Ahad, 2 September 2007

'Saya bertuah kenali Tunku secara dekat'


Rafidah mahu generasi kini hargai kemerdekaan


AGAK sukar untuk membayangkan Datuk Seri Rafidah Aziz berasa ‘kecil’ walau dalam apa jua keadaan. Tetapi ‘wanita besi’ ini pernah berasa ‘kecil’ apabila berhadapan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang dipanggilnya dengan nama Pak Engku.

“Pak Engku memang seorang yang baik hati, bercakap seperti orang biasa. Kalau orang tidak kenal beliau sudah pasti akan lekas mesra. Tetapi disebabkan beliau adalah tokoh terulung dalam sejarah, bila beliau bercakap dan bercerita, kita tidak boleh lari daripada perasaan ‘oh, kecilnya aku’.

“Orang hanya membaca dan mengenali Tunku daripada buku sejarah,” kata Rafidah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, mengimbau cerita lama.

Kali pertama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berbual secara serius dengan Bapa Kemerdekaan negara adalah ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan, apabila kedua-dua mereka lewat untuk penerbangan yang sama ke Pulau Pinang.

“Kami bercakap pelbagai hal dan topik. Tetapi sebagai orang baru dan sepatutnya menghadiri majlis di Universiti Sains Malaysia (USM), penerbangan lewat dua jam dan sejam lagi perjalanan menuju ke Pulau Pinang membuatkan saya bimbang sehingga migrain.

“Sampai di lapangan terbang, saya sudah tidak tahan lagi dan perlu ke hospital. Pengarah Hospital Besar Pulau Pinang ketika itu, Dr Shah, ada dalam penerbangan yang sama dan diminta Pak Engku untuk menguruskan saya.

“Tetapi apa yang paling mengharukan ialah Pak Engku datang sendiri ke hospital pada keesokan harinya, membawa bunga dan kad. Tetapi saya sudah keluar awal pagi dan terus pulang ke Kuala Lumpur,” katanya mengenang budi baik Perdana Menteri pertama itu.

Persahabatan kedua-dua tokoh ini semakin akrab apabila Rafidah menjadi Presiden Bolasepak Wanita Kuala Lumpur/Selangor, dan isteri Tunku, Tun Sharifah Rodziah adalah penaung persatuan itu. Rafidah sering ke rumah pasangan itu untuk berbincang mengenai persatuan, termasuk meminta Sharifah Rodziah menghadiah sebuah piala untuk perlawanan bola sepak wanita yang dikenali sebagai Piala Tun Sharifah Rodziah.

“Sejak itu, saya lebih rapat dengan Pak Engku. Saya sering minum petang dan makan malam bersama kedua-dua suami isteri. Malah, Pak Engku pernah menceritakan beberapa perkara besar, yang tidak boleh saya sebutkan di sini.

“Itulah seperti saya katakan tadi, saya amat bernasib baik kerana mengenali Pak Engku secara dekat, di kala ramai yang lain hanya membaca mengenai beliau dalam buku atau suratkhabar,” kata Rafidah.

Sebenarnya, Rafidah pernah bertemu Tunku sejak dari kecil lagi. Bapanya seorang anggota Pemuda Umno dan rumah mereka terletak di belakang Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Dari situ, Rafidah sering mengintai Tunku yang sering bermesyuarat dengan ahli Umno di kelab berkenaan.

“Ketika itu saya bersekolah di sekolah kampung dan kalau Tunku datang untuk mesyuarat, saya suka mengintai,” katanya tertawa apabila diminta mengingat cerita ketika zaman kecil.

Rafidah yang banyak berpindah randah mengikut bapanya, berkata zaman kecilnya dipenuhi dengan kenangan bersama ‘orang putih’ kerana zaman persekolahan di Convent Bukit Nenas, Convent Johor Bahru, Sekolah Zainab di Kelantan, tenaga pengajarnya kebanyakan terdiri daripada rakyat British.

Keadaan sama dialami pada awal zaman pekerjaan dengan pihak Inggeris masih menduduki beberapa agensi kerajaan termasuk di Risda, agensi untuk pekebun kecil yang kertas kerja penubuhannya disediakan Rafidah.

Beliau pernah disentak daripada mimpi bahawa bangsa Inggeris sebenarnya bukan ‘tuan’ kepada Tanah Melayu, apabila beliau kali pertama menjejakkan kaki di London pada 1969.

“Saya tersentak kerana buat kali pertama dalam hidup saya - yang membuka pintu kapal terbang, yang mencuci tandas, yang menjadi juruteknik kapal terbang dan yang membawa teksi di kota London semuanya ‘orang putih’. Tak pernah dalam hidup saya melihat ‘orang putih’ sebagai orang biasa.

“Ketika itu baru saya sedar bahawa Inggeris adalah sama seperti kita, mereka bukan ‘tuan’ setiap masa. Di negara sendiri, mereka juga adalah rakyat biasa yang menjalankan tugas seperti bangsa Melayu. Jika ditanya, itulah kali pertama saya menyelami hakikat sebenar kemerdekaan,” katanya serius.

Justeru, beliau tidak dapat lari daripada melahirkan perasaan bimbang terhadap nilai kemerdekaan yang diwariskan kepada generasi baru hari ini, kerana segala yang diingini hari ini dapat dipenuhi dengan mudah.

“Saya memang bimbang kerana setiap kali generasi baru mengambil alih atau memasuki arus perdana, pertanyaan yang akan terpahat di fikiran generasi lama ialah adakah mereka mempunyai komitmen dan semangat yang kita ada.

“Saya yakin kebimbangan yang sama dialami generasi lama ketika saya memasuki arus perdana. Tunku Abdul Rahman sudah pasti risau melihat generasi pewarisnya, apa lagi melihat orang seperti saya mengambil alih tugas mentadbir negara.

“Ketika itu, beliau mungkin melihat saya dan berfikir ke mana perempuan ini hendak membawa Malaysia... saya yakin ketika itu beliau mesti berasa bimbang, seperti apa yang saya bimbangkan sekarang,” katanya.

Kerisauan yang dirasai mungkin berasas terutama apabila melihat ramai anak muda yang semakin hilang segan silu dan tidak teragak-agak memprotes secara lantang apabila tidak mendapat apa yang dikehendakinya.

“Pada zaman Tunku dan ketika saya serta rakan lain mewarisinya, semua adalah mengenai kerja keras, masih ada menebang dan menebas. Tetapi hari ini, generasi pewaris negara menerima warisan kami dalam dulang yang terhidang indah.

“Malangnya, ia kini menjadi era memprotes. Bila tak dapat jawatan politik mereka protes, bila tak dapat bantuan ekonomi, mereka protes, mereka tak dapat kerusi pilihan raya, mereka protes. Kami dulu tak ada apa yang hendak diproteskan, kerana tidak ada apa-apa untuk dituntut,” katanya tegas.

Justeru, Rafidah berharap rakyat Malaysia terutama generasi baru lebih insaf mengenai tanggungjawab individu dan secara kolektif dalam mempertahankan kemerdekaan yang memasuki usia 50 tahun ini.

“Pesanan saya untuk orang muda, kami orang lama sudah membawa kejayaan gemilang kepada Malaysia dalam tempoh 50 tahun pertama ini. Era 50 tahun akan datang adalah tanggungjawab mereka pula. Jika mereka tidak insaf dan tidak menghargai apa yang kita lalui dan apa kita miliki sekarang, kejayaan yang dicapai ini boleh musnah begitu saja,” katanya.


PROFIL: Datuk Seri Rafidah Aziz


> Jawatan sekarang: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ahli Parlimen Kuala Kangsar, PerakKetua Pergerakan Wanita Umno


>Tarikh Lahir: 4 November, 1943


>Suami: Tan Sri Mohamed Basir Ahmad.


>Anak: Rohaiza, Alfian dan Rohaila


>Pendidikan:1951-1953: Sekolah Convent Bukit Nenas


1953-1955: Sekolah Zainab, Kota Baru, Kelantan


1956-1958: Sekolah Menengah Convent Bukit Nenas


1961 : Sekolah Menengah Convent Johor Bahru


1961-1962 : Victoria Institution (Tingkatan 6)


1966: Ijazah Sarjana Muda (ekonomi) UM


1970: Ijazah Sarjana (ekonomi) UM


> Karier: Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM


Anggota Majlis Perundingan Belia Kebangsaan


Senator termuda Dewan Negara


Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam


Timbalan Menteri Kewangan


Ahli Parlimen Selayang


Menteri Perusahaan Awam



Oleh Jamhariah Jaafar


Berita Harian

1 September 2007