Ahad, 2 September 2007

PDRM diamanah terajui kawalan sempadan masuk


KABINET memutuskan untuk memberi kuasa penuh kepada polis sebagai agensi peneraju dan penyelia di semua pintu pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan kaedah penguatkuasaan menjadi lebih teratur, berkesan dan telus.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah mengambil alih dua pos kawalan terakhir di pintu masuk Malaysia-Thailand iaitu di Rantau Panjang, Kelantan dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mustafa Abdullah, berkata selama ini penguatkuasaan oleh pelbagai agensi di pintu masuk seperti PDRM, Kastam, Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Haiwan serta beberapa agensi lain menyebabkan senario ‘tidur sebantal, mimpi lain-lain’ berlaku.

“Justeru, bagi menyelaras dan menambah baik penguatkuasaan di pintu masuk, polis diamanahkan sebagai peneraju setiap agensi terbabit, namun ia bukanlah untuk menafikan peranan setiap agensi sedia ada dalam melaksanakan tugas mereka seperti biasa.

“Malah, bangunan yang dimiliki oleh mana-mana agensi seperti Kompleks Imigresen akan kekal menjadi hak milik mereka, namun akan dikawal selia oleh polis. Ia juga mengekalkan konsep perkongsian pengendalian aset seperti sedia ada,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, berkuat kuasa kelmarin, pintu masuk di Padang Besar, Perlis dan Pangkalan Kubur, Kelantan diambil alih PDRM, manakala pintu masuk di Wang Kelian dan Pangkalan Hulu akan diambil alih selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau menjelaskan, tujuan utama meletakkan PGA sebagai peneraju agensi di sempadan adalah kerana unit itu memang sudah biasa dengan sesi rondaan di sekitar kawasan sempadan selain mempunyai tenaga kerja yang ramai.

“PGA juga mengamalkan sistem penggiliran dalam meletakkan petugas dan ia secara langsung mengelakkan berlakunya rasa selesa di kalangan anggota yang memungkinkan mereka tidak amanah ketika bertugas,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan berlakunya kebocoran dalam penguatkuasaan sehingga membolehkan rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk, walaupun tanpa dokumen perjalanan yang sah, Mustafa berkata, perkara itu memang tidak dinafikan dan ia adalah satu kebiasaan yang sukar dibendung.

Tambahan pula, katanya, kelemahan dalam sistem pengoperasian di pos kawalan yang menempatkan anggota PGA menyebabkan segala tingkah laku mereka (anggota bertugas) sukar dipantau dan sukar mendapatkan bukti berlakunya pecah amanah di kalangan mereka.

“PGA baru mengambil alih beberapa pos kawalan daripada Unit Pencegah Penyeludupan (UPP). Justeru, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Namun, dalam masa sama ketiadaan peralatan canggih juga menjadi penyebab kebocoran itu berlaku.

“Saya tidak menafikan sebagai manusia, anggota polis yang bertugas di sempadan juga kadang-kadang rambang mata apabila disogokkan dengan wang ringgit menyebabkan mereka sanggup membelakangkan tugas diamanahkan. Namun, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya ada bukti yang boleh mensabitkan mereka dengan kesalahan itu,” katanya.

Mustafa mencadangkan supaya sistem pemantauan di pintu masuk sempadan dipertingkatkan dengan memasang beberapa peralatan canggih termasuk kamera litar tertutup (CCTV) yang mampu memantau setiap aktiviti di pos pemeriksaan.

Katanya, dengan ada peralatan sebegitu setiap salah laku di kalangan anggota polis terbabit akan dapat dipantau secara langsung dan ia dapat menafikan setiap petugas daripada ‘boleh dibeli’.

Selain itu, polis tiada kuasa menghalang sesiapa saja yang berkeinginan memasuki Thailand walaupun penguatkuasaan diperhebatkan kerana hakikatnya masih terlalu banyak jalan masuk secara haram (lorong tikus) di sekitar kawasan sempadan.

“Polis hanya mampu menasihati rakyat negara ini supaya mengurangkan aktiviti ke Thailand atas faktor keselamatan, namun jika mereka tetap juga berkeinginan ke sana, kami tak boleh nak halang. Keselamatan mereka di sana bukanlah jaminan kami,” katanya.


Berita Harian
3 September 2007