Ahad, 2 September 2007

Orang putih kumpulan minoriti di Birmingham


BIRMINGHAM: Pasukan penyelidik dari Universiti Manchester merumuskan orang putih akan menjadi kumpulan minoriti di Birmingham, bandaraya kedua terbesar Britain, menjelang 2027.

Hasil kajian berkenaan diumumkan selepas satu lagi kajian menyatakan sekurang-kurangnya satu mukim di 35 bandar di Britain dikuasai oleh orang bukan kulit putih.

Pakar juga meramalkan Leicester akan muncul sebagai bandaraya pertama di Britain yang akan dikuasai oleh orang bukan kulit putih dalam tempoh empat tahun lagi, lapor The Telegraph semalam.

Ludi Simpson, seorang pakar statistik di Universiti Manchester, berkata jumlah penduduk keturunan Pakistan di Birmingham dijangka meningkat sekali ganda menjelang 2026, dengan dua pertiga daripada peningkatan itu berpunca daripada hakikat bahawa kaum itu kini lebih muda secara relatifnya berbanding orang putih.

Dr Simpson berkata: "Secara keseluruhannya pertumbuhan berkenaan berlaku semula jadi, ditambah pula dengan kemasukan pendatang baru, terutama jodoh yang dibawa masuk dari negara asal,”

"Birmingham kemungkinan besar akan menjadi bandaraya di mana orang putih menjadi minoriti menjelang 2027.

“Namun, bandaraya itu akan mempunyai penduduk yang pelbagai bangsa,” katanya.

Nissa Finney, juga dari Universiti Manchester mememberitahu persidangan tahunan Royal Geographical Society 35 bandar di Britain mempunyai sekurang-kurangnya satu mukim yang orang putih menjadi minoriti.

Ini termasuk Birmingham, Burnley, Slough, Peterborough, Bolton dan Derby, serta Brent, Tower Hamlets, Ealing dan Newham di dalam London.

Finney berkata peningkatan jumlah penduduk bukan orang putih dalam mukim terbabit adalah berpunca daripada pertumbuhan semula jadi, seperti pemindahan penduduk ke kawasan berdekatan saudara mara mereka.

Trevor Phillips, pengerusi Suruhanjaya bagi Kesaksamaan dan Hak Asasi berkata keputusan perlu dibuat bagi memastikan setiap bandaraya muncul dengan penduduk yang pelbagai bangsa dan tidak dikuasai mana-mana bangsa.

Katanya, pengalaman di Eropah menunjukkan pemisahan penduduk akan mencetuskan perasaan saling tidak mempercayai dan keretakan perpaduan. – Agensi