Ahad, 2 September 2007

Peraturan jalan raya, kenderaan awam perlu diselaras


OPERASI demi operasi dilakukan oleh jabatan dan agensi kerajaan bagi menguatkuasakan peraturan lalu lintas khususnya yang membabitkan pengangkutan awam. Terbaru, bermula hari ini, Ops Bersih II dilaksanakan dengan harapan pengusaha bas ekspres yang beroperasi di terminal sah terhindar daripada pelbagai kesalahan. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri akan memantau operasi terminal bas haram sedia ada dan membuka pejabat tetap di 30 terminal bas ekspres utama di seluruh negara bagi membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan sehingga akhir bulan ini. Kesungguhan agensi kerajaan terserlah menerusi Operasi Bersih selama sembilan hari baru-baru ini apabila JPJ dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Narkotik dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menahan 18,245 kenderaan untuk diperiksa dan mengeluarkan 3,036 saman atas pelbagai kesalahan iaitu 114 kesalahan berkaitan dadah, dengan sebahagian besarnya memandu dalam pengaruh bahan berkenaan.

JPJ dan agensi lain melaksanakan undang-undang untuk memastikan semua bas ekspres dan pemandunya beroperasi mengikut peraturan. Bermula dengan penggunaan kamera di lebuh raya, kotak hitam di dalam bas, syarat dua pemandu, penyediaan buku log, usia bas ekspres tidak boleh melebihi 10 tahun, peperiksaan Puspakom setiap enam bulan dan beberapa peraturan lain sudah diperkenalkan. Namun, masih ada bas ekspres terus dibenarkan beroperasi walaupun terbukti melakukan banyak kesalahan. Hakikatnya, peruntukan sudah disediakan, pelbagai peralatan sudah dibeli, lebuh raya dibina dan banyak agensi sudah ditubuhkan, namun yang perlu diperbetulkan ialah dari segi penguatkuasaan. Ada jabatan dan agensi bersikap lepas tangan sebaik berlaku sesuatu insiden besar. Ini disebabkan terlalu banyak agensi mengawal kenderaan perdagangan sehingga berlaku pertindihan tugas.

Apakah tidak boleh peraturan dan undang-undang berkaitan jalan raya dan pengangkutan awam diselaraskan? Selama ini, JPJ diberi tanggungjawab menjaga lesen pemandu dan cukai jalan selain sistem demerit, Puspakom melakukan pemeriksaan kenderaan, Jabatan Alam Sekitar pula membuat pemeriksaan asap kenderaan, LPKP meluluskan permit dan peraturan syarat permit, polis bertanggungjawab ke atas kesalahan trafik, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menentukan urusan berkaitan terminal bas dan teksi, manakala Kementerian Pelancongan pula menjaga bas pelancongan. Lebih menyedihkan setiap agensi berkaitan pengangkutan awam berada di bawah kementerian berlainan. Semua masalah ini mungkin dapat dikurangkan jika kuasa dan pengawasan berkaitan pengangkutan dan penguatkuasaan diletakkan di bawah satu agensi untuk memudahkan kawal selia dan mengelakkan pertindihan. Selagi masalah ini tidak diselesaikan, sindrom lepas tangan, menuding dan lari daripada tanggungjawab tidak akan selesai.

Walaupun matlamat Ops Bersih 11 memang baik untuk meningkatkan penguatkuasaan peraturan dan mendisiplinkan pemandu bas ekspres, berdasarkan operasi sebelum ini, ia mungkin berkesan untuk sementara waktu. Kita berpendapat faktor pemandu mengejar perjalanan sehingga bas ekspres dikenali sebagai raja lebuh raya perlu diteliti. Apakah sistem bayaran kepada pemandu yang berdasarkan perjalanan menyebabkan mereka terpaksa mengejar waktu? Apakah syarikat menjaga kebajikan mereka dengan memberi gaji dan elaun setimpal? Kita berharap sungutan pemandu mengenai perkara ini dan alasan syarikat bas yang enggan menaikkan gaji atau elaun pemandu juga harus diberi perhatian jika kita mahu perkhidmatan bas ekspres di negara ini selamat.


Berita Harian
3 September 2007