Ahad, 2 September 2007

Teruskan perjuangan tingkat ketamadunan


SAMBUTAN Hari Kemerdekaan ke-50 tahun semalam boleh dianggap paling meriah dan penuh nostalgia apabila beberapa acara bersejarah yang berlaku pada tarikh keramat itu lima dekad lalu turut diselitkan. Laungan merdeka yang kedengaran saban tahun di Dataran Merdeka lebih bersemangat semalam, sejajar dengan setengah abad rakyat negara ini bebas daripada belenggu penjajahan. Sepanjang perarakan kemerdekaan semalam dan perhimpunan di Stadium Merdeka malam tadi, jelas terpancar semangat patriotik membakar jiwa hadirin tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama. Semua cintakan negara dan berazam untuk terus setia bersama Malaysia. Kita cuma berharap semangat dan azam yang membakar jiwa itu berterusan sepanjang masa sama ada ketika susah atau senang, bukan hanya setahun sekali. Kita katakan demikian kerana setiap tahun, semangat yang sama membara pada Hari Kemerdekaan tetapi tindakan banyak tindakan dan amalan bercanggah dengan semangat itu sehinggalah 31 Ogos datang semula. Di kalangan kebanyakan generasi muda, perayaan kemerdekaan tidak lebih daripada bersuka ria dan berseronok menonton persembahan bunga api atau berhibur hingga ke dinihari, sama seperti malam sambutan tahun baru. Ramai kurang memahami sejarah perjuangan bangsa atau langsung tidak mengendahkannya. Apakah arus perubahan dan pemodenan yang dinikmati sekarang melalaikan kita untuk mendidik mereka? Bagi generasi muda ini, perjuangan menuntut kemerdekaan adalah tanggungjawab nenek moyang kita seperti kewajipan ibu bapa untuk membesarkan mereka. Malah, ada yang terfikir bahawa adalah tidak adil bagi generasi lama mengungkit jasa dan pengorbanan mereka untuk membolehkan kita mengecapi kehidupan aman damai, selesa dan harmoni sekarang.

Sebuah bangsa yang maju dan bertamadun adalah bangsa yang menghargai serta berbangga dengan perjuangan nenek moyang mereka. Justeru, generasi masa kini bukan saja perlu diterapkan dengan nilai menghayati dan menghormati perjuangan ibu bapa dan nenek moyang mereka, malah harus sentiasa disedarkan mengenai perjuangan wira negara termasuk yang tidak menerima sanjungan dan tidak didendangkan. Tanpa pengorbanan mereka serta perancangan pemimpin dan pejuang terdahulu, kita tidak mungkin menikmati apa dikecapi sekarang. Tidak ada sebarang janji daripada pihak menjajah yang akan menjamin masa depan kita kecuali kita sendiri yang mengorak langkah memperjuangkan nasib kita sendiri. Oleh itu, sebagai simbol kita menghargai perjuangan masa silam, adalah wajar pendedahan secukupnya diberikan kepada generasi muda kini daripada semua kelompok masyarakat dan keturunan di negara ini supaya mereka memahami serta menghayati pentingnya erti kemerdekaan.

Semua lapisan masyarakat - tua atau muda hendaklah bersama-sama berusaha menambah nilai kepada kejayaan yang dikecapi selama 50 tahun lalu, bagi membina kejayaan baru yang lebih gemilang bagi negara ini. Kita yakin kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan terus berusaha menjadikan ekonomi negara berkembang dengan lebih tinggi, memajukan ilmu pengetahuan ke tahap lebih bermutu serta memastikan pembangunan wilayah yang lebih seimbang di seluruh negara. Dengan pembangunan koridor Pantai Timur, Utara, Selatan serta Sabah dan Sarawak, pendekatan digunakan itu sudah pasti akan meningkat taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010. Oleh itu, rakyat juga perlu menilai sejarah perjuangan pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan serta memahami cabaran yang dilalui dalam mengisi kemerdekaan.


Berita Harian
1 September 2007