
Temubual dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis), Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan sempena Forum Antarabangsa Deklarasi Makkah: Pelaksanaan Agenda Ekonomi Dunia Islam mulai esok hingga Isnin.
Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai forum ini dan matlamatnya?
Deklarasi Makkah adalah resolusi yang dicapai dan dipersetujui pemimpin Islam pada Persidangan Luar Biasa Ketiga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Makkah pada Disember 2005. Pada persidangan itu juga pemimpin negara terbabit menerima Pelan Tindakan 10 Tahun OIC bagi menghadapi cabaran hebat pada abad ke-21 dalam pelbagai aspek termasuk politik, pembangunan, sosioekonomi, sains dan teknologi. Forum Antarabangsa Deklarasi Makkah: Pelaksanaan Agenda Ekonomi Dunia Islam yang dianjurkan Isis akan membincangkan mengenai pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi dan sosial yang digariskan dalam Deklarasi Makkah. Forum ini menggabungkan kumpulan terdiri daripada pemimpin negara, pembuat dasar, ahli OIC, ahli akademik dan institusi antarabangsa. Tujuan forum ini adalah untuk menilai tahap pembangunan dunia Islam dan melihat kekurangan serta halangan dalam melaksanakan pelan tindakan OIC, untuk memikirkan cara terbaik mempercepatkan pelaksanaan pelan pembangunan selain mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa dan dunia maju. Kita juga akan melihat apakah tindakan tambahan yang boleh dimainkan Malaysia dan Perdana Menteri dalam menjayakan wawasan untuk umat Islam.
Disember ini bermakna dua tahun Deklarasi Makkah termeterai. Dalam tempoh itu ada atau tidak mesyuarat dan perjumpaan susulan dibuat oleh negara OIC untuk melihat perkembangan pelaksanaan pelan pembangunan itu?
Selepas resolusi Deklarasi Makkah dicapai, memang ada mesyuarat diadakan antara negara OIC mengenai tindakan susulan yang diambil. Sejak dilancarkan, OIC sudah mengadakan beberapa persidangan dan perjumpaan untuk membincangkan aspek tertentu mengenai pelan tindakan berkenaan. Saya pasti, forum dianjurkan Isis ini akan memberikan lebih banyak maklumat berhubung pencapaian atau usaha dilakukan negara OIC. Sebagai pengkaji polisi, Isis sendiri akan melihat apakah maklum balas yang bakal diperoleh dan daripada itu barulah kita putuskan sama ada ingin melanjutkan perbincangan mengenai pelaksanaan agenda ekonomi. Setiap tindakan susulan bergantung kepada hasil forum itu nanti. Perlu saya tekankan forum ini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan sosial iaitu antara isi kandungan Deklarasi Makkah kerana banyak perkara lain turut dipersetujui dalam pelan tindakan termasuk menentang keganasan, Islamophobia, hak asasi manusia, konflik yang dihadapi dunia Islam dan kedudukan wanita.
Bagaimana dengan kedudukan Malaysia dalam pembangunan ekonomi?
Berdasarkan laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pencapaian dan kedudukan Malaysia yang cemerlang dalam pembangunan ekonomi dan sosial masa kini adalah berasaskan kepada dasar serta strategi digubal menerusi Rangka Rancangan Jangka Panjang dan dilaksanakan secara sistematik melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun. Pada pandangan saya, ini membuktikan Malaysia benar-benar memastikan apa juga resolusi atau persetujuan dicapai dalam Deklarasi Makkah diterjemahkan melalui tindakan sewajarnya secara berterusan supaya menjadi contoh negara lain. Boleh juga saya kata, kerana itu forum kali ini memberi tumpuan kepada dimensi pembangunan ekonomi kerana Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat menitikberatkan aspek pembangunan ekonomi dan modal insan dalam membangunkan umat Islam. Bagi Pak Lah, inilah yang paling penting. Jika kita dapat mengatasi perkara ini, yang lain semua akan mengikut.
Apakah tindakan susulan yang diambil Malaysia dalam melaksanakan agenda pembangunan ekonomi seperti dipersetujui dalam Deklarasi Makkah?
Kita berbangga kerana Malaysia mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan Pelan Tindakan 10 Tahun OIC itu. Contohnya, dalam pelaksanaan memperkukuh kerjasama ekonomi dan komersial antara negara ahli OIC, Malaysia menganjurkan dua Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) pada 1 hingga 3 Oktober 2005 dan Jun tahun ini. Forum berkenaan menjadi medan interaksi antara pemimpin negara dan ahli perniagaan untuk manfaat ummah. Malah, Malaysia turut mencadangkan supaya sekretariat kekal WIEF berpangkalan di sini untuk menunjukkan komitmen ke arah menggalakkan aktiviti berkaitan perniagaan dan ekonomi negara anggota. Begitu juga dalam usaha membantu negara dilanda bencana alam di mana kita memberi sumbangan kepada negara yang dilanda bencana alam serta peperangan. Malaysia turut membantu usaha membasmi kemiskinan dan buta huruf di negara yang dikenal pasti menghadapi masalah kemiskinan serta kadar buta huruf yang tinggi. Ini termasuk menganjurkan Persidangan Zakat Antarabangsa, membantu dalam pendidikan tinggi, kesihatan serta sains dan teknologi. Malah, kita turut memberi perhatian serius kepada kedudukan wanita dan kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan dan diskriminasi selaras nilai Islam yang mementingkan keadilan dan kesaksamaan. Bagi mencapai visi itu, Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fikah Islam Antarabangsa (IIFA) ke-18 yang turut membincangkan isu hak wanita Muslim.
Mengapa isu kedudukan wanita dimasukkan secara khusus dalam pelan pembangunan ekonomi ini?
Wanita adalah separuh daripada umat Islam. Oleh itu, jika kita tidak membangunkan wanita bermakna kita tidak membangunkan separuh daripada rakyat. Daripada peruntukan, kerja dan sebagainya, jika kita abaikan wanita, kita abaikan separuh daripada modal insan. Jika kita nak bangunkan ekonomi kita kena bangunkan modal insan. Banyak negara Islam sama ada kerana tradisi atau interpretasi tidak betul mengenai agama menyebabkan wanita ditindas sama ada untuk belajar atau bekerja. Sebenarnya wanita penting dalam pembangunan ekonomi dan Malaysia mengambil langkah memartabatkan wanita supaya mereka menjadi sebahagian daripada penjana pembangunan ekonomi. Malangnya masih ada negara Islam yang tidak membenarkan wanita berkembang, malah ada negara yang tidak membenarkan wanita memandu kereta. Ini bukan saja menjejaskan pembangunan ekonomi malah memberi gambaran negatif terhadap umat Islam nilai tahap pembangunan dunia Islam.
Oleh Hasliza Hassan
Berita Harian
1 September 2007