Ahad, 2 September 2007

Semangat warga pendidik makin membara


SEMALAM, kita meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50. Sudah setengah abad berlalu yang turut menyaksikan pencapaian cemerlang sistem pendidikan terutama sekali pendidikan rendah dan menengah.

Sistem pendidikan negara sudah berkembang pesat seiring dengan pembangunan negara. Pelbagai kejayaan ditempuh walaupun turut diiringi oleh pelbagai cabaran.

Relevannya membicarakan sistem pendidikan dalam negara menyambut ulang tahun 50 kemerdekaan ialah kerana pendidikan adalah antara alat utama terhadap pencapaian perpaduan kebangsaan dan dalam menanamkan semangat cintakan tanah air.

Di samping menanamkan semangat cintakan negara, pendidikan turut menjadi wadah melonjakkan daya produktiviti dan daya saing negara untuk mencapai status maju menjelang 2020.

Sistem pendidikan adalah tapak semaian kuat dalam membentuk sikap yang sihat serta positif di kalangan masyarakat pelajar. Pendidikan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti yang berjiwa patriotik dalam membina dan mempertahankan kemerdekaan negara.

Tugas mencabar kementerian yang menjaga hal ehwal pendidikan rendah dan menengah negara ini iaitu Kementerian Pelajaran yang terpaksa berhadapan pelbagai isu, ternyata tidak melemahkan semangatnya untuk mencemerlangkan lagi mutu pendidikan negara.

Kejayaan nyata pendidikan rendah dan menengah setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan ialah pendidikan bukan lagi hanya khusus untuk golongan berharta, kaya dan berkedudukan tinggi. Pendidikan kini sudah menjadi milik semua orang melalui hampir 10,000 sekolah, lebih 300,000 guru dan kira-kira lima juta murid.

Iltizam Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sebuah bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang melalui sistem pendidikannya ternyata cukup serius dengan pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. PIPP adalah satu dokumen perancangan pembangunan yang meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia.

Teras strategik PIPP yang pertama ialah membina Negara Bangsa. Dalam usaha itu, kementerian berhasrat untuk membangunkan warganegara daripada awal persekolahan dengan ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa.

Jelas sekali teras strategik PIPP yang pertama adalah usaha menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan sayangkan tanah air.

Pembinaan negara bangsa adalah satu elemen amat penting dalam kejayaan negara. Fokus kementerian dalam membina negara bangsa mencakupi usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa.

Akhir sekali ialah memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam membentuk pemikiran dan kehidupan.

Dalam konteks membicarakan mengenai kemerdekaan, kita tidak terlepas daripada mengimbau kembali peranan guru dalam membantu negara menuntut kemerdekaan. Peranan mereka dalam turut serta membebaskan negara daripada belenggu penjajah amat besar.

Guru memberi khidmat masing-masing yang sangat bermakna sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Kemerdekaan tanah air diperjuangkan oleh semua lapisan rakyat tetapi salah satu kumpulan yang memainkan peranan gigih dan istimewa serta berkesan ke arah ini ialah guru Melayu.

Ramai daripada mereka yang memperjuangkan kemerdekaan, sama ada melalui penyertaan dalam bidang politik secara langsung atau melalui penulisan.

Guru juga satu kumpulan paling aktif memupuk dan memberi semangat cintakan tanah air. Semangat inilah yang menjayakan perjuangan melawan Malayan Union dan kemudian menuntut kemerdekaan negara.

Jelas, guru memberi sumbangan yang sangat bermakna sejak sebelum merdeka untuk memperjuangkan keutuhan dan kedaulatan bangsa dan negara ini.

Kedudukan guru ketika itu dipandang tinggi. Ketika itu, guru juga selalu menjadi rujukan oleh anggota masyarakat untuk mendapat nasihat. Sering kali, guru menjadi tempat untuk mendapatkan nasihat kewangan, ekonomi dan sebagainya.

Sumbangan guru Melayu tidak berakhir hanya untuk mencapai kemerdekaan. Selepas kemerdekaan mereka memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk terhadap kesejahteraan keseluruhan rakyat.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika berucap pada majlis sambutan Hari Guru ke-36 peringkat kebangsaan pernah menyarankan warga pendidik menggunakan kemerdekaan negara ke-50 sebagai pemangkin untuk membaharui azam, semangat dan tekad bagi melaksanakan agenda bersama ke arah melonjakkan kualiti pendidikan di negara ini.

Pendekatan itu, menurut beliau, adalah selaras usaha kementeriannya untuk menjayakan PIPP dan melaksanakan misi nasional. Walaupun jasa dan sumbangan guru dalam perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan sangat besar, ia tidak bermakna perjuangan itu sudah selesai.

Perjalanan guru masih jauh dengan tuntutan tugas yang semakin mencabar kesan daripada cabaran negara berikut proses globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

Bagaimana beratnya cabaran yang dipikul, warga pendidik perlu terus gah melaksanakan tugasnya demi bangsa yang tercinta. Tugas guru menggalas amanah negara adalah berat tetapi amat besar nilai dan maknanya

Dalam menyahut cabaran di atas, pihak kementerian menyediakan program pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara berilmu pengetahuan, celik IT, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Cabaran guru setelah 50 tahun kemerdekaan negara ialah mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran secukupnya supaya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan berkesan.

Usaha ini adalah juga untuk melahirkan insan berprestasi tinggi, berminda kelas pertama dan memiliki akhlak mulia. Sama ada disukai atau tidak, guru menjadi contoh kepada murid.

Setelah 50 tahun negara merdeka, cabaran warga pendidik seperti terkandung dalam PIPP adalah untuk mencapai matlamat pendidikan seperti memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh. Usaha ini penting dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Guru juga menghadapi cabaran dalam meningkatkan kreativiti inovasi dan budaya ilmu pelajar serta membudayakan sains dan teknologi dan pembelajaran sepanjang hayat, menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap, berkesan dan bertaraf dunia. Cabaran guru juga ialah untuk meningkatkan martabat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Cabaran menjadikan sekolah sebagai arena untuk menyemai nilai patriotisme dan semangat kebanggaan menjadi warga Malaysia harus didokong oleh semua pihak terbabit. Sekolah kebangsaan perlu terus dijadikan medan di kalangan pelajar untuk mempelajari bagaimana hidup dalam negara yang berbilang bangsa dan agama

Aspek modal insan juga perlu dibangunkan oleh semua guru. Oleh itu, guru juga perlu sentiasa berusaha menambah nilai pengetahuan mereka dengan sentiasa menimba ilmu pengetahuan. Ini kerana peranan guru amat penting dalam pembinaan modal insan dan modal insan perlu dibentuk dengan pengetahuan dan kemahiran yang selari dengan cabaran dihadapi negara masa kini.

Sambutan 50 tahun kemerdekaan negara membawa erti besar kepada sistem pendidikan rendah dan menengah negara. Pelbagai kejayaan cemerlang dicapai di tengah-tengah cabaran yang sentiasa menduga sistem pendidikan negara.

Pengorbanan warga pendidik untuk turut sama menuntut kemerdekaan negara 50 tahun yang lalu amatlah besar. Semangat patriotisme warga pendidik tetap membara sehingga kini melalui perjuangan mereka dalam menjadikan sistem pendidikan negara semakin hebat dan cemerlang.

Oleh Sapora Sipon

Dr Sapora Sipon adalah Pengarah Perhubungan Korporat USIM


Berita Harian
1 September 2007