HARI bersejarah pada 31 Ogos 1957 membuka satu lembaran baru kerana bermula saat itu, Tanah Melayu terus berkembang sebagai negara bebas merdeka, maju dan kini terkenal sebagai Malaysia yang namanya terus gemilang di persada antarabangsa.
Malam Jumaat lalu, peristiwa yang terus mekar menjadi sejarah penting negara sekali lagi diimbas di lokasi yang sama dengan dihadiri ribuan rakyat pelbagai bangsa memenuhi setiap sudut Stadium Merdeka yang bersejarah.
Mungkin suasana dilalui mereka yang hadir pada pagi 31 Ogos setengah abad lalu tidak sama dengan apa yang dirasai rakyat Malaysia dan tetamu istimewa yang berada di Stadium Merdeka, malam itu. Jika hujan rahmat membasahi mereka yang ada di stadium 50 tahun lalu, tidak pada malam itu kerana cuaca cukup baik, langit berawan dan tiupan angin sekali sekala menyejukkan kehangatan suasana.
Namun, matlamat mereka yang berada di Stadium Merdeka itu adalah jelas, untuk meraikan detik penuh kegembiraan, kemerdekaan negara yang menjadi titik tolak kepada kesinambungan perjuangan bukan saja pemimpin tetapi seluruh warga Malaysia sejak dulu, kini dan masa akan datang.
Justeru, harapan untuk melihat ada hadirin yang mengalirkan air mata kerana perasaan bercampur baur antara gembira dan sayu yang tergambar di wajah generasi dulu hanya tinggal harapan kerana yang berada di stadium semua berwajah ceria.
Bukan bermakna mereka yang ada malam itu tidak menghayati atau gagal menyelami semangat perjuangan serta kemerdekaan generasi dulu. Sesuai dengan kemajuan yang dicapai Malaysia selepas 50 tahun menjadi negara merdeka, semangat perjuangan serta kemerdekaan hari ini dizahirkan dalam bentuk yang lain.
Jika dulu, laungan merdeka diiringi linangan air mata dan tangisan kegembiraan kerana bersyukur akhirnya dapat bebas daripada penderitaan hidup akibat cengkaman penjajah, keceriaan yang terbayang hari ini juga adalah tanda kesyukuran dan terima kasih kerana perjuangan mengekalkan kemerdekaan negara melalui semangat bersatu hati berjaya dikekalkan.
Melihat kepada semangat yang ditunjukkan terutama generasi muda yang menjadi majoriti pada Perayaan Raksasa Merdeka sempena sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia, jelas membuktikan semangat kemerdekaan terus dihayati rakyat negara ini.
Tidak keterlaluan jika dikatakan laungan merdeka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disambut penuh bersemangat adalah laungan yang sama pernah bergema 50 tahun dulu.
Hakikatnya, sejarah tidak berulang tetapi akan tetap terus di kenang. Bak kata-kata azimat yang sering diucapkan tatkala terjadi peristiwa tidak diingini atau orang yang disayangi meninggalkan kita, “Hidup perlu diteruskan.”
Itulah yang sepatutnya dilakukan iaitu meneruskan kehidupan dengan keazaman untuk mencapai yang terbaik bukan saja untuk diri sendiri, juga demi agama, bangsa dan negara tercinta supaya akan terus maju serta kekal merdeka sampai bila-bila.
Tayangan video memaparkan perjuangan lima Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dipertontonkan kepada hadirin di stadium dan mereka yang mengikuti siaran langsung sambutan itu di televisyen memberi gambaran jelas fasa perubahan yang dilalui negara.
Ulang tayang usaha Tunku Abdul Rahman merundingkan kemerdekaan negara diikuti dengan detik pengisytiharan dan era kepemimpinan beliau dapat membawa kembali ingatan kepada keadaan kehidupan datuk nenek kita dulu yang pastinya menimbulkan keinsafan.
Begitu juga dengan zaman Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak, yang dikenang sebagai Bapa Pembangunan kerana berjaya mengubah nasib rakyat melalui usaha mengatasi ketidaksamaan ekonomi dan sosial melalui pelancaran Dasar Ekonomi Baru.
Perpaduan kaum yang kita nikmati hari ini adalah berkat perjuangan Bapa Perpaduan, Tun Hussein Onn yang ikhlas berjuang untuk mencapai perpaduan antara kaum dan akan bertindak keras terhadap mereka yang cuba membangkitkan kekacauan perkauman.
Keupayaan mengekalkan keamanan dan kedamaian negara berbilang bangsa, memacu kemajuan modenisasi yang pantas yang membawa kemakmuran di semua peringkat lapisan masyarakat Malaysia memahat nama Tun Dr Mahathir sebagai Bapa Permodenan Malaysia.
Beliau yang dikenali sebagai pemimpin yang berani serta lantang berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, disegani dan menjadi rujukan serta contoh kepada negara lain di dunia.
Kini, kecemerlangan Malaysia diteruskan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memastikan kejayaan serta kemampuan negara untuk bersaing dalam dunia global melalui pembangunan modal insan.
Pendekatan Islam Hadhari yang menjadi teras kepada kepemimpinan beliau berjaya membuka mata dunia Islam dan bukan Islam untuk menerima kenyataan bahawa negara yang maju adalah negara yang mampu membina tamadunnya sendiri.
Proses perubahan dilalui Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia, di bawah kepimpinan pemimpin negara adalah sejarah hari ini dan akan tetap menjadi sejarah hari esok. Walaupun apa yang terjadi malam itu bukan dalam gambaran warna hitam putih, impaknya tetap sama.
Dan impaknya mungkin akan lebih lagi jika kronologi peristiwa yang berlaku pada 31 Ogos 1957 dapat diimbau kembali mengikut rentetan termaktub dalam sejarah kerana walaupun sejarah tidak berulang, itu tidak bermakna kita tidak boleh mengulanginya.
Alangkah indahnya jika kita dapat melihat pentas di tengah Stadium Merdeka yang menjadi tempat berdirinya Tunku Abdul Rahman, ditemani barisan Raja Melayu, melaungkan Merdeka dengan disaksikan wakil kerajaan Inggeris.
Mungkin lakonan semula yang dipentaskan oleh artis terkenal negara itu mampu membawa kita kembali ke zaman hitam putih yang sering ditonton berulang kali di televisyen. Masa itu, barulah dapat melihat ada muka dan bibir yang senget menahan sebak serta sayu.
Apatah lagi, jika di stadium itu, ada mereka yang pernah hadir pada 1957. Inilah pengalaman dan kenangan manis tidak ternilai yang akan dikenang mereka sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.
Oleh Hasliza Hassan
Berita Harian
3 September 2007