Ahad, 2 September 2007

Pertingkat integriti kurangkan kebocoran


IMIGRESEN tidak mempunyai kuasa menghalang rakyat negara ini daripada memasuki Thailand secara haram kerana jabatan itu hanya mampu menjalankan pemeriksaan di Kompleks Imigresen dan peranan selepas itu adalah di bawah tanggungjawab polis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, berkata jabatan itu pada kebiasaannya akan memeriksa setiap dokumen perjalanan rakyat negara ini yang melalui Kompleks Imigresen, namun sekiranya individu terbabit mengatakan untuk sekadar ke Kompleks Bebas Cukai, Imigresen akan melepaskannya kerana kawasan itu adalah kawasan bebas untuk dimasuki rakyat negara ini.

Namun, kata beliau, sekiranya selepas itu individu terbabit mengambil kesempatan dan cuba memasuki Thailand pula, ia bukan lagi di bawah tanggungjawab Imigresen kerana pos kawalan terakhir adalah di bawah pengawasan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Pada peringkat Imigresen, kami hanya akan membenarkan individu yang memiliki pasport antarabangsa dan pas sempadan memasuki Thailand, tetapi jika individu itu sekadar hendak ke Kompleks Bebas Cukai, kami hanya memeriksa kad pengenalan (MyKad) mereka.

“Sepatutnya polis yang mengawal di pos terakhir itu juga perlu memastikan perkara sama iaitu tidak membenarkan individu tanpa dokumen perjalanan yang sah memasuki Thailand. Namun, perkara itu bukan menjadi tanggungjawab kami tetapi pihak polis,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi mengurangkan gejala kebocoran masuk rakyat Malaysia ke Thailand, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya diwujudkan sistem imbasan MyKad supaya Imigresen dapat merekodkan setiap aktiviti keluar masuk membabitkan rakyat kedua-dua negara dengan lebih teratur dan berkesan.

Dengan ada sistem itu, setiap rakyat dari kedua-dua negara boleh memasuki negara ini jika memiliki dokumen perjalanan sah, tetapi hanya sekadar perlu memberikan kad pengenalan negara masing-masing untuk diimbas setiap kali mereka keluar dan masuk.

“Sistem ini mula digunakan di sempadan Malaysia-Brunei dan dicadangkan untuk sempadan lain termasuk Thailand dan Singapura. Cuma, pada peringkat ini, rundingan terperinci membabitkan kedua-dua negara terlebih dulu perlu diadakan supaya penyelarasan dapat dibuat.

“Kami (Imigresen) yakin dengan ada sistem itu nanti masalah kebocoran di pintu masuk dapat dikurangkan kerana hanya pemilik kad pengenalan yang memiliki dokumen perjalanan akan dibenarkan melalui pintu sempadan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, secanggih mana sekalipun teknologi digunakan tidak akan berjaya mengurangkan kebocoran selagi tahap integriti petugas di sempadan tidak dipertingkatkan.

Mengulas penyerahan kuasa peneraju agensi di pintu masuk Malaysia-Thailand kepada PDRM, Wahid berkata, sepatutnya tugas itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana jabatan itu lebih berperanan secara langsung dalam urusan keluar masuk ke negara ini.

Selain itu, pihaknya tidak menggalakkan rakyat negara ini terlalu kerap mengunjungi Thailand atas faktor keselamatan tetapi tidak berkuasa menghalang sesiapapun sekiranya mereka tetap berkeinginan ke negara itu.

Apa saja yang berlaku kepada mereka sepanjang berada di sana bukanlah tanggungjawab Imigresen apatah lagi mereka yang masuk secara haram.

Imigresen, katanya sentiasa mengkaji kaedah terbaik mempertingkat tahap kawalan di semua pintu masuk negara, tetapi pada masa sama tidak menyusahkan pelancong mengunjungi negara ini.


Berita Harian
3 September 2007