Ahad, 2 September 2007

Menjana modal insan generasi 2057


Pembangunan belia progresif mesti ada strategi, hala tuju dan falsafah


PADA Ahad hingga Selasa ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Konvensyen Pembangunan Belia Meneroka Generasi 2057. Ia bertujuan menentukan hala tuju, falsafah dan strategi pembangunan belia yang progresif, menggariskan mekanisme pengurusan pembangunan belia, menyediakan kod etika pertubuhan belia dan membina teras pembangunan belia yang terbilang.

Antara yang akan dibincangkan ialah mengenai kompetensi pekerja belia, peranan dan struktur pertubuhan belia, pendekatan dan strategi pengurusan negara dalam pembangunan belia, pengukuhan antara generasi dan budaya bangsa Malaysia serta meneroka perbatasan baru pembangunan belia.

Konvensyen ini penting sekurang-kurangnya atas dua sebab. Pertama, apabila dikuatkuasakan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (APBPB), pertubuhan belia perlu melakukan perubahan semula organisasinya, terutama yang selama ini dipimpin oleh mereka melebihi umur 40 tahun kerana kini kepemimpinan dihadkan di bawah umur itu.

Kedua, dalam merealisasikan Misi 2057 yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, maka perlu diadakan pemikiran semula mengenai pembangunan belia dalam segala bidang dan peringkat, terutama dari segi pembinaan modal insan kelas pertama bertaraf dunia.

Justeru, perhatian yang berat dan tepat perlu diberikan bukan saja terhadap pertubuhan belia, malah juga terhadap agensi kerajaan berkaitan belia. Dalam hal ini, aspek yang kritikal ialah kepemimpinan belia dalam pertubuhan dan agensi belia. Ia membabitkan dua komponen utama, iaitu kurikulum komprehensif dan budaya kondusif.

Masalahnya ialah kebanyakan latihan kepemimpinan belia hanya meminjam atau meniru modul orang lain. Mesti ada kurikulum sendiri yang diasaskan pada tiga rukun perjuangannya, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme; orientasi operasinya, iaitu aktiviti, bakti dan advokasi; dan penerokaan corak, cara dan citra yang baru.

Dari segi budaya yang kondusif pula, masalahnya ialah ada pertubuhan dan agensi belia berhadapan dengan beberapa keadaan yang kurang memberangsangkan.

Antara kekangan itu ialah melebihi umur belia, terlalu cepat atau lama memegang jawatan, nisbah pemimpin wanita terlalu kecil, kurang menguasai ilmu dan kemahiran pembangunan belia terkini, tidak menjalankan amanah dengan baik, kurang pendekatan dan program yang segar, kurang orientasi belia, kurang amalan demokrasi, unsur politik yang mengganggu, kepentingan perniagaan atau peribadi yang membazirkan kewangan serta kurang pengiktirafan.

Masalah pemimpin pertubuhan melebihi umur kini diselesaikan APBPB. Tetapi, jika majoritinya berumur akhir 30-an, maka, ia tidak bermakna. Perlu diwujudkan mekanisme supaya semua kumpulan (15-19 tahun, 20-24 tahun, 25-29 tahun, 30-34 tahun dan 35-40 tahun) dan wanita terpilih di barisan tertinggi.

Kekuatan sedia ada dalam pengurusan pembangunan belia di kalangan pertubuhan belia perlu diperkemaskan. Antaranya ialah meritokrasi, demokrasi, keterbukaan, hubungan antarabangsa, pembangunan manusia berdaya sumber (bukannya sumber manusia) dan pemasaran sosial, kesukarelaan dan pendekatan turun padang.

Kekuatan baru KBS, iaitu Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) dan Pendaftar Pertubuhan Belia perlu digunakan dengan bijaksana.

Pertubuhan dan agensi belia mungkin tidak mampu memisahkan dirinya secara 100 peratus daripada politik. Tetapi, ia mesti mengelakkan diri daripada dipolitikkan dan mampu memisahkan antara politik partisan dan kepartian dengan isu berkaitan politik.

Konsep penyertaan penuh seperti ‘belia sebagai rakan pembangunan’, ‘penghakupayaan belia’ dan ‘perwakilan belia’ perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti belia.

Pemimpin pertubuhan belia perlu diberikan pendedahan secukupnya. Kini, sudah sampai masa untuk perwakilannya dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Dewan Negara.

Pembangunan belia mesti meluaskan wilayahnya supaya tidak lagi sekadar di bawah KBS, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan label belia saja. Sebaliknya, ia mesti meliputi seluruh spektrum belia, iaitu kesihatan dan kecergasan, pendidikan dan kemahiran, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosiobudaya serta demokrasi.

Dari segi penghayatan kemerdekaan, gagasan Patriotisme Alaf Baru yang dimulakan MBM pada 1999 perlu dimantapkan. KBS pula perlu diberikan peruntukan tambahan untuk menganjurkan program alternatif bagi belia yang tidak terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Gerakan pembangunan belia mesti melonjakkan peranan tradisinya dalam bidang pendidikan dan latihan dengan menggarap perspektif modal insan yang terkini dan futuristik dengan membantu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi (PTPT).

Kita mesti benar-benar menyediakan pendidikan bersepadu dan seimbang dari segi akademik dan kokurikulum serta pembinaan sahsiah dan kepemimpinan yang tinggi. Belia kita mesti mampu menjadi pemain global. Institusi pendidikan kita mesti mencapai kedudukan bertaraf dunia.

Keseimbangan di antara akademik dan kokurikulum yang kini berada pada nisbah 90:10 perlu diubah kepada nisbah yang lebih sesuai iaitu 70:30.

Latihan kemahiran perlu pemerkasaan dan penjajaran semula. Universiti yang ditubuhkan khusus untuk orientasi kemahiran mesti menitikberatkan kemahiran dan tidak menjadi universiti biasa. Insentif membabitkan penyertaan swasta mesti ditingkatkan.

Proses pembinaan modal insan perlu meliputi lapan objektif iaitu kemampuan berkomunikasi, berfikir kritikal, penghujahan bermoral, menjadi warganegara, hidup dalam kepelbagaian, hidup dalam masyarakat global, minat yang luas dan mendalam serta persediaan kerjaya.

Semoga Generasi 2057 menjadi belia nombor satu di rumah, kelas, pejabat, padang, tempat ibadat, peti undi dan seterusnya di pentas dunia.

Oleh Saifuddin Abdullah

Datuk Saifuddin Abdullah adalah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)


Berta Harian
1 September 2007