Khamis, 13 September 2007

Mualaf perlu sokongan material, emosi


SEORANG mualaf berasal dari Australia memilih memeluk Islam pada 1 Ramadan, selepas mengenali dan mengkaji Islam beberapa lama kerana katanya Ramadan adalah bulan penuh rahmat, pengampunan dan janji syurga daripada Allah.

Katanya, itulah masa terbaik beliau merebut tawaran Allah yang hanya datang sekali dalam setahun. Tawaran itu pula memberi peluang beliau mengejar ganjaran amal malam Lailatul Qadar.

Keputusan memilih tinggal di Malaysia turut menimbulkan rasa aneh di kalangan sahabat, tetapi pemandangan masjid dipenuhi jemaah menunaikan solat dan seruan azan berkumandang serta gaya hidup rakyat yang memenuhi tuntutan agama menguatkan hatinya untuk terus berada di negara ini.

Jika ada pertanyaan mempersoalkan kenapa beliau tidak pulang ke negara asal untuk berdakwah, jawapannya: “Belum pasti di sana ada orang yang mahu mendengar jika saya berbicara, tetapi di sini, ramai yang tertarik kerana tidak ramai orang putih memeluk Islam, boleh berbahasa Melayu dan menetap di sini. Saya tidak sanggup berpisah dengan saudara dan guru yang banyak membantu saya.”

Itulah pengakuan seorang mualaf yang mendapat bantuan daripada rumah singgah mualaf yang menyediakan perlindungan kepada saudara baru. Namun, berapa ramaikah daripada mereka seperti beliau yang bertuah mendapat tempat perlindungan.

Berapa ramai lagi golongan mualaf tidak ditangani dengan baik dan terumbang-ambing tanpa pembelaan. Justeru, lebih banyak rumah perlindungan perlu diwujudkan untuk menangani urusan pengislaman, pengurusan kebajikan dan latihan pembangunan pendakwah.

Pengalaman menguruskan Hidayah Center oleh Jemaah Islah Malaysia (JIM), mendapati mualaf terutama yang berketurunan Cina dan India menghadapi pelbagai persoalan sebaik mereka menyatakan diri memeluk Islam.

Perkara yang selalu dihadapi adalah persoalan ekonomi dan keluarga. Bukan sedikit daripada mereka yang ‘dibuang’ keluarga dan dipecat daripada pekerjaan. Di samping itu, mereka selalu disalah anggap dan dipandang negatif oleh umat Islam berbangsa Melayu.

Stigma perkauman masih ada. Di sinilah, perlunya dokongan bantuan dan perhatian umat Islam kepada mualaf. Selalunya, orang Islam di kalangan kita terharu ketika ada orang bukan Islam memeluk Islam. Apabila bukan Islam mengucapkan syahadah di masjid, kita akan menitiskan air mata gembira.

Sayangnya, keseronokan hanya setakat itu saja. Kita kurang memahami permasalahan sebenar dilalui mereka. Saudara baru memerlukan sokongan dalam bentuk material, spiritual dan emosi dalam meniti kehidupan seharian.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa meringankan penderitaan Mukmin di dunia, nescaya Allah akan meringankan penderitaannya pada Kiamat dan barang siapa memudahkan urusan orang mengalami kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Siapa saja yang menutupi (aib) Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Siapa saja yang menempuh suatu jalan guna mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum (kelompok) berkumpul di rumah Allah membaca Kitabullah dan mengkajinya antara sesama mereka melainkan ketenangan akan turun di tengah mereka, rahmat meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka serta Allah akan menyebut mereka di sisi malaikat. Siapa saja menjadi lamban kerana amalnya (sehingga amal salih menjadi kurang), maka tidak cukup baginya bermodalkan nasab.” (Hadis riwayat Muslim).

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Artikel disediakan dengan kerjasama Hidayah Centre JIM dan penulis boleh dihubungi di emel wanitajim@yahoo.com

Berita Harian 14 September 2007