaman - Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan terhadap diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan hipoglisemia.

Ubat - Dapatkan nasihat doktor tentang pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan seperti glibenclamide, gliclazide, glipizide, chlorpropamide dan Acarbose yang di ambil sebelah pagi pada kebiasaannya di hari tidak berpuasa, ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa.

Dos yang diambil sebelum makan malam malam sewaktu tidak berpuasa pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan hipoglisemia.

Ubat seperti repaglinide perlu dimakan pada waktu bersahur dan berbuka puasa. Metformin dan Rosiglitazone secara amnya kurang mengakibatkan hiploglisemia dan selalunya tidak memerlukan perubahan dos.

Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan puasa seperti berikut:

Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan adalah sama seperti dos yang diberika pada waktu pagi di hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur .

Pada permulaan bulan puasa, tahap gula dalam darah perlu diuji pada waktu-waktu berikut:

*Sebelum bersahur
*Dua hingga empat jam sebelum bersahur
*Sebelum berbuka puasa
*Dua hingga empat jam kemudian


Perkara lain yang perlu diberi perhatian

Pesakit yang memerlukan insulin perlu menjalani ujian ketone di dalam air kencing atau darah, sekiranya tahap gula di dalam darah mereka terlalu tinggi. Langkah ini dapat mengelakkan berlakunya koma diabetik ketoasidosis. Pesakit ini juga mesti segera berbuka puasa.

Awasi berat badan di sepanjang bulan puasa. Pertambahan lebih dua kilogram perlu dimaklumkan kepada doktor. Jika dalam satu hari berat badan didapat berkurangan 3%, pesakit mestilah segera berbuka bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya dehidrasi yang serius.

Banyakkan minum air tetapi elakkan minuman manis. Gantikan air yang hilang ketika membuang air kecil di tengah malam dengan meminum air.

Dengan pengawasan yang baik, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat oleh pesakit diabetes. Pesakit perlu menjaga diet ketika berbuka, bersahur dan mendapatkan nasihat doktor berhubung pengubahsuaian dos dan waktu ubat/insulin harus dimakan/disuntik. Pesakit perlu peka terhadap tanda-tanda hipoglisemia atau dehidrasi. Sekiranya ia berlaku, pesakit mestilah segera berbuka puasa.

Susunan DALILAH IBRAHIM

Artikel asal disediakan oleh A/Prof Dr Nor Azmi Kamarudin, Klinik Diabetis dan Endokrinologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan diterbitkan untuk pendidikan ehsan oleh Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd.

mSTAR Online 12 September 2007