Ahad, 2 September 2007

Tak bermaruah jika pinggir bahasa


Generasi muda perlu cintai bahasa Malaysia bagi pupuk nilai jati diri bangsa


RAKYAT Malaysia baru saja menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Perayaan itu harus diingati kerana ia menggambarkan sebuah nikmat kehidupan yang perlu dihargai dan digunakan sepenuhnya demi merealisasikan kehidupan di dunia.

Bagi merayakan jubli emas kemerdekaan ini, semua premis perniagaan dan pentadbiran, rumah dan kenderaan turut mengibarkan Jalur Gemilang. Ternyata ini adalah usaha yang tidak boleh dipandang ringan demi menyemarakkan erti kemerdekaan.

Jalur Gemilang, nama yang diberikan kepada bendera Malaysia adalah simbol dan identiti negara yang merdeka. Berkibarnya bendera menunjukkan kemegahan negara. Di samping itu, ada satu perkara penting bagi identiti sesebuah bangsa dan negara yang merdeka iaitu bahasa.

‘Bahasa Jiwa Bangsa’ atau ‘Bangsa Menunjukkan Bangsa’ adalah kenyataan budaya yang membawa maksud bahasa adalah produk sesuatu budaya. Bahasa, selain berfungsi sebagai alat berkomunikasi juga berperanan sebagai salah satu aset atau modal budaya sesuatu bangsa. Tanpa bahasa, identiti sesebuah bangsa itu tidak dapat dikenali.

Bukan itu saja, bahasa juga penting sebagai alat mempertahankan jati diri bangsa dan negara, mewujudkan kekuatan dalaman, tamadun dan budaya bangsa sendiri. Sebagai modal budaya terpenting, bahasa melambangkan identiti sesuatu bangsa amat diperlukan terutama untuk menangkis arus globalisasi agar kelangsungan dan kewujudan bangsa yang merdeka dapat dikekalkan.

Sebagai negara yang didiami pelbagai kaum, peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan perlu dipandang lebih serius. Dalam konteks bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, keadaan akan terancam apabila penduduk tempatan mengetepikan bahasa Malaysia yang ada nilai perpaduan, ekonomi dan ilmu.

Kesannya penduduk akan berpecah berdasarkan fungsi bahasa yang berbeza-beza. Bagaimana mungkin bangsa dan negara Malaysia dapat bersatu dan tahan menghadapi ancaman luar tanpa semangat patriotisme atau kebangsaan yang padu dan tulen seandainya tiada unsur utama dalam pembinaan bahasa?

Mungkin ada yang mengatakan bahawa kedudukan bahasa Malaysia kini sudah terjamin kerana ia adalah bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara. Memang betul dakwaan ini tetapi apalah erti semuanya itu kalau ia sekadar menjadi bahasa rasmi tetapi dari segi penggunaan sering dipinggirkan, terutama apabila membabitkan orang kenamaan atau golongan ‘working class’.

Dari segi penggunaan, secara mudah kita boleh melihat bukan sekadar mereka dari golongan ahli perniagaan, malah ada di kalangan ahli akademik juga lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Malaysia, walhal mereka adalah orang Melayu dan bercakap sesama orang Melayu.

Namun, kerana perasaan sayang atau cinta kepada bahasa sendiri tidak menebal dan sering menganggap bahasa Inggeris lebih tinggi kedudukannya, maka bahasa Melayu terus diketepikan.

Di kalangan ibu bapa hari ini juga kebanyakan mereka berpendapat bahawa anak perlu diajar bahasa Inggeris sejak mereka kecil lagi. Hal ini memang ada kebenarannya. Tetapi ibu bapa juga harus sedar bahawa jika bahasa asing ini diajar terlebih dulu tanpa memberi penekanan kepada bahasa ibunda yang amat penting untuk proses melatih mereka berfikir, keadaan ini akan mengundang kepada masalah budaya bahasa.

Sewajarnya mereka perlu mengetahui apa tujuan sebenar mereka menguasai bahasa Inggeris. Adakah sekadar untuk menunjukkan bahawa rakyat di Malaysia berada seiring dengan negara maju, khususnya Amerika Syarikat atau Britain?

Apa perlunya kita mengetahui bahasa Inggeris kalau sekadar untuk berbual-bual sesama sendiri dan menunjukkan kepandaian kita berbahasa dengan bahasa antarabangsa? Apa pun kita akui bahawa kepentingan untuk mempelajari bahasa Inggeris ini sebenarnya untuk membolehkan kita menghubungkan dengan dunia luar, mempelajari dan mengimport ilmu pengetahuan yang ada dalam bahasa Inggeris dan mengeksport pengetahuan kita kepada mereka. Kita tidak harus menggantikan bahasa sendiri dengan bahasa asing.

Dengan hanya mengetahui bahasa Inggeris kita belum boleh dianggap maju tanpa menyedari bahawa majunya bangsa yang berbahasa ibundanya Inggeris kerana bangsa itu mampu berfikir, kreatif dan inovatif, mencipta ilmu tinggi seperti ilmu sains dan teknologi dan sebagainya dalam bahasa mereka sendiri?

Sesuatu bangsa itu boleh berfikir dalam apa bahasa pun kerana kita faham bahawa manusia tidak kira apa bangsa dan keturunan dianugerahkan akal, iaitu nikmat terbesar Pencipta terhadap manusia sebagai ciptaan-Nya.

Namun, manusia harus sedar bahawa hanya bahasa asal sesuatu bangsa itulah yang memainkan peranan yang penting sebagai alat budaya untuk membentuk tamadun bangsa, pandangan hidupnya dalam pelbagai bidang seperti falsafah, seni, sains, kesusasteraan, sistem politik, sosial, ekonomi dan lain-lain.

Semua bangsa di dunia ini dianugerahkan oleh Tuhan dengan keupayaan untuk berfikir dan mencari ilmu dan pengetahuan dalam bahasanya sendiri. Seandainya bangsa itu tidak maju, maka puncanya bukan terletak pada bahasanya tetapi pada ketidakupayaan bangsa itu untuk mencipta atau mengembangkan ilmu menggunakan bahasa berkenaan.

Lihat bangsa Jepun, Jerman, Perancis, adakah mereka maju kerana bahasa mereka maju atau kerana bangsa mereka yang berkebolehan mencipta dan mengembangkan ilmu seperti ilmu sains dan teknologi yang amat diperlukan demi meningkat kualiti kehidupan manusia.

Sebagai generasi yang akan meneruskan pembinaan sebuah tamadun yang akan dikenali sebagai tamadun Malaysia, kita perlulah memahami bahawa tamadun ini hanya dibentuk bangsa itu sendiri melalui pengalaman bersama bahasa asal yang diguna pakai bangsa itu.

Tidak ada lagi dalam sejarah sebuah tamadun yang kesusasteraannya, seni, muzik, sains, nilai sosial dan politiknya dibentuk oleh sebuah bangsa yang menggunakan bangsa asing, bahasa rojak atau bahasa yang dicampuradukkan.

Proses penciptaan tamadun yang sekali gus melambangkan pemikiran dan pandangan hidup bangsa yang menciptakan tamadun itu hanya terjadi melalui bahasa asal bangsa itu dan dalam konteks bangsa Malaysia, sudah tentulah bahasa Malaysia.

Pada zaman pemerintahan British di Tanah Melayu dulu, tidak hairanlah kalau orang Melayu yang berpendidikan Inggeris, terutama di kalangan golongan elit pentadbir awam atau golongan bangsawan Melayu menggunakan bahasa Inggeris kerana itulah bahasa digunakan dalam pentadbiran awam serta menjadi bahasa rasmi utama Tanah Melayu ketika itu.

Pada zaman penjajahan British, Umno yang dianggotai rakyat Melayu mempunyai minda terbuka, bersedia menerima sesuatu perubahan yang agak radikal, hanya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang wajib diajar dan dipelajari di sekolah kebangsaan.

Justeru, demi mengisi makna sebuah kemerdekaan marilah kita kembali menilai semula sebagai bangsa Malaysia merdeka untuk bersama-sama menempatkan bahasa Malaysia yang menjadi lambang jati diri dan maruah bangsa agar kita tidak dianggap orang luar sebagai bangsa tidak bermaruah kerana meminggirkan bahasa sendiri.


Oleh Dr Ratna Roshida Razak


Penulis adalah Pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang


Berita Harian
3 September 2007