JANDA, AFGHANISTAN: Kumpulan Taliban berazam menculik lebih ramai rakyat asing selepas mengakhiri drama tebusan enam minggu dengan membebaskan kelmarin kumpulan terakhir tujuh orang rakyat Korea Selatan yang diculik menerusi rundingan dengan kerajaan Seoul.
“Kami akan membuat perkara sama dengan sekutu lain di Afghanistan kerana kami mendapati cara ini lebih berjaya,” kata jurucakap Taliban Qari Yousef Ahmadi kepada Associated Press menerusi telefon bimbit dari lokasi tidak didedahkan.
Tujuh tebusan terbabit diserahkan kelmarin kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di dua lokasi berasingan berhampiran bandar tengah Afghan di Ghazni, kata pegawai Palang Merah dan wartawan AP.
Tiga tebusan terakhir yang dibebaskan - dua wanita dan seorang lelaki - diserahkan oleh lelaki bersenjata di jalan utama daerah ini selepas mereka dengan jelas berjalan dari arah padang pasir. Dipenuhi habuk, tebusan terbabit segera masuk ke dalam kenderaan Palang Merah dan dibawa pergi.
Tujuh tebusan terbabit adalah sebahagian daripada 23 sukarelawan gereja yang diculik pada 19 Julai lalu ketika mereka dalam perjalanan di sepanjang laluan berbahaya di selatan Afghanistan. Militan terbabit membunuh dua tebusan lelaki sejurus menculik mereka dan membebaskan dua tebusan wanita awal bulan ini. Rabu lalu, Taliban membebaskan 12 tebusan dari kumpulan sama.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon mengalu-alukan pembebasan itu tetapi mengutuk penculikan berterusan dan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah.
Walaupun kematian tragik dua tebusan Julai lalu, ‘beliau gembira mereka yang dibebaskan sedang dalam perjalanan berjumpa dengan orang tersayang,” kata jurucakap PBB Marie Okabe kelmarin.
Lelaki yang menemani pembebasan tebusan akhir memberi nota tidak bertandatangan kepada wartawan sambil menuduh rakyat Korea Selatan yang datang ke Afghanistan dengan misi menukar agama rakyat negara yang berpegang kuat kepada Islam kepada kristian.
“Mereka datang ke negara kami untuk menukar fahaman kami,” kata nota itu. “Penduduk Afghan sanggup menggadai nyawa untuk kepercayaan mereka. Ini adalah sebab mengapa kami menangkap mereka,” katanya.”
Tebusan kesal kunjungi Afghanistan
ANYANG: Sembilan belas tebusan Korea Selatan dibebaskan penculik Taliban tiba di tanah air mereka dengan diiringi tangisan gembira semalam, sambil meminta maaf kepada rakyat negara itu kerana menimbulkan masalah.
Bekas tebusan yang dibebaskan secara berperingkat hasil rundingan kumpulan pejuang itu dengan kerajaan Korea Selatan, tiba dengan penerbangan dari Dubai. Mereka ditemukan dengan anggota keluarga di sebuah hospital di sini, selatan Seoul selepas mereka menjalani pemeriksaan perubatan.
Selepas berpelukan dan menangis, sesetengah anggota keluarga bertanya dengan lembut, tetapi kritikal, mengapa kumpulan itu pergi ke Afghanistan.
“Saya ingat anda dibunuh,” kata Cheon Kwang-sil, 77, kepada cucunya Lee Young-kyung, 22, tebusan paling muda. “Saya sudah beri amaran supaya tidak ke sana.”
Lee, kurus dan pucat dengan tangannya ada kesan gigitan serangga, berkata dia menghabiskan 20 hari dalam bilik kurungan.
“Saya terlalu takut setiap masa dan hanya minum air sungai,” katanya.
Terdahulu, Yoo Kyung-shik, 55, paling tua dalam kumpulan itu, enggan mengulas lanjut sambil meminta maaf kepada rakyat Korea Selatan dan kerajaan kerana menyebabkan kebimbangan kepada mereka.
“Kami menghargai rakyat Korea kerana membantu kami pulang ke pangkuan keluarga. Kami sangat terhutang budi kepada negara dan rakyat,” katanya.
Sambil menahan air mata, Yoo juga mengucapkan takziah kepada keluarga dua tebusan yang dibunuh. Saudara mara mereka, memegang gambar orang tersayang yang maut, muncul bersama bekas tawanan terbabit.
Kumpulan 23 sukarelawan kristian dari gereja pinggir Seoul diculik pada 19 Julai lalu ketika dalam perjalanan melakukan kerja sukarela selama dua minggu di bandar selatan Kandahar.
Taliban membunuh dua lelaki, seorang paderi gereja pada peringkat awal krisis kerana kata mereka, tuntutan bagi pembebasan pejuang banduan tidak dipenuhi. –AP
Gambar dan artikel Berita Harian.